Duit simpanan saya tak bocor, nilai simpanan jangka panjang lebih terjamin, dan kekayaan saya 100% di bawah kawalan saya. Itulah 3 sebab utama kenapa saya jadi penyimpan emas tegar.
Setiap orang ada alasan tersendiri kenapa mereka simpan emas. Begitu juga dengan saya.
Walaupun yang membuka mata saya tentang emas pada permulaannya ialah trend kenaikan harga emas pada 2010 yang mana peratus kenaikannya jauh lebih tinggi daripada dividen ASB ataupun Tabung Haji, tetapi saya terus membeli walaupun harga dalam trend menurun pada 2012 - 2014.
Harga emas naik, saya beli. Tapi bila harga emas turun, saya beli lebih banyak!
More...
Kenapa?
Emas Sebagai Simpanan, Bukan Pelaburan
Saya beli emas sebagai SIMPANAN, bukan PELABURAN. Target saya nak memiliki lebih banyak kepingan emas, bukan bermain dengan naik turun harga emas.
Jadi dalam apapun keadaan, saya pastikan tabungan emas saya sentiasa bertambah.
Saya pastikan dalam apapun keadaan, keluarga saya sentiasa bersedia dengan 1 kilogram emas sebagai DANA KECEMASAN kami sekeluarga. Dan itulah juga saya sarankan letak target sekurang-kurangnya 1 kilogram 1 keluarga.
Dan duit simpanan jangka panjang sekurang-kurangnya 2 tahun ke atas, saya tukarkan terus kepada emas kerana 3 tujuan utama:
(1) Forgotten Saving
Saya jadikan emas sebagai "simpanan untuk dilupakan". Saya rasa simpan emas adalah cara yang sangat berkesan merawat masalah 'tangan yang gatal' sentuh duit simpanan dari dibelanjakan pada perkara yang kurang penting.
Duit bila dah tukar jadi kepingan emas dinar dan gold bar, tak terasa nak guna pun. Bayangkan ada duit beribu ringgit dalam akaun bank, tak keruan rasanya nak belanja.
Dan memang terbukti, sejak 2010 mula menabung emas, saya tak pernah lagi menjual emas simpanan saya. Hanya "beli, beli, beli" sahaja. Setakat ni tak pernah bocor, alhamdulillah.
(2) Nilai Jangka Panjang Terjamin
Bila saya faham teori "1 dinar 1 ekor kambing", saya tak bimbang lagi tentang inflasi, kejatuhan ringgit dan apa sahaja bencana ekonomi dan politik.
Duit yang kita simpan di bank atau apa-apa bentuk pelaburan yang cuma ada 'nombor dan kertas' ringgit sahaja akan terjejas nilainya bila apa-apa terjadi pada ekonomi dan politik negara.
Ketika krisis kewangan tahun 1997, ringgit jatuh 50% hanya dalam masa setahun! Dan ianya tak pernah terjadi dalam sejarah 30 tahun harga emas. Kalau perkara sama berulang lagi, kekayaan kita boleh hilang 50% setahun walaupun ianya bukan salah kita.
Jadi bila tukarkan duit kepada emas, kita tak perlu lagi bimbang. Nilai emas tak terjejas walauapapun terjadi kepada ekonomi ataupun politik negara. Bahkan dalam senario paling buruk seperti berlaku pergolakan politik ataupun peperangan sekalipun, nilai emas tak terkesan.
1 dinar terbukti mampu beli seekor kambing sejak 1400 tahun dulu hingga sekarang. Kuasa belinya boleh dikatakan "kekal".
(3) Kekayaan Di Tangan Sendiri
Bila memiliki emas, kita tak terikat dengan sesiapa. 100% di dalam kawalan kita. Ia satu-satunya aset kewangan yang TIADA DALAM SISTEM KEWANGAN. Dan nilainya berdiri dengan sendiri tanpa perlu jaminan sesiapa.
Tak perlu geran ataupun surat pemilikan. Tak perlu pengesahan daripada sesiapa termasuk pihak kerajaan. Tak ada sesiapa yang boleh rampas dan membekukan emas kita. Hatta kalau jatuh bangkrup pun, ia masih milik kita.
Kalau duit kertas, nilainya terletak pada jaminan dan kekukuhan kerajaan. Pada bila-bila masa nilainya boleh hilang begitu sahaja. Dengan memiliki emas, saya rasa BEBAS dari kongkongan sesiapa.
Itulah 3 sebab utama kenapa saya simpan emas.
Emas bukanlah EVERYTHING, tetapi ia adalah SOMETHING yang kita perlu pertimbangkan untuk dimasukkan dalam portfolio kewangan kita sebagaimana pesan Tuan Azizi Ali (Pakar Kewangan), sekurang-kurangnya 10% kekayaan kita perlu disimpan dalam bentuk emas.
Allahu a'lam.