Binalah Idealisma Dirimu Di Kampus

by on November 27, 2008

(Zaman di kampus, zaman emas membina idealisma diri. Zaman yang belum lagi ‘berkepentingan’ – gambar hiasan)
Rajin ke program, tamrin, menjadi naqib (fasilitor) kepada unit-unit usrah, solat berjemaah di masjid, mendengar tazkirah dan memberi tazkirah.

Alhamdulillah, bagusnya adik-adikku di kampus.

Kerisauanku Untuk Adik-adik Kampus

Tapi sedikit kerisauan bila memikirkan tentang ‘wajah’ mereka setelah bergelar graduan. Apakah mampu mereka bertahan dengan ‘wajah’ sekarang apabila masuk ke alam ‘realiti’? Alam yang diuji dengan perkara-perkara realiti dalam hidup.

Masih mampukah menjadi ahli masjid seperti di universiti. Lebih mencabar, apakah mampu menjadikan masjid atau surau di tempat kediaman mereka nanti sebagaimana mereka memeriahkan masjid mereka di universiti?

Ah, aku mengaku… aku lemah… kalau para aktivis universiti ini dapat bertahan di dunia realiti, alhamdulillah… moga dapat bertahan ke akhir hayat…

Manisnya Dulu Manis Teori

Betapa seronoknya bila terkenangkan zaman sekolah (SMKA Falahiah dan Kolej Islam Sultan Alam Shah). Hampir setiap waktu berjemaah di surau dan masjid. Amat jarang solat bersendiri. Setiap hari bangun seawal 5.0o pagi, berebut-rebut air di kolah asrama (Kolej Islam) yang berbumbungkan langit. Kalau terlambat, alamatnya sekadar ambik syarat mandi sajalah. Dengan sisa air yang masih berbaki – kerana air kolah kehabisan…

Aku akui, manisnya dulu manis ‘teori’. Belum diuji dengan perkara realiti seperti hari ini – kerja, keluarga dan anak pinak, harta, kehidupan yang jauh dari sahabat yang soleh dan lain-lain lagi. Ketika itu, rasanya seperti sudah cukup mencabar dengan study. Sudah cukup sibuk sangkanya dengan aktiviti. Rasanya seperti cukup matang untuk tempuhi realiti.

Zaman Kampus Cuma Urus Diri dan Study

Tapi bila diimbas kembali, ah, zaman sekolah dan kampus adalah nothing. Itu adalah zaman membina idealima diri. Tak ada yang mencabar berbanding hari ini. Yang kena diurus cuma diri sendiri dan study. Terasa geli hati bila terkenang alasan-alasan seperti “ah, nak tumpu study dulu, habis study, bolehlah aktif dengan kerja-kerja dakwah (di luar kampus)”

Oh, agak khuatir dengan ‘suara-suara’ begini. Sedangkan realitinya, ramai aktivis kampus yang menghilangkan diri di luar kampus. Suara-suara lantang dulu seperti dah tak kedengaran lagi. Inikan pula yang ‘beralasan’ di waktu study

Universiti Tempat Membina Idealisma Diri

Adik-adikku,

Zaman kampus, zaman membina idealisma diri. Zaman dikelilingi sahabat-sahabat yang soleh untuk mengingatkan diri. Ketika belum beranak-pinak, ketika belum disibukkan dengan kerja dan jawatan, itulah zaman emas untuk membentuk diri. Mendapat segulung ijazah belum lagi memadai, tetapi didiklah dirimu untuk hidup di alam realiti.

Alam realiti, alam yang orang tak lagi peduli sesama sendiri. Hidup cuma sendiri-sendiri. Susah senang tak ada siapa yang peduli. Hal jiran tetangga? Masyarakat setempat? Ahli qariah? Ah, tak ada masa untuk fikir semua itu. Yang difikir cuma ‘perut’ sendiri. Masing-masing memikirkan HAK, tidak lagi difikir tentang PERANAN.

Sedangkan Tuhan jadikan insan itu untuk berperanan. Memberi manfaat sesama insan, memakmurkan alam amanah Tuhan. Itulah peranan yang disebut-sebut sebagai Khalifah Tuhan. Sebaik-baik manusia, adalah yang paling bermanfaat sesama manusia. Itulah yang aku ingat pesanan Nabi (S.A.W).

Membina ‘Wajahku’ Yang Sebenar…

Aku akur dan sedar. Siapa aku di waktu belajar, tidak seperti aku pada hari ini. Cantiknya ‘wajah’ dahulu adalah cantik yang belum lagi diuji. Melangkah keluar dari alam kampus, bererti aku perlu bermula daripada kosong. Mula bermujahadah membentuk diri. Untuk membentuk ‘wajah’ aku di alam realiti dan bukan lagi sekadar berteori.

Sekadar peringatan untuk diriku dan adik-adikku yang sedang gigih membentuk idealisma diri di kampus.

Wallahu ‘alam…

Zulkifli
Damansara Heights
6 Ogos 2007

(artikel ini disemak pada 27 November 2008)

Nukilan lama ini, aku siarkan kembali sebagai inspirasi untuk adik-adikku yang baru saja kita bersua muka di HAMJIK bersama teman-teman lamaku – Leftenan Arif, Johan, Zahid, Razani dan Samhan.

{ 2 comments… read them below or add one }

1 ZATIL AZYYATI MUSTAPHA November 29, 2008 at 3:51 am

Menarik artikel ni.
Ana pernah disoal oleh seorang AJK Pas Pusat (Muslimat), “Bila Zatil kena start terlibat/aktif dgn haraki?”. Dari sekarang lagi katanya.
Dia ada ceritakan juga realiti di luar kampus. Sangat mencabar, terutamanya bagi muslimat.
Wallahu’alam

Reply

2 Zulkifli December 2, 2008 at 5:12 am

Memang benar tu. Muslimat yg paling banyak yang ‘hilang’. Tapi tak kurang juga yang muslimin.

Skop dakwah sangat luas. Tak terhad hanya pengelibatan dlm organisasi yg berlabelkan dakwah shj. Pokoknya, dakwahlah dlm ruang yg kita ada. Asalkan kerjanya ajak manusia kepada Tuhan, dikira dakwah la tu.

Tapi bila disebut dakwah, kita tak boleh bersendirian. Kita kena hidup dalam kumpulan (jemaah), supaya tak mudah dibaham oleh serigala manusia (i.e. Syaitan) kata Nabi S.A.W.

Tanpa hidup berjemaah, takut-takut bukan sahaja dakwah, malah jati diri muslim kita pun boleh terhakis.

Wallahu a’lam.

Reply

Leave a Comment

Previous post:

Next post: