Today A Reader, Tomorrow A Leader

by on February 8, 2010

Naqib yang hebat, melatih ‘ayam’ menjadi helang!

Nazri, adik kampus tanya saya, apa yang perlu dia buat untuk jadi naqib?

Soalan yang sangat pro-aktif. Saya cukup kagum dengan sikap pro-aktif Nazri. Tak pernah saya tanya pimpinan ataupun naqib dengan soalan tu masa di sekolah mahupun di kampus. Pada diri Nazri, saya nampak beliau adalah ‘bintang’ pemimpin Islam yang cemerlang di masa depan!

Belajar Mengasihi, Rajin Membaca

Berdasarkan sedikit pengalaman, beberapa cadangan saya beri. Selepas belajar ambil peduli (caring), dan mengasihi orang lain, saya cadangkan supaya pertingkatkan diri dengan rajin-rajin membaca. Sebabnya, naqib adalah pemimpin.

Naqib bertanggungjawab memimpin anggota keluarga (usrah) supaya bukan sahaja jadi seorang mukmin, tapi mukmin yang mahukan orang lain juga jadi mukmin – pendakwah. Anggota usrah bukan saja rasa cukup dengan diri sendiri jadi mukmin, tapi mereka juga nakkan orang lain turut sama jadi mukmin.

Maksudnya, naqib adalah pemimpin bagi pemimpin!

Naqib: Pemimpin Bagi Pemimpin

Sebagai pemimpin, sepatutnya kita berjalan sekurang-kurangnya selangkah ke hadapan (one step ahead), dan anggota usrah mengikutnya dari belakang. Apa yang kita buat, pengikut perhatikan kita dari belakang seperti mana kita perhati dan mengikut imam dalam solat.

Secara idealnya, naqib adalah role model bagi seluruh anggota usrah. Dan anggota usrah mahu jadi lebih baik sebagaimana naqibnya!

Itulah yang saya fikir dulu. Saya cukup kagum dengan naqib-naqib saya di sekolah dan universiti.

Naqib Adalah Role Model

Ustaz Amir Ramadhan, Ustaz Rafie, Akhi Hisham Fauzi (KB), Akhi Adnan Rozob (Pahang), Akhi Ghazali (Sabah), Akhi Dzorif (Kuala Kangsar), dan Akhi Zabri (Putrajaya) adalah antara naqib (di sekolah dan universiti) yang saya kagumi. Dari mereka, saya bukan saja dapat ilmu Islam dan dakwah, tapi mereka telah memberi impak yang besar dalam pelbagai aspek hidup saya!

Dulu, saya adalah seorang introvert – sangat pemalu dan sangat rendah hati (tak yakin pada diri). Hinggakan nak daftar masuk universiti, saya minta mama yang daftarkan! Tak terlintas difikiran untuk saya keluar ke depan, dan bercakap di depan puluhan, bahkan ratusan hadirin.

Tapi melalui naqib, saya diberi keyakinan. Naqib membuatkan saya percaya pada kemampuan diri. Saya berlajar public speaking dari mereka. Saya dilatih untuk bercakap dalam majlis-majlis.

Naqib: Melatih ‘Ayam’ Menjadi ‘Helang’!

Bermula dari bercakap di perjumpaan usrah-usrah yang kecil, hingga Allah beri kekuatan untuk saya jadi ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), dan Ketua Fasilitor Minggu Wawasan Siswa! Terpaksa berucap di depan ratusan pelajar, pensyarah-pensyarah, dan termasuk Pengarah dan Timbalan-timbalan Pengarah Kampus!

Oh, itu semua didikan Allah melalui insan-insan yang saya gelarkan “naqib”.

Sungguh besar impak seorang naqib pada anggota usrah. Tanpa mereka, tak mungkin saya mampu memimpin organisasi-organisasi kecil dalam masyarakat hari ini. Tanpa mereka, saya tak mampu berucap dan berhadapan dengan para ibubapa anak-anak PASTI yang saya diamanahkan sebagai Pengurusnya…

Macam mana seorang naqib boleh memimpin dengan baik?

Today A Reader, Tomorrow A Leader

Antara attitude yang saya nampak pada naqib-naqib adalah mereka seorang readers! Mereka rajin membaca. Bahkan banyak koleksi-koleksi kitab yang tersimpan dalam almari buku saya sekarang ni adalah atas cadangan naqib.

Akhi Dzorif (salah seorang naqib saya di kampus) sangat obses dengan membaca. Kalau ada bahan bacaan yang baru dibeli, ah mintak maaf. Jangan la potong line dia membaca. Selagi dia tak habis baca, memang kami (anggota usrah) tak dapat cilok (pinjam)! Dia benar-benar seorang readers!

Dan sikap yang ada pada beliau, hari ini melekat juga pada saya!

Anggota Usrah Meniru Naqib

Antara kelemahan saya bila ke kedai buku, ialah terbeli buku! Hinggakan isteri selalu ‘merungut’, “Abang beli buku baru lagi? Mana nak simpan? Almari buku tu pun dah penuh!”

Membaca dah jadi tabiat. Ke mana-mana pergi, saya tak selesa tanpa bawa buku untuk dibaca. Bukan saja dunia dakwah, bahkan dunia luar pun sama. Dalam apa bidang sekalipun, membaca tetap penting apabila kita memimpin.

Prinsipnya, seorang pemimpin, mestilah terlebih dulu jadi seorang yang rajin membaca. Membaca bukan sekadar membaca, tapi membaca dengan harapan untuk pertingkatkan diri. Sentiasa mencari ruang untuk perbaiki diri.

Dunia Kerjaya Pun Sama

Dalam dunia bisnes, mentor kami selalu tekankan supaya rajin membaca. Menurut beliau, kajian menunjukkan orang yang berjaya di dunia, membaca sekurang-kurangnya 14 buku setahun, tapi orang orang biasa hanya membaca tak lebih 2 buku setahun!

Sebab tu orang berjaya hidupnya luar biasa, dan orang biasa hidupnya biasa-biasa saja. Sebab tabiatnya terlalu biasa!

Untuk bulan ni, mentor kami cadangkan buku bertajuk “The 5 Secrets You Must Discover Before You Die” karangan John Izzo Ph.D. Saya baru saja dapatkan buku ni. Belum tahu apa kandungannya. Tapi yang pastinya, buku-buku yang dicadangkan semuanya untuk pertingkat diri kami sebagai hamba dan khalifah Tuhan di muka bumi!

Wallahu a’lam.

Zulkifli
Damansara Heights
8 Februari 2010
24 Safar 1431

{ 0 comments… add one now }

Leave a Comment

Previous post:

Next post: