MohdZulkifli.Com

Motivasi Kewangan & Simpanan Emas

Kalau Rezeki Allah Jamin, Kenapa Ada Yang Mati Kelaparan? – Ibrah Hidupan Laut

February 17, 2026

Kita selalu dengar ayat, “Allah jamin rezeki setiap makhluk.” 

Hidupan kecil di dasar laut tu pun ada rezekinya. 

Tapi dalam masa yang sama, kita tengok berita — ada negara kebuluran. Ada kanak-kanak mati sebab tak cukup makan. 

Jadi... macam mana sebenarnya?  

Adakah janji Tuhan tak betul? 

Atau kita yang salah faham maksud “jamin rezeki”? 

More...

Saya cuba renung pasal ni untuk lebih faham. 

"Jamin rezeki", tapi tetap kena usaha 

Bila Allah kata Dia jamin rezeki, itu bukan bermaksud kita tak perlu buat apa-apa.

Burung pun kena keluar pagi cari makan. Dia tak duduk dalam sarang tunggu cacing terbang masuk mulut.

Makhluk laut yang kecil tu pun tetap berenang, tetap bergerak cari makan.

Maknaya, rezeki memang Allah dah tentukan. Tapi nak dapatkan rezeki tu, tetap kena usaha.

Kalau kita duduk saja, tak kerja, tak tanam, tak cari — lepas tu salahkan Tuhan... itu bukan tawakkal. Itu salah faham.

Allah jadikan kehidupan dunia ni dengan sistem "sebab dan akibat".

Tanam dulu → baru tumbuh.
Usaha dulu → baru dapat hasil. 

"Jaminan rezeki" bukan tiket untuk malas. Tapi kena bergerak... kena berusaha... malah kena berubah... Barulah Allah akan ubah hidup kita.  

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.” 

- (Surah Ar-Ra’d 13:11)

Kerosakan disebabkan tangan manusia 

Realitinya, ada juga yang sudah berusaha. Tapi tetap juga ada yang mati kelaparan. 

Hidupan laut dan haiwan pun ada yang mati kepupusan. 

Kenapa? 

Sebenarnya Tuhan kurniakan hasilkan makanan lebih daripada cukup untuk seluruh manusia dan makhluk.

Masalahnya bukan makanan tak ada. Tapi kerosakan yang dibuat oleh tangan-tangan manusia sendiri; peperangan, persengketaan, merosakkan alam sekitar, rasuah, tamak dan salah urus apa yang sudah Tuhan sediakan. 

Benda dah ada... Tapi tak diurus dengan baik. 

Macam orang yang gaji besar. Tapi tetap juga terjerat dengan masalah hutang! 

Bukan sebab gaji tak cukup, tapi dia tak urus gaji yang cukup tu dengan betul. 

Begitulah ibaratnya rezeki kita. 

Ada negara tanahnya subur... Ada hasil tanaman... Tapi bila perang meletus, rakyat mati kelaparan.

Bila pemimpin korup, bantuan tak sampai... Bila manusia tamak, orang miskin jadi mangsa.

Bukan Tuhan tak beri, tapi manusia yang rosakkan apa yang sudah Tuhan beri! 

Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut disebabkan oleh perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian daripada akibat perbuatan mereka, agar mereka kembali (insaf).” 

- (Surah Ar-Rum 30:41)

Tuhan uji kita dengan kelaparan

Di sebalik Tuhan jamin rezeki, tapi Tuhan juga akan uji kita. Dunia ni memang tempat diuji. Bukan macam syurga.

Kalau semua orang sentiasa cukup... sentiasa senang dan selesa... apa lagi amalan (usaha) kita untuk masuk Syurga?

Allah beritahu dalam Al-Quran; Dia akan diuji kita...

Ujian setiap kita berbeza-beza.

Ada orang diuji dengan kesenangan dan kekayaan... Ada orang diuji dengan kesusahan; kekurangan, kemiskinan, ketakutan dan kelaparan... 

