MohdZulkifli.Com

Motivasi Kewangan & Simpanan Emas

Takdir Tuhan di Hujung Ikhtiar Kita. Berusahalah Sebaiknya…

October 3, 2022

Memang Tuhan yang bagi rezeki. Tapi bukan bermaksud kita tak perlu berbuat apa-apa, tiba-tiba makanan masuk dalam mulut kita!

Bukan.

Tuhan bagi rezeki melalui sebab usaha kita.

Tuhan jamin kita rezeki, tapi Dia suruh kita keluar berusaha. Bahkan Dia bagi pahala (dan hapuskan dosa kita) atas setiap usaha baik yang kita lakukan.

Tuhan Suruh Berusaha

Tak berusaha bersungguh-sungguh atau bermalas-malas dengan alasan semuanya sudah takdir itu menyalahi sunnah Nabi s.a.w.

Berusaha tanpa berdoa itu sombong. Tapi berdoa tanpa usaha itu pula adalah 'bohong'! Itu ‘berbohong’ dalam berdoa.

Waktu solat kena solat, tapi lepas solat, berterbaranlah di muka bumi untuk mencari apa yang Tuhan kurniakan kepada kita.

"Apabila telah selesai melaksanakan solat, maka bertebaranlah kamu di muka bumi. Carilah kurniaan Allah dan ingat Allah sebanyak-banyaknya agar kamu berjaya" (Al-Jumu'ah 62 : 10)

Jadi jangan sesekali tinggalkan usaha. Sebaliknya berusahalah sebaik-baiknya.

Tuhan Yang Beri Rezeki

Tapi dalam masa sama, jangan sesekali fikir hanya kerana usaha kita itulah yang menjamin rezeki dan kejayaan kita.

Kerana ada orang yang sudah berusaha keras macam mana pun tapi tak dapat rezeki juga.

Ada orang sakit yang sudah berhabis duit dan berhabis ikhtiar pun tapi tak sembuh-sembuh juga!

Semua itu supaya kita sedar, hakikatnya Tuhanlah yang memberi rezeki dan berkuasa mutlak ke atas kita.

Bertawakkal kepada Tuhan bukanlah bermaksud meninggalkan ikhtiar, dan menyalahkan takdir. Bukan.

Bertawakkal maksudnya tidak sesekali meletakkan pergantungan hati kepada "sebab”.

Ia Tentang Pergantungan Hati

Ikhtiar tetap kena ikhtiar kerana Allah dan Rasul suruh kita berikhtiar. Tetapi hati kita bergantung harap sepenuhnya hanya kepada Tuhan setelah kita sudah berikhtiar sehabis baik.

Dari sudut ikhtiar, kena ikhtiar sebaik mungkin dan tak boleh sesekali berusaha secara ala kadar dan mengatakan “ini adalah takdir”.

Tak boleh.

Setelah ikhtiar sebaik mungkin, barulah kita berserah kepada Tuhan dan merima takdir tersebut.  Kerana takdir Tuhan itu dihujung ikhtiar kita.

Bak kata pepatah Melayu, “habis akal baru tawakkal”.

Kalau tak, masakan tidak Nabi s.a.w. suruh tambat unta dulu baru bertawakkal (menyerah nasib kepada Tuhan).

Bukannya bertawakkal tanpa menambat unta tersebut.

Rasulullah s.a.w. berkata kepada seorang lelaki pemilik unta:

اَعقِلْهَا وَتَوَكَّلْ

"Ikatlah (untamu), baru kamu bertawakkal". (Riwayat al-Tirmizi (2157) dan Ibn Hibban (708))

Allahu a'lam.

Zulkifli
Cyberjaya
26 September 2022
29 Safar 144H


Tentang Penulis

Mohd Zulkifli Shafie

Penulis buku bestseller; Wang Emas, dan Misi Bebas Hutang.

Menulis tentang kewangan sejak 2008. Berpengalaman membimbing lebih 7,000 penyimpan emas secara peribadi di Malaysia, Indonesia, Singapore dan Brunei sejak 2010.

Merupakan pengasas G100 Network; network terbesar dealer Public Gold (syarikat pengeluar emas terbesar di Malaysia), yang memberikan servis kepada lebih 500,000 penyimpan emas di seluruh Asia Tenggara.

  • {"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}
    >