MohdZulkifli.Com

Motivasi Kewangan & Simpanan Emas

Antara 2 Cinta

Love

“Cinta, cinta, cinta. Ah! Aku bosan dengan cerita “Cinta” (manusia) ni. Cinta Tuhan lagi bagus kerana orang yang cintakan Tuhan tak pernah kecewa”

 

Mungkin itulah keluhan orang yang pernah kecewa dalam bercinta, dan sedang memburu cinta Tuhan.

 

Cinta Tuhan, Cinta Manusia. Istilahnya sama, hakikatnya berbeza. Cintailah manusia, tetapi cinta manusia dengan maksud cintakan Tuhan. Menyintai manusia dengan meninggalkan Tuhan adalah cinta yang diajar oleh Bollywood dan Hollywood.

Cinta adalah Buah Keimanan

Mencintai manusia disuruh Allah. Ia adalah BUAH IMAN. Kerana iman dan kasih sayang adalah berkadar terus. Ia tak boleh dipisahkan. Kalau tak kasihkan manusia, itu tandanya IMAN belum lagi beres (sempurna). Cinta pada manusia terhasil dari kecintaan kepada Allah. Mencintai manusia kerana Allah.

Tugas Hamba, Tugas Khalifah

Mencintai Allah mesti benar-benar diusahakan kerana ia tugas bersifat “verticle” (Peranan HAMBA). Hubungan HAMBA dengan Tuhannya. Mencintai makhluk Tuhan, itu tugas bersifat “horizontal” (KHALIFAH). Hubungan makluk sesama makhluk. Lagi kuat kecintaan kepada Tuhan, lagi kuat cintanya pada manusia. Itulah pesanan Nabi S.A.W kepada para sahabat apabila ditanya siapa yang lebih cintanya kepada orang lain dari kalangan mereka.

Jalan Bahagia Melayari Cinta

Ramai manusia (remaja) cenderung mencintai manusia dengan meninggalkan Tuhan. Sebabtu BAHAGIA yang dicari-cari (melalui cinta) tak dapat-dapat. Akibat dari tak kenal diri dan tak kenal Tuhan.

Sebagai ‘pendakwah’, kita mesti berusaha menyintai Tuhan, dalam masa yang sama beri panduan pada manusia bagaimana nak dapat BAHAGIA dalam bercinta. Tak lain tak bukan, mesti kembali kepada Tuhan yang menjadikan cinta dan memberikan BAHAGIA yang manusia cita.

Dah Beres ke Iman Kita?

Em... Satu lagi, tugas HAMBA dan KHALIFAH mesti berjalan serentak. Kalau kita dakwa cinta Tuhan, tapi tak kisah sesama manusia, itu tandanya ada benda yang tak beres pada iman kita. Itulah pesan Nabi S.A.W pada kita. (“Tak beriman seseorang itu sehinggalah mereka menyintai saudaranya sebagaimana dia menyintai dirinya sendiri” – Maksud Hadis)

Nabi S.A.W dan para sahabat benar-benar cintakan Tuhan. Dari kecintaan pada Tuhan, terbitnya cinta sesama manusia. Kerana cinta, mereka keluar kepada manusia untuk kongsikan (dakwah) betapa nikmatnya bercinta dengan Tuhan. Supaya manusia lain dapat nikmati sama. Supaya manusia selamat di dunia, selamat di akhirat. Itulah tanda cinta sejati Nabi. S.A.W kepada ummatnya.

Cintanya Nabi S.A.W pada Kita

Em.. kalau kita tengok cerita dalam TV, memang jadi kebiasaan, orang yang nak mati akan sebut-sebutkan nama orang yang dicintainya. Dia akan beri pesanan terakhir untuk insan tercinta.

Begitu jugalah dengan Nabi S.A.W. Disaat nazak Nabi ingatkan kita. Nabi risaukan kita. "Ummati, ummati, ummati" (Ummatku, ummatku, ummatku). Oh! betapa cintanya Nabi kepada kita semua. Baginda risaukan keselamatan kita sebagai ummatnya.

Allahumma solli ‘ala Muhammad, wa ‘ala aalihi wasohbihi ajma'iin. Perbanyakkan selawat ke atas Nabi, dan ikutlah jejak langkah Nabi S.A.W. Moga di hari manusia berebut-berebut mendapat syafaat Nabi (di Akhirat), Nabi ‘ingat’ akan kita sebagai ummatnya.

Insyaallah.

Wallahu 'alam.

Zulkifli
Damansara Damai
9 April 2007

Cintailah mereka yang menyintai kita, insyaallah akan dapat BAHAGIA - Allah, Rasul, Ibubapa, Suami/ Isteri, Keluarga dan Sahabat.

 

Bertuahnya sesiapa yang dapat menyintai Tuhan, kerana cinta Tuhan tiada kecewa. Cintanya Tuhan pada kita, Dia menjadikan kita tanpa diminta. Dia MEMBERI (rezeki) tanpa berkira. Subhanallah…

Tentang Penulis

Mohd Zulkifli Shafie

Penulis buku bestseller; Wang Emas, dan Misi Bebas Hutang.

Menulis tentang kewangan sejak 2008. Berpengalaman membimbing lebih 7,000 penyimpan emas secara peribadi di Malaysia, Indonesia, Singapore dan Brunei sejak 2010.

Merupakan pengasas G100 Network; network terbesar dealer Public Gold (syarikat pengeluar emas terbesar di Malaysia), yang memberikan servis kepada lebih 500,000 penyimpan emas di seluruh Asia Tenggara.

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}
>