MohdZulkifli.Com

Motivasi Kewangan & Simpanan Emas

Ambil Prinsip, Abaikan Contoh

Kelakarnya Contoh Azizi

“Apasal abang ni, tersenyum-senyum. Kekadang bunyi macam tergelak”

“Hai, baca buku kewangan pun kelakar ker…”

Itulah cakap-cakap isteri bila saya tengah khusyuk baca buku Azizi. Tersenyum dan tergelak macam baca komik. Kata-kata dan contoh-contoh ekstrim Azizi kekadang kelakar rasanya.

Sebahagiannya Lihat Cara Negatif

“Ah, Azizi Ali boleh la… dia pilot, gaji dia RM15 ribu! Orang macam kita mana boleh pakai cara Azizi tu”

Itulah rungutan beberapa kenalan saya bila dicadangkan baca buku Azizi Ali. Dan banyak lagi yang tolak ‘mentah-mentah’ hanya kerana beberapa perkara yang dirasakan tak ‘ngam’ dengan Azizi.

Tapi saya lihat, orang yang menolaknya, tak ke mana ‘prestasi’ kewangannya. Masih seperti dulu juga. Masih dengan keluhan yang sama.

Ambil “Prinsip”, Bukan “Contoh”

Sebenarnya, terpulanglah pada masing-masing. Setiap orang, berbeza cara mengambil iktibar atas apa yang dilihat, atau dibaca. Bukan 100% yang Azizi Ali tulis saya setuju. Tetapi ia tak membuatkan saya tolak pandangannya mentah-mentah. Satu dua perkara yang saya tak setuju, saya tak tolaknya secara borong.

Yang perlu kita cedok dari setiap bacaan, bukanlah contoh-contohnya, tetapi prinsip-prinsipnya. Sudah jadi lumrah, para penulis akan beri contoh yang sangat EKSTRIM! Supaya pembaca nampak beza hitam atau putihnya. Supaya pembaca mudah ambik iktibar daripadanya. Itu satu kaedah “balaghoh”, kalau Bahasa Arabnya.

Berbeza Cara Memandang, Kerana Kita Berbeza

Kalau tersalah ambil iktibar, kita akan anggap penulis terlalu extreme! Dan tak praktikal untuk kita amalkan. Seperti Tok Guru Nik Aziz kata Tuhan Samseng suatu ketika dulu – ramai yang keliru.

“What you see is what you get. Who you are determine how you see.”

Saya rasa sebahagiannya tersalah ambil iktibar. Kalau tak, mana mungkin buku Azizi boleh meletup-letup. Orang tak suka baca idea-idea yang ‘bodoh’ atau tak praktikal. Saya sendiri, sentiasa tertunggu-tunggu tulisan terbaru Azizi. Antara buku Azizi yang saya dah ‘khatam’ ialah;

1- Jutawan Dari Planet Jupiter
2- Lahirnya Seorang Jutawan
3- Tuan Rumah Jutawan
4- Jutawan Hartanah
5- Jutawan Ekstreme
6- Pesara Jutawan

Keenam-enam buku yang saya ‘khatam’, tak membuatkan saya rasa prejudis pada beliau. Bahkan saya doakan, moga Allah merahmati beliau atas penulisannya yang sangat baik. Telah memberi manfaat kepada ramai orang, termasuk diri saya sendiri.

Pesan Nabi, sebaik-baik manusia, ialah mereka yang paling bermanfaat kepada orang lain. Itulah yang Azizi lakukan.

Mohon maaf kiranya tersilap kata, atau terkasar bahasa.

Wallahu ‘alam.

Zulkifli
Damansara Damai
15 Mei 2008

Em, kekadang cara Azizi Ali tulis, bunyinya seperti ANGKUH. Kita rasa angkuh, kalau kita tak ‘kenal’ cara Azizi. Padahal, dia sengaja menambahkan rencah dalam penulisan beliau. Supaya ianya lebih ‘hidup’, dan sedap dibaca.

Yang penting apabila membaca ialah ambil “prinsipnya”, abaikan “contohnya”. Kerana “contoh” hanyalah ilustrasi bagi menerangkan prinsip.

Tentang Penulis

Mohd Zulkifli Shafie

Penulis buku bestseller; Wang Emas, dan Misi Bebas Hutang.

Menulis tentang kewangan sejak 2008. Berpengalaman membimbing lebih 7,000 penyimpan emas secara peribadi di Malaysia, Indonesia, Singapore dan Brunei sejak 2010.

Merupakan pengasas G100 Network; network terbesar dealer Public Gold (syarikat pengeluar emas terbesar di Malaysia), yang memberikan servis kepada lebih 500,000 penyimpan emas di seluruh Asia Tenggara.

  • {"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}
    >