Dulu saya tak percaya pendapat yang mengatakan; kalau kita berjaya pasti akan ada haters (orang yang membenci kita). Saya fikir, kalau kita tak pernah buat jahat pada orang lain, mana mungkin akan ada orang membenci kita?
Tapi pengalaman mengajar saya, kata-kata itu adalah benar.
Bila kita berjaya lebih dari orang lain, maka orang yang lebih berjaya dari kita sebelum ini akan dilihat "losers". Bila kita muncul sebagai orang yang lebih pandai, maka orang yang lebih pandai sebelum ini akan dilihat lebih bodoh.
Bila ada orang yang rajin dan bekerja lebih kuat, maka jelaslah kelihatan orang yang malas. Maka orang berjaya itu akan dibenci dan akan ada kelompok pembenci tersendiri.
Tetap Dibenci Walaupun Tak Berbuat Jahat
Walaupun kita tak berbuat jahat kepada sesiapa, tetapi setiap kejayaan itu akan membuka pekung kelemahan orang lain, walaupun kita tidak pernah berniat begitu.
Bila kita dilihat lebih daripada orang lain, maka nampaklah kekurangan orang lain walaupun kita tak pernah fikir untuk bersaing atau mengalahkan siapa.
Maka kerana itulah orang berjaya akan ada pembencinya tersendiri.
Kekadang kita pun tak sedar, orang yang dilihat baik ketika kita sedang dipuncak kejayaan, orang itulah sebenarnya yang pertama bertepuk tangan bila kita jatuh tersungkur.
Maka itulah salah satu hikmah kenapa Allah sentiasa datangkan ujian jatuh bangun dalam hidup kita.
Bila Jatuh, Kita Kenal Siapa Kawan Sebenar
Jatuh bangun dalam hidup itu adalah proses membersihkan diri kita. Bersihkan diri dari sifat-sifat yang tak baik dalam diri, dan bersihkan diri dari orang yang berniat jahat pada kita.
Ketika kita jatuh tersungkur itulah baru kita kenal siapa sebenarnya kawan yang patut kita hargainya sampai mati.
Ketika jatuh tersungkur itulah terzahirnya siapa yang selama ini hanyalah seorang opportunist (yang mengambil peluang atas kejayaan kita) dan menyembunyikan hakikat bahawa dia sebenarnya haters (pembenci) kita.
Yang mana dilihat sebagai 'malaikat' ketika kita di kemuncak kejayaan itu belum tentu kawan yang setia. Mereka mungkin hanya menunggu masa untuk menghumban kita di saat mereka berpeluang melakukannya...
Waktu Berbaki Untuk Orang Yang Disayangi
Setelah bebas dari penjara, banyak cerita yang sama sampai ke telinga saya tentang bagaimana haters ini bekerja untuk terus membenam saya, menyambung 'lidah syaitan' dengan menyebarkan fitnah terhadap saya, sedangkan mereka ini dahulunya dilihat sebagai orang yang dekaaaat dengan saya.
Bila ada yang nak ceritakan tentang keburukan orang lain kepada saya, saya ingatkan (kepada setiap penyampai berita itu), jangan sesekali sebut siapa nama orang tu!
Saya tak mahu kenal siapa haters itu, tetapi cukuplah ia sebagai peringatan supaya saya lebih berhati-hati.
Daripada saya habiskan waktu saya memikirkan tentang haters, lebih baik saya habiskan waktu untuk berbuat baik kepada siapa yang menyayangi dan mempercayai saya.
Tuhan Sembunyikan Hikmah Untuk Menguji Kita
Walaupun musibah 2 tahun itu sangat saya benci, tetapi salah satu hikmahnya ialah Tuhan zahirkan kepada saya siapa yang patut saya hargainya sampai mati, dan membuang jauh golongan cuma menempel untuk ambil peluang ketika saya di puncak kehidupan.
Memang sesiapa pun akan menangis di saat kita jatuh tersungkur. Tapi yakinlah, kejatuhan itu adalah kerana kasih sayang Tuhan pada kita. Tuhan simpankan 1001 kebaikan buat kita. Akan sampai ketikanya Tuhan nampakkan kebaikan di sebalik kejatuhan itu.
Dan sekiranya kita tahu kebaikan yang Tuhan telah simpankan buat kita, pasti kita tidak akan menangis di saat kejatuhan itu. Waktu itu kita akan berterima kasih kepada Tuhan yang Maha Mengetahui lagi Maha Penyayang...
Maka bersyukurlah saat diuji... Kerana Tuhan benar-benar menyayangi kita...
“... Boleh jadi kamu membenci sesuatu itu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu itu, padahal ia amat buruk bagimu. Allah lah yang mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui” (Surah Al-Baqarah 2 : 216)
Zulkifli
Cyberjaya, Selangor
18 Jun 2021
7 Zulkaedah 1442H
- Dibenci, dikhianati, difitnah, itu lumrah dalam menggapai kejayaan - FB Azizi Ali (2023)