Dulu kami tak pernah kenal antara satu sama lain...
Tapi hari ni dah jadi rakan bisnes, jiran komuniti di Cyberjaya, travel buddy, bahkan rakan hobi bersukan dan diving!
Bila saya fikir balik, ianya bermula asbab konten yang saya hasil sejak 2008. Sudah 17 tahun...
More...
Konten membentuk komuniti baru
Ramai yang tak sedar, apa yang kita share di medsos hari ni, sebenarnya sedang menjemput siapa yang bakal hadir dalam hidup kita esok.
Bermula sebagai follower, lama-lama jadi kenalan baru. Ada yang kemudian jadi rakan bisnes, bahkan membentuk komuniti kehidupan baru yang akan bersama kita bertahun-tahun ke depan.
- Yang suka share pasal travel, dia akan tarik orang yang suka travel.Yang suka share pasal makanan, dia tarik geng “jalan-jalan cari makan”.
- Yang suka pasal kewangan dan kekayaan, dia tarik orang yang kaya atau minat bina kekayaan.
- Yang suka pasal politik kepartian, dia akan tarik orang yang suka berdebat hal-hal politik.
- Yang suka hal-hal agama, dia akan tarik orang yang minat perbaiki diri jadi lebih baik.
- Tapi kalau asyik letak konten lelaki kecewa — dia bakal membentuk komuniti lelaki kecewa.
- Kalau asyik share pasal isteri tersakiti — maka dia pun akan membentuk komuniti isteri tersakiti!
Dalam tak sedar, setiap apa yang kita share tu sedang membentuk komuniti hidup kita pada masa depan.
Konten dulu, komuniti hari ini
Saya masih ingat, masa mula-mula saya tulis blog dulu — niat saya cuma satu; nak share inspirasi kepada anak muda supaya hidup senang tanpa beban hutang.
Saya obses share ilmu dan pengalaman saya tentang kekayaan sejak tahun 2008.
Tak sangka, selepas 17 tahun, konten-konten yang saya share bertahun-tahun tu akhirnya membentuk komuniti hidup saya hari ni.
Bermula sebagai silent followers, lepas tu mula berani mesej minta pendapat.
Sebahagian jadi penyimpan emas di bawah bimbingan saya. Ada yang upgrade jadi rakan dealer Public Gold bersama saya.
Dan hari ni, ada yang jadi jiran kediaman saya. Ada yang jadi rakan bisnes yang kami meeting setiap minggu. Bahkan ada yang jadi travel buddy dan rakan hobi diving saya!
MasyaAllah... Saya tak pernah sangka sampai sejauh ni.
"Puase" dulu sebelum "Post"
Daripada konten yang dulu saya tulis sekadar suka-suka — hanya untuk simpanan ilmu dan pengalaman — akhirnya ia membentuk komuniti kehidupan saya hari ni. Alhamdulillah...
Dengan kata lain, kalau kita letakkan konten yang baik, kita akan dapat kehidupan yang baik.
Kalau yang buruk, dibimbangi kehidupan yang buruk juga yang akan datang - Moga Allah lindungi kita semua daripada tergelincir tanpa sedar.
Daripada pengalaman ni, saya belajar sesuatu yang sangat mahal... Sebelum nak tekan butang Post atau Share, tanya diri sendiri dulu:
👉🏻 “Kalau 1,000 orang lain ikut saya share benda ni, dunia ni akan jadi lebih baik atau lebih buruk?”
Kalau jawapannya “lebih baik” — teruskan. Kalau tak, maka diam tu lebih selamat.
Komuniti kita, kehidupan kita
Diriwayatkan daripada Abu Musa r.a., Rasulullah ﷺ bersabda:
“Perumpamaan teman yang baik (yang duduk bersamamu) berbanding teman yang buruk, adalah seperti penjual minyak wangi dan tukang besi.
Daripada penjual minyak wangi, kamu mungkin akan membeli daripadanya, atau sekurang-kurangnya menikmati bau harum daripadanya.
Sedangkan daripada tukang besi, mungkin percikan apinya membakar pakaianmu, atau sekurang-kurangnya kamu terhidu bau busuk daripadanya.”
Apa yang saya faham daripada hadis ni; bukan sekadar tentang kawan di dunia nyata — tapi juga kawan online yang kita benarkan hadir melalui konten kita.
Apa yang kita share hari ini akan menentukan siapa yang akan hadir dalam hidup kita esok. Dan siapa yang hadir dalam hidup kita — akhirnya akan membentuk siapa diri kita.
Jaga konten kita, sebab dari situlah akan terbentuknya komuniti hidup kita.
Dan dari komuniti itulah, akan terbentuk kehidupan kita - samada baik ataupun buruk.
Zulkifli
Cyberjaya
12 Oktober 2025
19 Rabiul Akhir 1447H
Artikel berkaitan:
- Tribe Marketing: Bina Komuniti, Rahsia Bisnes Bertahan Lama
- Kita Melihat Dunia Berdasarkan Input Yang Overload Dalam Fikiran Kita
- Kenapa Ada Orang Kecam Walaupun Kita Share Benda Baik?
- Circle Kita Bayangan Diri Kita. Kita Pula Bayangan Circle Kita!
- Nak Ubah Masa Depan, Kena Ubah Circle (Pergaulan) Kita Dulu
- Perkara Lebih Bernilai Di Sebalik Aktiviti Saya Turun Menyelam

