Tukarlah lagi 10 kali kerajaan sekalipun, hidup kita tetap tak akan berubah.
Berhentilah percayakan mitos yang selalu digula-gulakan oleh orang politik; bila kerajaan berubah, hidup kita akan senang.
Sudah lebih 20 tahun saya jadi pengundi... Sudah 7 kali Perdana Menteri bertukar ganti.. Semua blok politik pun sudah pernah memerintah jadi kerajaan pusat...
More...
Kita boleh buat satu kesimpulan penting; semua kerajaan pun lebih kurang sahaja...
Tarik duit rakyat untuk rakyat
Tak ada satu kerajaan pun yang memerintah membuatkan harga barang jadi murah, rakyat hidup senang lenang. Tak ada...
Tapi sebahagian besar (rakyat) masih percaya, kalau kerajaan bertukar lagi, maka hidup mereka akan senang.
Padahal itu semua mitos dan janji-janji manis orang politik supaya mereka kekal relevan di mata pengundi.
Nasihat saya, berhentilah percaya dan letakkan harapan kepada orang politik. Parti mana pun sama sahaja.
Hakikat yang kita kena sedar, kerajaan kerjanya ambil duit kita (rakyat) untuk berikan balik kepada kita. Bukan keluarkan duit dari poket mereka (orang politik) dan masukkan ke poket kita.
Memang itulah cara kerajaan uruskan ekonomi.
Kalau kerajaan beri banyak, mesti dia tarik pun banyak juga!
Tak ada cara lain...
Cekau duit rakyat, bagi kepada rakyat
Orang politik suka tarik perhatian rakyat tentang ekonomi kononnya kalau mereka memerintah, semua rakyat akan hidup senang lenang.
Walhal kerja mereka tetap sama sahaja.
Kalau mereka beri sesuatu kepada rakyat, bukannya mereka keluarkan duit dari poket mereka pun.
Bila mereka bagi kepada kita, tak ada duit lain kecuali duit yang mereka tarik dari poket kita (rakyat) juga.
Mana mereka nak cekau duit bagi kepada kita kalau bukan tarik duit dari poket kita juga?
Jadi jangan letak harapan orang politik akan ubah hidup kita jadi senang lenang. Mereka tak ada duit, kecuali duit tu datang dari poket kita juga.
Bahkan lebih buruk, mereka tak ada agenda pun untuk perjuangkan ekonomi rakyat. Yang banyak berjuang ialah NGO dan pihak swasta.
Survival politik, bukan kesejahteraan rakyat
Kalau jujur nak jadikan rakyat lebih baik, tak perlu tunggu undi mereka jadi kerajaan pun. Mereka boleh sahaja bergerak macam NGO yang terus perjuangkan kesejahteraan rakyat tanpa kuasa memerintah.
Tapi kenapa kena tunggu mereka jadi kerajaan dulu baru nak buat sesuatu untuk rakyat?
Tak ada lain. Motif mereka nak dapatkan tampuk kuasa. Ia tentang survival politik, bukan benar-benar kesejahteraan rakyat.
Jadi berhentilah percaya janji orang politik. Dan berhentilah percayakan mitos; kalau kerajaan berubah, rakyat akan hidup senang.
Yang pastinya bila menang, mereka (dan kroni mereka) yang senang. Mereka masing-masing dapat habuan jawatan-jawatan politik dan keistimewaan penting dalam kerajaan.
Kita (rakyat)?
Belum tentu... Bahkan lepas berkali-kali kerajaan berubah, kita boleh katakan tak ada satu pun zaman hidup rakyat senang lenang disebabkan bertukar kerajaan baru.
Semuanya sama sahaja.
Ekonomi kita tanggungjawab kita
Kalau mereka bagi banyak, mereka tarik pun banyak juga.
Zaman ketika rakyat diberi duit tunai (seperti BR1M dan sebagainya), rakyat sentiasa resah dengan kenaikan tol, kenaikan minyak, kenaikan tarif, kenaikan harga barang (hasil pemotongan subsidi) dan sebagainya.
Zaman ketika kerajaan bagi banyak kelebihan kepada kakitangan kerajaan, tahan kenaikan harga minyak dan kadar tol, duit golongan T20 (orang kaya yang tak kaya) masing-masing kena cekau - ditarik pelbagai subsidi dan keistimewaan.
Sampai ada pihak gelarkan sebagai sebagai "Ekonomi Robinhood". Cekau duit orang kaya (yang tak cukup kaya) untuk diberikan kepada orang miskin.
Jadi tak ada zaman yang semuanya senang dan mudah.
Nak ubah ekonomi kita, kena ubah diri kita. Dan berhentilah percayakan orang politik, dan berhentilah harapkan kerajaan.
Biarlah kerajaan apa pun memerintah, kita bertanggungjawab 100% atas ekonomi kita. InsyaAllah...