Pasanglah cita-cita jadi kaya.
Sekurang-kurangnya dapat kurangkan satu keluarga yang perlu dibantu, bahkan dapat lahirkan seorang yang mampu bantu orang lain, khususnya ahli keluarga sendiri di saat mereka kesusahan.
Kaya itu mulia bagi siapa yang bersyukur.
Pasanglah niat nak jadi kaya untuk buat lebih banyak amalan untuk ke Syurga.
Nak kaya untuk buat lebih amalan
PERTAMA, keperluan kita mungkin dah cukup. Tapi amalan kita belum cukup.
Kita dah cukup segalanya dari sudut harta. Tak ada motivasi lagi untuk kita cari harta lebih banyak.
Tapi amalan kita tak cukup. Bahkan tak siapa jamin yang amalannya cukup untuk ke Syurga.
Cari kekayaan lebih banyak bukan untuk bermewah-mewah, tapi untuk buat lebih banyak amalan.
KEDUA, amalan orang miskin, orang kaya pun boleh buat. Tapi amalan orang kaya, orang miskin tak mampu buat.
Haji hanya orang kaya mampu tunaikan.
Zakat dan sedekah, hanya orang kaya yang mampu buat.
Bahkan jihad juga hanya orang kaya mampu lakukan.
Itulah sebab kenapa sahabat Nabi s.a.w. cemburu dengan orang kaya. Bukan sebab orang kaya lebih mewah, tapi lebih banyak amalan berbanding mereka.
Sahabat Nabi cemburu amalan orang kaya
Daripada Abu Hurairah r.a., beliau berkata:
“Orang-orang fakir telah datang kepada Nabi ﷺ lalu berkata,
‘Orang-orang kaya telah pergi (meninggal dunia) dengan darjat yang tinggi dan nikmat yang kekal. Mereka solat seperti kami solat, mereka berpuasa seperti kami berpuasa, tetapi mereka mempunyai kelebihan harta, lalu mereka dapat menunaikan haji, umrah, berjihad, dan bersedekah.’
Maka Rasulullah ﷺ bersabda:
“Mahukah kalian aku ajarkan satu amalan yang jika kalian melakukannya, kalian akan menyamai mereka yang telah mendahului kalian, dan tidak ada seorang pun yang boleh mengejar kalian selepas itu, serta kalian menjadi golongan yang terbaik dalam kalangan manusia, kecuali jika ada yang melakukan perkara yang sama?
Iaitu, bacalah tasbih, takbir, dan tahmid (Subhanallah, Allahu Akbar, Alhamdulillah) sebanyak 33 kali selepas setiap solat.”
Kemudian orang-orang fakir itu kembali kepada Rasulullah ﷺ dan berkata:
“Saudara-saudara kami yang kaya telah mendengar tentang amalan ini, lalu mereka juga melakukannya!”
Maka Rasulullah ﷺ bersabda:
“Itulah kurniaan Allah yang diberikan kepada sesiapa yang Dia kehendaki.”
(Hadis Riwayat Bukhari no. 843, no.6329)(Hadis Riwayat Muslim no. 595) (Riyadhus Solihin no. 572)
Baik buruk bukan pada harta, tapi...
Sahabat Nabi s.a.w. orang baik-baik. Kekayaan membolehkan mereka buat lebih banyak kebaikan.
Sebaliknya, sebahagian orang ada persepsi buruk tentang kekayaan. Kekayaan disinonimkan dengan kejahatan, tamak, lupa diri, cintakan dunia, lupakan akhirat dan lambat masuk Syurga!...
Rancangan TV sering momokkan kekayaan dengan rupa yang buruk dan hina...
Sebenarnya tak ada baik buruknya pada harta dan kekayaan.
Baik atau buruk, itu bergantung diri kita sendiri.
Orang baik, kekayaan akan menyerlahkan kebaikan dia. Dia akan buat lebih banyak kebaikan bila dia lebih kaya.
