MohdZulkifli.Com

Motivasi Kewangan & Simpanan Emas

Poligami: Syariat Tuhan Yang Di Anak Tirikan

Saya pernah terbaca ulasan di akhbar The Sun tentang sebuah filem yang baru diterbitkan ketika itu, tajuknya “Berbagi Suami”. Oh! Ulasan itu cukup mengejutkan saya.

Antara tujuan penerbitan filem tersebut adalah menunjukkan betapa hodohnya amalan berpoligami ini. Pengarah filemnya (Nia Dinata) bercita-cita supaya kerajaan Indonesia mengharamkan amalan poligami di negara ummat Islam tersebut.

Oh, saya rasa terpanggil untuk berikan sedikit komentar.

Filem “Berbagi Suami”

Nukilan saya ini sekadar memperbetulkan PERSEPSI serong ummat Islam (terutamanya para pendakwah sendiri) terhadap isu poligami.

Poligami walaupun tidak disukai ramai wanita, ia tetap syariat Tuhan yang mesti kita bela. Yang paling ditakutkan ialah, semua syariat Tuhan kita suka KECUALI poligami!

Kalau ada perasaan sebegitu, mungkin ada kecacatan pada iman kita.

Jika pendakwah Islam ‘benci’ akan syariat poligami, masyarakat umum apatah lagi. Di situlah puak-puak orientalis suka “menangguk di air yang keruh”.

Perempuan Simpanan, Alternatif Poligami

Syariat Tuhan mesti kita terima dan tegakkan sepenuhnya dengan penuh redha [Al-Baqarah 2: 208].

Membenci syariat Tuhan walaupun satu bahagian, boleh merosakkan iman kita. Malah ia boleh menghancur-leburkan kehidupan manusia. 

Wujudnya masalah PEREMPUAN SIMPANAN dalam masyarakat hari ini mungkin juga berpunca daripada kebencian masyarakat terhadap poligami. Maka, jalan keluar bagi lelaki yang bernafsu haiwan ialah zina (perempuan simpanan)!

Kerana bagi mereka, ia lebih mudah dan kurang kontroversi berbanding poligami.

Bukan Salah “Poligami”

Kucar-kacirnya rumahtangga poligami, bukan salah poligami. Sebenarnya buat apa pun kalau tak diasaskan atas Iman dan Taqwa, semuanya akan punah ranah.

Bukan sahaja poligami, rumahtangga MONOGAMI pun banyak yang hancur lebur.

Poligami yang ditegakkan atas dasar nafsu, hancurlah rumahtangga. Monogami pun sama.

Contohnya, tengoklah rumahtangga artis-artis kita.

Poligami, bukan formula manusia. Ia formula Tuhan.

Setiap apa yang Tuhan syariatkan, pasti di sana ada hikmahnya.

Poligami, Menyelamatkan Manusia

Tuhan yang mencipta manusia, pastinya Tuhan lebih (Maha) tahu syariat yang sesuai untuk kita. Syariat Tuhan menyelamatkan manusia, bukan sahaja di Dunia, malah di Akhirat sana.

Tujuan saya berkongsi, bukanlah menggalakkan poligami kerana poligami, hukumnya tetap lima– wajib, sunat, harus, makruh dan haram. Ianya berbeza untuk setiap kita.

Mampu?

Ya, syarat zahir (fizikal dan material) mungkin ramai yang mengaku mampu, tetapi syarat batin (iman dan taqwa) macam mana?

Oh! Itulah yang mesti dipertimbangkan oleh mereka yang berhajat untuk berpoligami.

Walaupun berbeza hukumnya, pokoknya, syariat Tuhan mesti tetap kita bela.

Siapa lagi yang akan bela kalau tidak kita (pendakwah muslimin, dan muslimah terutamanya)?

Wallahu ‘alam. Sekadar pandangan.

Zulkifli
Damansara Damai
6 Mei 2008

29 Rabiul Akhir 1429H

CATATAN : Drama bersiri “Isteri Untuk Suamiku” tayangan TV9 sejak beberapa bulan lalu, bagi kami suami isteri, ia sangat baik untuk memperbetulkan persepsi serong masyarakat terhadap syariat poligami. Moga sedikit sebanyak dapat menangkis serangan jahat filem “Berbagi Suami” dan yang seangkatan dengannya terhadap syariat Tuhan ini.

Insyaallah, di lain masa, saya akan kongsikan hikmahnya yang saya dapat daripada kursus perbandingan agama tahun lalu, dan sedikit pembacaan saya tentang isu ini. Moga kita lebih yakin berdepan mereka yang ingin membunuh syariat Tuhan.

Tentang Penulis

Mohd Zulkifli Shafie

Penulis buku bestseller; Wang Emas, dan Misi Bebas Hutang.

Menulis tentang kewangan sejak 2008. Berpengalaman membimbing lebih 7,000 penyimpan emas secara peribadi di Malaysia, Indonesia, Singapore dan Brunei sejak 2010.

Merupakan pengasas G100 Network; network terbesar dealer Public Gold (syarikat pengeluar emas terbesar di Malaysia), yang memberikan servis kepada lebih 500,000 penyimpan emas di seluruh Asia Tenggara.

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}
>