Perasaan saya bercampur baur...
Dua perasaan yang cuba saya sorokkan sepanjang event #ARN2024.
Pertama rasa terharu.
Tengok pengorbanan murid-murid saya datang jauh, berhabis duit dan masa, datang hanya semata-mata nak tengok kejayaan orang lain tanpa mereka apa-apa award, terasa berat tanggungjawab saya menggalas harapan mereka.
More...
Terharu lihat kesungguhan
Melihat pengorbanan dan kesungguhan mereka untuk berjaya, terkenang balik memori saya dan isteri berbelas tahun dulu.
Itulah jalan yang kami pun pernah lalui.
Bahkan jalan kami lebih panjang dan tempoh waktu kami nak capai sesuatu kejayaan lebih lama.
Kehadiran murid-murid saya dari #PGG100Network dan #5GAssociates yang hampir 2/3 dewan, saya ambil tanggungjawab peribadi untuk menggalas harapan mereka.
Supaya satu hari nanti, mereka juga dapat apa yang saya dapat dalam #PublicGold. InsyaAllah.
Kedua, rasa takut dan bimbang.
Bimbang ujian yang datang
Setiap kali naik ke pentas dipuja dan dipuji, terkenang memori 2018...
Hanya sebulan lepas saya diarak naik ke pentas sebagai "Champion" achiever dalam #ARN2008, saya dihumban ke tempat paling rendah dan paling hina sepanjang hidup saya - penjara!
Memori tu membuat saya rasa takut, trauma, dan bimbang...
(Moga Tuhan lindungi saya dari diuji lagi sekali...)
Musibah tu jadi peringatan, supaya janganlah timbul rasa sombong dan bangga diri atas sesuatu kejayaan, hingga Tuhan humban ke bawah sebagaimana Tuhan humban Qarun kerana kesombongan dan kemegahan - atas harta kekayaan yang Tuhan kurniakan kepadanya.
Apa sahaja kemegahan dan kebanggaan yang Tuhan kurniakan hari ni boleh hilang sekelip mata pada bila-bila masa...
Sepanjang event, saya sentiasa beristighfar - memohon ampun kepada Tuhan...
Kalaulah Tuhan kurniakan saya dengan kejayaan, biarlah datang bersamanya dengan rasa rendah diri seperti rendah dirinya Nabi Sulaiman a.s.
Kaya, kuat lagi merendah diri
Nabi Sulaiman punyai kekayaan dan kekuatan.
Hartanya yang banyak, sampai rasa 'terhina' bila diberi hadiah oleh Ratu Saba (sebagai balasan seruan untuk tunduk patuh kepada Tuhan). (27 : 36)
Kerana apa yang Tuhan kurniakan kepada baginda jauh lebih baik dari itu.
Baginda punyai bala tentera yang kuat. Bukan sahaja dari kalangan manusia, tapi juga dari kalangan jin-jin dan burung-burung. (27 : 17)
Hebatnya tentera baginda, dapat bawa (pindahkan) istana Ratu Saba ke depan baginda hanya dalam sekelip mata! (27 : 39 - 40)
Tapi ketika terdengar 'pujian' seekor semut tentang kehebatan tenteranya, baginda merendah diri dan terus mengangkat tangan berdoa moga Tuhan jadikan dia sebagai orang yang bersyukur lagi berbuat baik (dengan apa yang Tuhan kurniakan kepada baginda).
Mudah-mudahan Tuhan lindungi saya dan kita semua dari sifat sombong dan membangga diri, dan memasukkan kita semua dalam golongan hambaNya yang bersyukur dan sentiasa merendah diri...
Amiiin Ya Rabbal Alamiin...
Merendah diri saat dipuji
"Dan dihimpunkan bagi Nabi Sulaiman bala tenteranya, dari kalangan jin dan manusia serta burung; lalu mereka dijaga serta diatur keadaan dan perjalanan masing-masing.
(Maralah angkatan itu) hingga apabila mereka sampai ke "Waadin-Naml" (lembah semut), berkatalah seekor semut:
"Wahai sekalian semut, masuklah ke sarang kamu masing-masing, jangan sampai Sulaiman dan tenteranya memijak serta membinasakan kamu, sedang mereka tidak menyedarinya".
Maka tersenyumlah Nabi Sulaiman mendengar kata-kata semut itu, lalu berdoa dengan berkata:
"Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal kebaikan yang Engkau redhai; dan masukkanlah daku - dengan limpah rahmatMu - dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh (baik)".
NOTA : Foto bersama lebih 700 murid saya dari team G100 Network, network terbesar dealer Public Gold. Alhamdulillah. Mudah-mudahan mereka jadi sebahagian dari kejayaan #MisiUbahHidup1000Keluarga dan dapat apa yang saya dapat. InsyaAllah.
Zulkifli
Cyberjaya
17 Julai 2024
11 Muharram 1446H
Sesungguhnya Qarun adalah ia dari kaum Nabi Musa, kemudian dia berlaku sombong dan zalim terhadap mereka;
dan Kami telah mengurniakannya dari berbagai jenis kekayaan yang kunci-kuncinya menjadi beban yang sungguh berat dipikul oleh sebilangan orang yang kuat lagi sasa.
(Dia berlaku sombong) ketika kaumnya berkata kepadanya:
"Janganlah engkau bermegah-megah (dengan kekayaanmu), sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang bermegah-megah. (seperti lagakmu itu)."
Berkatalah Ifrit dari golongan jin:
"Aku akan membawakannya kepadamu (istana Ratu Saba) sebelum engkau bangun dari tempat dudukmu, dan sesungguhnya aku amatlah kuat gagah untuk membawanya, lagi amanah".
Berkata pula seorang yang mempunyai ilmu pengetahuan dari Kitab Allah:
"Aku akan membawakannya kepadamu dalam sekelip mata!"
Setelah Nabi Sulaiman melihat istana itu terletak di sisinya, berkatalah dia:
"Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberianNya. Dan (sebenarnya) sesiapa yang bersyukur maka faedah syukurnya itu hanyalah kembali kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah".