MohdZulkifli.Com

Motivasi Kewangan & Simpanan Emas

Berniaga, Atau Sekadar Menjual?

July 23, 2010

 Berniaga kek coklat yang sama, tapi caranya berbeza. 

Sebelum solat Jumaat di Masjid Bukit Damansara tadi, saya ke CIMB sebelah masjid. Ternampak seorang abang berkopiah, berjanggut dan jernih air mukanya sedang berniaga kek coklat kukus.

Saya terhenti sekejap dekat meja jual kek beliau di tepi jalan tu yang dikelilingi ramai kakak yang beratur nak beli kek.

Apa yang membuatkan saya kagum ialah strategi beliau menghidupkan produk. Ini salah satu ilmu yang saya belajar semasa berkursus bersama Chef Li, penulis buku "Jutawan Senyap" - yang jadi jutawan hasil berniaga pasar malam. 

Strategi Mengidupkan Produk

Chef Li selalu tekankan murid-murid beliau supaya betul-betul menghidupkan produk, menghidupkan premis, menghidupkan gerai dan menghidupkan diri sendiri semasa berbisnes.

Bisnes kita kehidup. Tak boleh kaku dan lesu...

Abang penjual kek tadi betul-betul mengingatkan saya teknik menghidupkan produk yang Chef Li ajarkan. 

Ramai orang berniaga kek coklat, tapi abang ni ada kelainan sikit. Strategi abang ni membuatkan orang ramai yang lalu-lalang di situ tertarik.

Kek coklatnya nampak segar, 'panas-panas' seolah-olah baru keluar dari oven. Macam mana caranya? 

Kek coklat yang dikukus dari rumah, di susun elok-elok atas meja. Coklat dan cip coklat disapu dan ditabur DEPAN PELANGGAN!

Wah... kek ni benar-benar kelihatan 'segar' di mata pelanggan! 

9 Pintu Rezeki Dari Perniagaan

Saya cuba congak-congak keuntungan abang tu. Sebiji kek, harganya RM10.00.

Ikut pada bacaan saya, untung sebiji kek tu sekurang-kurangnya RM5.00. Dan mengikut pemerhatian saya lagi, sekurang-kurang 50 biji kek terjual. Maksudnya untungnya RM250 satu meja!

Dan saya dengar, abang tu ada 7 meja di buka serentak dalam sesuatu masa!

Ada di Kampung Pandan, Kampung Baru, Pusat Bandar Damansara dan beberapa tempat lagi! Maksudnya, keuntungan sehari ialah RM1,750. Katakanlah dia menjual cuma 10 hari sebulan, keuntungan beliau RM17,500 sebulan!

Nah... itulah rezeki hasil perniagaan...

Sebab tulah lepas saya berkursus dengan Chef Li, dan bergaul dengan usahawan, saya lebih berminat kepada perniagaan. Saya tahu, potensi sebenar saya lebih besar dari gaji saya hari ini.

Saya benar-benar sedar tentang pesanan Nabi s.a.w. bahawa 9/10 pintu rezeki adalah dari perniagaan! (Hadis Dhoif)

Simpanan tunai RM4 juta!

Mungkin inilah rahsia, bagaimana Chef Li boleh ada simpanan tunai melebihi RM180,000 lepas setahun lebih menjadi penjaja.

Dan seluruh hutang-piutangnya langsai semua sekali, dan lepas dari bangkrap. Beliau hidup tanpa hutang

Kemudian, simpanan tunai hasil perniagaan beliau berkembang, berkembang dan berkembang.

"Saya pernah rasa duit tunai RM200 ribu, RM500 ribu, RM1 juta, RM4 juta dan seterusnya. Setiap kali capai satu tahap, kami akan raikan. Kami buat makan-makan untuk kawan-kawan, jiran tentangga" kata beliau semasa kursus. 

Wah... RM4,000,000 TUNAI! Bukan nilai asset ataupun hartanah, tetapi nilai TUNAI di bank! MasyaAllah... 

Bukan Sekadar Berniaga, Tapi Belajarlah Caranya

Sebab tu Chef sarankan, setiap keluarga mesti ada kemahiran berniaga, kemahiran mengeluarkan produk dan mesti terlibat dengan perniagaan.

Masyarakat yang berniaga boleh survive kata beliau sebagaimana kaum Cina. Kemahiran anda, walaupun sekadar menebar roti canai, ia boleh membuatkan anda kaya raya kalau anda nampak, katanya.

Bila ditanya Chef, kenapa ramai orang berniaga menjaja tapi tak kaya-kaya seperti beliau?

Ah... senang saja balas beliau. Adakah sama orang berilmu dengan tak berilmu? Adakah sama peniaga yang datang kursus dengan yang tak pernah berkursus?

Itulah sebabnya... 

Orang berilmu, buat perkara yang sama dengan cara berbeza. Dan hasilnya juga, pastinya berbeza, insyaAllah. 

Berniaga atau Sekadar Menjual?

Oh.. Memang benar kata beliau. Walaupun saya tak terlibat dengan bisnes menjaja, tapi dengan ilmu dari Kursus Asas Usahawan Penjaja bersama beliau, saya boleh baca sejauh mana seorang penjaja boleh pergi.

Menilai produknya, kombinasi produknya, membaca margin keuntungannya, dan strategi yang mereka pakai, kita boleh tahu siapa sebenarnya BERNIAGA dan ada masa depan, dan siapa yang sekadar MENJUAL (berniaga tapi tak berapa untung). 

Kalau nak berniaga, kita kena dapatkan ilmunya, dan berguru dari orangnya.

Tapi kalau sekadar nak menjaul, juallah apa sahaja yang boleh dijual.

Dan bukanlah satu kejutan, kalau bisnes tak berkembang maju. Walaupun produknya sama, tapi bezanya pada ILMUNYA...  

Wallahu a'lam.

Zulkifli
Damansara Heights
9 Julai 2010
27 Rejab 1431

Tentang Penulis

Mohd Zulkifli Shafie

Penulis buku bestseller; Wang Emas, dan Misi Bebas Hutang.

Menulis tentang kewangan sejak 2008. Berpengalaman membimbing lebih 7,000 penyimpan emas secara peribadi di Malaysia, Indonesia, Singapore dan Brunei sejak 2010.

Merupakan pengasas G100 Network; network terbesar dealer Public Gold (syarikat pengeluar emas terbesar di Malaysia), yang memberikan servis kepada lebih 500,000 penyimpan emas di seluruh Asia Tenggara.

  • As salam ustaz.Bulan feb saya masuk kelas buat kek dan pasang impian nak jadi pakar dlm bidang ini..saya nak belajar kursus asas usahawan seperti ustaz..untuk tahun ini ada kursus tak?

    Terima kasih.Saya dijohor.Kursus seperti ini ada di johor tak

  • {"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}
    >