Berita suami isteri lebur duit pencen RM542,000 gara-gara pelaburan membuatkan saya sangat simpati. Hasil titik peluh mereka bekerja 30 tahun lesap dalam sekelip mata!
Miskin di usia muda, itu pengalaman. Tapi miskin diusia tua, itu penjara kehidupan! Saya sungguh kesian... Boleh jadi gila dibuatnya...
More...
Moga Allah berikan ketabahan buat pakcik makcik yang jadi mangsa. Dan mudah-mudahan jadi iktibar buat kita semua.
Kesilapan Besar Dalam Kewangan
Kita semua pun tahu. Berdasarkan survey yang dibuat oleh KWSP, kebanyakan orang pencen habis semua duit pencen yang mereka usahakan bertahun-tahun dalam tempoh kurang dari 3 tahun sahaja!
Kenapa boleh habis terlalu cepat?
Mudah sahaja. Ini yang sering saya ingatkan berkali-kali.
"Setiap kita akan buat kesilapan besar dalam kewangan bila kita ada duit (ataupun mudah dapat pinjaman) sedangkan pada ketika itu kita tak ada ilmu".
Punca utamanya ialah ilmu.
Tanpa Ilmu, Duit Banyak Akan Habis
Bila tak ada ilmu, kita akan buat kesilapan. Kesilapan yang kita buat bukan ketika kita tak ada duit, tapi ketika kita ada duit sedangkan kita tak ada ilmu.
Ketika tak ada duit, kita tak buat kesilapan. Ketika tak ada duit, kita tak akan kena scam. Sebab kita tak ada duit untuk kena scam.
Kita mudah kena scam atau scam diri kita sendiri bila ada duit, tapi tak ada ilmu.
Bila kita ada duit, waktu tu kita rasa kita bijak dan pandai. Waktu tu macam-macam idea 'bernas' akan muncul; melabur, buat bisnes, bahkan buat kebajikan.
Nampak bijak dan baik, tapi tanpa ilmu, semua idea-idea bernas itulah yang membuatkan duit kita habis dalam masa yang sangat singkat! Dan terperangkap dalam masalah kewangan yang besar.
Prinsip Penting Sebelum Melabur
Jadi bagi siapa yang rasa 'gatal tangan' nak melabur, atau rasa tak boleh tahan diri dari melabur, ingat betul-betul nasihat yang sering saya ungkapkan tentang pelaburan ni;
1. Rugi dalam tangan, tapi untung belum tentu. Jangan sesekali melabur dengan duit yang kita tak sanggup lebur.
2. Jangan sesekali meletakkan duit dalam pelaburan yang kita tak faham hujung pangkalnya. Melabur tanpa ilmu adalah cara tercepat membuatkan duit kita lebur.
3. Sejauh mana keuntungan dalam sesuatu pelaburan bergantung sebanyak mana ilmu kita tentang pelaburan tersebut. Kalau tak ada ilmu (tak minat baca buku, datang kelas atau seminar), letak duit dalam ASB atau Tabung Haji jauh lebih baik.
4. Pelaburan bukanlah untuk orang yang nak cari duit lebih. Tapi untuk sesiapa yang ada duit lebih. Bagi yang makan gaji, dia sudah ada lebih dari tabungan minimum 6 bulan pendapatan. Yang kerja sendiri, minimum 12 bulan pendapatan.
5. Semua pelaburan yang berikan keuntungan lebih 15% setahun adalah scam. Kecuali dibuktikan sebaliknya oleh pakar kewangan atau pelaburan.
6. Kalau nak cari duit lebih, pelaburan bukanlah jalannya. Kalau nak cari duit lebih, kena kerja lebih kuat (lebih masa, lebih mahir) atau buat bisnes. Pelaburan bukanlah untuk siapa yang nak cari duit lebih.
Sebab tak faham 6 prinsip inilah punca kenapa saya katakan, kebanyakan orang lebih kaya kalau dia tak melabur. Sebab pelaburan yang dia buat tak membuatkan dia bertambah kaya. Sebaliknya pelaburan itulah yang menyebabkan duit dia lebur...
Mudah-mudahan tip ringkas ni dapat jadi panduan untuk kita semua. InsyaAllah.
Allahu a'lam.