Sebaliknya orang yang tak baik, kekayaan akan menyerlahkan keburukan dia.
Kekayaan hanya menyerlah siapa kita sebenarnya.
Maka sentiasalah didik diri jadi orang baik dari sekarang.
Mudah-mudahan dengan bertambahnya kekayaan, maka bertambahlah amalan kita untuk ke Syurga... InsyaAllah...
Zulkifli
Cyberjaya
24 November 2024
22 Jamadil Awwal 1446H
Daripada Abu Dzarr r.a., dia berkata bahawa sebahagian sabahat Rasulullah berkata kepada baginda,
“Wahai Rasulullah, orang-orang kaya telah memborong pahala (yang banyak), mereka mengerjakan solat sebagaimana kami solat, dan mereka berpuasa sebagaimana kami berpuasa.
Tetapi mereka mampu bersedekah dengan kelebihan harta mereka (sedangkan kami tidak mampu)”
Nabi s.a.w. bersabda,
“Bukankah Allah telah menjadikan sesuatu bagimu untuk sedekah?
Sesungguhnya setiap tasbih, takbir, dan tahmid adalah sedekah. Menyuruh kepada kebaikan, melarang berbuat kemungkaran, dan bersetubuh (yakni memenuhi keperluan seksual isterimu) adalah sedekah.”
Mereka bertanya,
“Wahai Rasulullah, bagaimana salah seorang di antara kami mendapat pahala sedangkan dia mengikuti syahwatnya?”
Rasulullah s.a.w. bersabda,
“Bukankah seseorang yang menyalurkan syahwatnya pada yang haram itu berdosa?
Maka demikian pula apabila dia menempatkan syahwatnya itu pada yang halal, dia akan mendapat pahala.”
Pasanglah cita-cita jadi kaya. Sekurang-kurangnya dapat kurangkan satu keluarga yang perlu dibantu, bahkan dapat lahirkan seorang yang mampu bantu orang lain, khususnya ahli keluarga sendiri di saat mereka kesusahan. Kaya itu mulia bagi siapa yang bersyukur. - FB Mohd Zulkifli Shafie, 24 November 2024
Kekayaan tidak mengubah diri seseorang itu. Kekayaan cuma menyerlahkan siapa sebenarnya diri seseorang itu. Kalau suka menyimpan, dia akan menyimpan lebih banyak. Kalau suka sedekah, dia akan sedekah lebih banyak. Begitulah sebaliknya. - FB Mohd Zulkifli Shafie, 24 Julai 2022
Harta kekayaan tak mengubah seseorang dari baik jadi jahat. Ia cuma menyerlahkan siapa dirinya yang sebenar. Orang baik, dia gunakan harta untuk buat lebih banyak kebaikan. Orang yang tak baik, kekayaan itu menyerlahkan sifat buruknya yang terpendam. - FB Mohd Zulkifli Shafie, 19 September 2023
Kaya itu mulia bagi siapa yang bersyukur. Kaya itu hina bagi siapa yang kufur. Kaya tak mengubah seseorang, tapi menyerlahkan siapa dirinya yang sebenar. Kalau dia orang baik, kekayaan akan menyerlahkan lagi kebaikannya. Begitulah juga sebaliknya. - FB Mohd Zulkifli Shafie, 12 Disember 2023
Kekayaan tak menjadikan seseorang tu baik atau jahat. Ia cuma menyerlahkan siapa dia sebenarnya. Kalau dia baik, dia akan buat lebih banyak kebaikan. Baik buruk tu bukan tentang harta. Tapi tentang siapa diri kita. Sebaik-baik harta di tangan orang yang baik-baik.- FB Mohd Zulkifli Shafie, 27 November 2024
Catatan FB berkaitan:
- Kisah inspirasi orang kaya bayarkan bil elektrik aircond untuk kelesaan jemaat solat di masjid - FB Iman Najwan (2025)