Semakin hari semakin ramai peserta berumur 40 tahun ke atas yang ada masalah kewangan, kata Tuan Zaidi Ismail.
Siapa sahaja yang mengadu masalah kewangan kronik, memang saya akan suruh dia terus contact Tuan Zaidi. Rujuk terus pada yang pakar.
Tuan Zaidi dah proven bantu banyak orang keluar dari masalah kewangan.
More...
Sebelum ni saya pernah tulis satu artikel macam mana nak keluar dari masalah kewangan.
- Boleh baca artikel : Cara Betul Semak Cashflow Sendiri dan Bebas Masalah Kewangan
Sebenarnya saya pun dapat feedback yang sama.
Punca masalah kewangan umur 40-an
Puncanya bukan berlaku semalam. Tapi dah bertahun-tahun lamanya.
Antaranya;
- Tak peduli pasal pengurusan kewangan dari muda. Apa sahaja yang dapat, semuanya habis dibelanjakan. Tak fikir pasal tabungan, kononnya rugi kalau umur tak panjang. Lebih baik habiskan semua. Tapi bila dah terhantuk baru terngadah.
- Gaya hidup di luar kemampuan. Tak nak kalah... Bila duit tak cukup, buat hutang, hutang dan hutang! Tabiat buat hutang bertahun-tahun tu, umur 40-an merasalah akibatnya!...
- Tak pernah ambil peduli pasal menguruskan risiko. Perlindungan takaful tak ambil. Bila jatuh sakit, hilang kerja, simpanan pun habis macam tu sahaja.
- Bergantung hanya pada satu pendapatan. Gaji satu-satunya sumber income yang dia ada. Tak pernah explore peluang perniagaan sebagai backup income kalau-kalau hilang pekerjaan. Bila hilang pekerjaan pada umur 40 tahun, susah cari kerja baru.
Masuk umur yang berisiko
Masuk umur 40-an, ini golongan berisiko tinggi bila ada masalah kewangan, khususnya yang hilang pekerjaan pada usia 40-an dan tak tahu nak jalankan bisnes sendiri.
Banyak majikan lebih suka ambil pekerja baru dari kalangan orang muda sebab bayaran lebih rendah, kerja lebih cekap, dan mudah dilentur untuk sesuaikan dengan budaya syarikat baru.
Siapa hilang pekerjaan pada umur 40-an, sangat susah untuk dapat kerja baru dengan gaji yang setara.
Kalaupun dapat kerja baru, gajinya lebih rendah...
Tapi itupun lebih baik dari langsung tak ada kerja - tak ada sumber pendapatan.
Bukan lagi waktu bersantai
Siapa yang umur 40-an, itu bukan lagi waktu santai-santai kalau tabungan tak ada, hutang masih banyak, income masih lagi tahap "kais sebulan makan sebulan".
Kena buat sesuatu...
Belajar ilmu kewangan cepat-cepat dan perbaiki kewangan segera. Kita dah tak ada banyak masa untuk main-main dengan masa depan kita.
Miskin pada usia muda, itu pengalaman yang mahal. Tapi miskin di usia tua itu penjara kehidupan...
Selagi kita masih ada kudrat untuk bekerja dan berusaha, masih belum terlambat. Tapi tak ada short-cut (dan jangan sesekali cari jalan short-cut, nanti nahas!)...
Kena mulakan balik... Buat perkara yang betul dari sekarang. InsyaAllah 5 - 10 tahun akan datang, kewangan kita akan berubah.
Sedar diri, buat pembetulan
Pertama sekali, kita kena sedar...
Status kewangan pada usia muda, itu disebabkan latarbelakang kehidupan kita. Tapi ketika umur 40-an, itu disebabkan cara kita mengurus kewangan sendiri.
Status kewangan kita hari ni bukan sebab apa yang kita belanjakan semalam, tapi sikap kita bertahun-tahun lamanya.
Yang menentukan tahap kewangan kita lagi 5 - 10 tahun akan datang bergantung sikap dan tabiat kita tentang kewangan hari ini.
Perbetulkan sikap dan tabiat kita tentang kewangan hari ni, masa depan kewangan kita akan berubah. InsyaAllah.
Cepat-cepat perbaiki cashflow, dan amalkan prinsip ini secepat mungkin;
10 prinsip perbetulkan tahap kewangan
- Disiplinkan diri menabung sekurang-kurangnya 10% daripada pendapatan setiap bulan.
- Simpan dulu, belanja selebihnya. Jangan tunggu duit lebih baru nak menabung.
- Sentiasa hidup di bawah kemampuan. Bukan ikut kemampuan, apatah lagi ikut kemahuan.
- Berpada-padalah dengan hutang. Jangan sesekali berhutang, kecuali pada perkara yang benar-benar jadi keperluan mendesak.
- Kalau nak beli sesuatu kena bayar secara ansuran, ketahuilah sebenarnya kita belum mampu. Menabunglah dulu. Bila cukup baru beli.
- Jangan sesekali melabur, kecuali guna duit lebihan daripada tabungan 6 - 12 bulan gaji. Selagi belum cukup tabungan, jangan sibuk melabur. Fokus menabung sahaja dulu.
- Pelaburan terbaik ialah ilmu. Baca buku, datang seminar tentang kewangan. Jangan berhenti tambah ilmu tentang kewangan dan kekayaan.
- Join circle yang betul. Circle yang sentiasa obses tambah tabungan, bina kekayaan dan lupuskan hutang. Circle kita akan menentukan masa depan kita.
- Sentiasa tingkatkan pendapatan dan pelbagaikan sumber pendapatan untuk tambah tabungan. Jangan bergantung hanya pada satu pendapatan.
- Setiap kali pendapatan bertambah, tambahanlah tabungan. Jangan sesekali gunakan kenaikan pendapatan untuk tambah komitmen hutang.
Mudah-mudahan tip ringkas ni bermanfaat bagi rakan-rakan yang nak perbaiki tahap kewangan di usia 40 tahun (dan ke atas), insyaAllah...
Zulkifli
Cyberjaya
18 September 2024
14 Rabiul Awwal 1446H
Coretan FB berkaitan:
Artikel berkaitan:
- Keajaiban Berlaku Bila Kita Mulakan Amalan Menabung!
- 4 Langkah Bangkit dari Masalah Kewangan
- Kewangan Tercekik, Baki Gaji Tinggal RM550. Apa Patut Buat?
- Pencen Bukan Soal Umur, Tetapi Kedudukan Kewangan
- Kita Adalah Mekanik Kewangan Sendiri
- Sebenarnya Kita Tak Ada Masalah Kewangan
- Mindset Betul Untuk Bebas Dari Hutang
- Jawatan Itu Bukan Milik Kita. Buat Dua Persediaan Ini Sebelum Terlambat!