Bagi orang beriman, ketika senang, dia bersyukur... Dia gunakan apa yang Allah kurniakan kepada dia untuk bersedekah dan berbuat baik sesama manusia... 

Maka Allah berikan dia pahala dan dihapuskan dosa-dosanya.

Ketika susah, dia bersabar... Maka asbab kesabarannya, Allah hapuskan dosanya... angkat darjatnya... dan berikannya pahala tanpa berkira-kira! 

Samada susah ataupun senang, kedua-duanya baik untuk dia!

Itulah ajaibnya orang mukmin kata Nabi s.a.w. 

Daripada Suhaib bin Sinan r.a., bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

عَجَبًا لِأَمْرِ الْمُؤْمِنِ، إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ، وَلَيْسَ ذَاكَ لِأَحَدٍ إِلَّا لِلْمُؤْمِنِ: إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ، فَكَانَ خَيْرًا لَهُ، وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ، فَكَانَ خَيْرًا لَهُ.

"Sungguh menakjubkan urusan orang mukmin! Sesungguhnya seluruh urusannya adalah baik, dan itu tidak dimiliki oleh siapa pun kecuali orang mukmin. 

Jika dia mendapat kesenangan, dia bersyukur, maka itu baik baginya. Dan jika dia ditimpa kesusahan, dia bersabar, maka itu juga baik baginya."

- (Hadis Riwayat Muslim, No. 2999; Riyadus Solihin, Hadis No. 27)

Di sebalik "Allah jamin rezeki"

Apa yang boleh kita simpulkan, maksud "Allah jamin rezeki";

  •  Rezeki kita di tangan Tuhan, bukan di tangan manusia.
  • Setiap makhluk sudah ditentukan bahagian rezeki masing-masing. 
  • Apa yang sudah ditetapkan jadi rezeki kita, orang lain tak boleh ambil, tak boleh sekat. 
  • Rezeki orang lain, kita pun tak boleh ambil. 

Kata orang, rezeki tak salah alamat.

Bila faham pasal perkara ni, hati kita akan sentiasa tenang bila fikir soal rezeki... InsyaAllah... 

Di sebalik "jaminan rezeki" tu, kita kena faham;

  • Tuhan cipta dunia dengan sistem "sebab dan akibat". 
  • Rezeki tak datang bergolek. Tapi datang dihujung ikhtiar kita. Kena usaha... Dan setiap usaha kita tu, Allah bagi kita pahala.
  • Tuhan jadikan manusia sebagai khalifah (pentadbir). Sistem ini rosak akibat tangan manusia - yang salah mentadbir apa yang Allah sudah sediakan.
  • Allah akan uji kita dengan kesenangan dan kesusahan yang silih berganti - untuk mendidik kita jadi hamba-Nya yang bersyukur dan bersabar. 

Khabar gembira bagi orang yang sabar 

Akhir sekali kita semua akan mati...

Kita akan kembali kepada Tuhan dengan amalan "syukur" dan "sabar". Mudah-mudahan dengan amalan tu, Allah ampunkan segala dosa kita dan masukkan kita semua ke dalam Syurga! 

Amiin ya rabbal 'aalamiin...

“Dan sesungguhnya Kami (Allah) akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan dan kelaparan, serta kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan; dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.” 

- (Surah Al-Baqarah 2:155)

Zulkifli
Cyberjaya
17 Februari 2026
29 Syaaban 1447H

Tentang Penulis

Mohd Zulkifli Shafie

Penulis buku bestseller; Wang Emas, dan Misi Bebas Hutang.

Menulis tentang kewangan sejak 2008. Berpengalaman membimbing lebih 9,000 penyimpan emas secara peribadi di Malaysia, Indonesia, Singapore dan Brunei sejak 2010.

Merupakan pengasas G100 Network; network terbesar dealer Public Gold (syarikat pengeluar emas terbesar di Malaysia), yang memberikan servis kepada lebih 800,000 penyimpan emas di seluruh Asia Tenggara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}