
Antara pesanan saya kepada isteri. Harapkan teguran daripada dia kalau saya terleka.
Virus 3M Memudaratkan Keluarga
Risau, keluarga akan bermasalah jika saya (ketua keluarga) ‘bermasalah’. Apabila hubungan dengan Tuhan bermasalah, hubungan dengan keluarga – sesama manusia – juga akan ‘bermasalah’. RASA cinta, sayang, dan ihsan kepada isteri dan anak-anak berkurangan apabila amalan-amalan mendekatkan diri kepada Tuhan itu berkurangan – jauh dari Tuhan. Ia berkadar terus.
Ini bukan saya belajar, tapi berdasarkan pengalaman yang saya lalui. Apabila hati ‘bermasalah’, saya jadi kurang sabar dan malas melayan ragam atau kerenah anak-anak ataupun isteri. Penyakit yang saya nisbahkan sebagai 3M – ‘marah’, ‘malas’ dan ‘maksiat’ – mudah sangat datang ketika itu. Mungkin itu simptom kepada nafsu yang semakin subur.
Isteri pun sama. Kalau isteri tak terjaga amalannya, dia pun akan kena penyakit yang sama. Dia akan kurang sabar dengan anak-anak, dan kurang mesra dengan suami.
Tegur Tanda Dia Sayang
Itulah pentingnya tegur menegur dalam rumahtangga. Apabila isteri terkurang, kita tegur. Kalau kita terkurang, isteri juga kena menegur. Pada saya, teguran isteri sangat bermakna, kerana dialah orang paling rapat dengan kita. Kalau dia menegur, itu tandanya dia sayang dan ambik berat tentang kita.
Saya teringatkan pesanan Ustaz Mohd Nasir Zakaria, sebelum beliau terpilih sebagai Ahli Parlimen Padang Terap, ketika kuliah maghribnya di Surau Apartment Indah, Damansara Damai katanya:
Beragama, Moga Isteri Turut Beragama
Sebab itulah mendidik isteri bukan mudah. Kita mungkin boleh bercakap berdegar-degar tentang agama, tetapi isteri kita melihat sejauh mana kita beragama! Bagaimana perilaku kita, itulah juga didikan untuk isteri dan juga anak-anak kita.
Mesejnya, perbaikilah hubungan dengan Tuhan, moga Tuhan perbaiki hubungan kita sesama manusia. Dan didiklah diri dengan agama, semoga isteri dan anak-anak kita turut beragama.
Kalau ada agama, InsyaAllah, bahagia yang kita cita akan menanti di sana…
Wallahu a’lam.
Zulkifli
Damansara Damai
2 Mac 2009
{ 0 comments… add one now }