Bila Dah Kebiasaan Menjadi Selesa
Lepas 23 tahun, barulah kami kembali tidur atas katil!
Masa sibuk dengan event PG New Financial Year Kick-off di Sentul, KL semalam, isteri saya tunjuk gambar dalam group wasap family kami.
Balik dari event dan masuk bilik tidur kami, saya rasa macam new chapter dalam hidup kami. Ada katil tempat tidur untuk kami suami isteri!
Eh... Rasa macam pengantin baru...
Rupanya dah 23 tahun perkahwinan kami, sudah 22 tahun rumah kami tak ada katil untuk kami suami isteri.
More...
Sejak dapat anak pertama, kami dah tak guna katil. Sebab takut anak-anak jatuh katil.
Kami sekadar guna tilam dan letak atas lantai saja.
Berbelas tahun kami ada anak kecil, memang tak boleh guna katil. Tapi bila anak-anak dah besar, dah terbiasa tidur atas lantai tanpa katil.
Cukup sekadar ada tilam saja.
Kadang fikir juga nak ada katil... Tapi bila dah terlalu lama tak ada katil, rasa dah selesa cara begitu...
Tapi bila kami pindah rumah baru, rumah tu dah ada katil. Nampak katil macam mahal... Takkan nak buang, kan?
Jadi kami buat keputusan gunalah saja katil ni.
Mood ada katil tanpa anak-anak dalam bilik tidur ni rasa macam awal-awal perkahwinan dulu. Rasa macam pengantin baru pulak dah!
Halangan Terbesar Untuk Ke "Next Level"
Bila ingat pasal katil ni, saya trigger balik pada Dato Seri Louis Ng basuh saya banyak kali. Dia cakap saya selesa dengan kehidupan orang biasa-biasa macam dulu.
Ada duit, tapi tak nak beli kereta mewah!
Ada duit, tak nak beli rumah besar!
Ada duit, tak suka pakai barangan mewah!
Dia tahu income saya dengan Public Gold. Tapi dia stress tengok saya tak upgrade lifestyle saya.
Masih selesa dengan gaya hidup B40 saya dulu.
Ini masalah besar untuk saya pergi ke next level katanya.
Dia tanya saya, "You rasa kalau I pilih lifestyle macam you, bisnes Public Gold boleh besar tak?".
"Uish... Dato Seri tak boleh hidup macam saya. Nanti orang tak confident...", balas saya.
"Habis tu kalau you boleh, kenapa I tak boleh (ikut life style macam you?"...
Dato Seri tembak saya balik...
"Kalau you masih kekal cara sekarang, you punya team yang kaya-kaya pun takut nak upgrade lifestyle!"...
Kena tembak lagi...
Saya cuma boleh tersengih tak tahu apa nak jawab...
Upgrade Lifestyle Secara Perlahan
Perubahan pertama yang Dato Seri paksa saya ialah beli kereta lebih baik. Yang layak nampak VIP setiap kali datang ke event-event bisnes.
Bukan naik Grab... Bukan naik MRT macam sebelum ni.
Dulu saya belikan handbag mahal untuk isteri atas... Kali ni saya kena breakthrough untuk beli kereta lebih baik atas saranan Dato Seri...
Dia tahu... Dia boleh 'paksa' saya untuk breakthrough macam mana tu, sebab ia tak luak pun kekayaan saya.
Saya minta Dato Seri berikan saya masa... Untuk upgrade lifestyle saya slowly...
Sama macam tidur tanpa katil dah lebih 20 tahun ni... Nak buat keputusan adakan katil dalam bilik tidur ni pun saya makan masa yang lama...
Inikan pula nak ubah gaya hidup yang saya dah selesa dengan cara B40.
Dulu hidup cara B40 sebab memang dari golongan B40. Lepas tu kena duduk pulak dalam penjara selama 2 tahun dalam ruang yang kosong.... Dengan hanya 3 pasang pakaian putih sepanjang 2 tahun...
Tidur atas lantai... Beralaskan tikar dan tilam nipis...
Kehidupan yang susah lama tu membuat saya rasa 'selesa'... Malah rasa sangat serabut dengan barang-barang yang banyak dalam hidup saya.
Menikmati Rezeki Tuhan Dengan Rasa Syukur
Pada saya, harta kita kena banyak. Tapi hidup kita tak perlu serabut dengan barang-barang yang banyak. Apatah lagi barang-barang yang kita jarang guna yang cuma menyemak saja dalam hidup kita.
Nak beli apa pun belilah... Asalkan jangan membazir.
Semua perkara yang baik-baik yang Tuhan jadikan di dunia ni adalah untuk kita nikmati dan syukur...
Kalau kita benar-benar mampu, nikmatilah dan syukurilah. Dan guna segala nikmat yang Tuhan berikan di dunia ni untuk kejar nikmat yang lebih besar di Akhirat nanti. InsyaAllah...
"Katakanlah (wahai Muhammad): "Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkanNya untuk hamba-hambaNya, dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal dari rezeki yang dikurniakanNya?"
Katakanlah: "Semuanya itu ialah (nikmat-nikmat) untuk orang-orang yang beriman (dan juga yang tidak beriman) dalam kehidupan dunia; (nikmat-nikmat itu pula) hanya tertentu (bagi orang-orang yang beriman sahaja) pada hari kiamat".
"Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi orang-orang yang (mahu) mengetahui."
- (Surah Al-A'raf 7: 32)
#KayaItuMuliaBagiSiapaYangBersyukur
Zulkifli
Cyberjaya
12 April 2026
23 Syawal 1447H
Artikel berkaitan:
- Kenapa Kita Perlu Terus Bekerja Walaupun Dah Kaya?
- Kejayaan Yang Berkat Bermula Dengan Doa Ibu Bapa
- Nak Senang di Dunia, Kena Banyak Duit. Akhirat, Kena Banyak Pahala
- Nak Hidup Bebas, Jangan Sesekali Belanjakan Duit Yang Kita Belum Dapat
- Nikmat Sihat Yang Selalu Kita Lupa
- Good Tired: Penat, Sibuk... Tapi Rasa Seronok dan Bermakna
- Kaya Bukan Dosa, Tapi Peluang Untuk Masuk Syurga!

