Tengah excited di kaunter check-in Business Class Malaysia Airlines (MAS) KLIA, tiba-tiba staff di kaunter bagitahu pihak imigresen New Zealand nak bercakap dengan saya melalui telefon lagi 10 minit.
Ah... Ini mesti sebab nama saya ada masalah untuk mereka benarkan masuk ke New Zealand. Mungkin sebab kes saya dipenjarakan selama 2 tahun (2018 - 2020) gara-gara bersedekah RM200.
More...
Lepas bercakap berberapa minit untuk dia confirmkan yang saya pernah dihukum penjara, maka dia bagitahu saya tak dibenarkan masuk ke New Zealand! Terkilan...
Selindung Kesedihan
Tapi saya senyum kelat untuk cover kesedihan dan kekecewaan. Supaya orang lain tak bersedih atas berita yang baru diterima...
Saya terus bisik pada isteri, “Ayang pergilah ya walaupun Abang tak dapat pergi...”
Isteri saya gelengkan kepala (tak nak pergi)... Berat hati dia nak pergi seorang diri tanpa saya...
Tapi saya fikir biarlah kesedihan ni saya tanggung seorang diri... Bukan isteri saya, atau peserta-peserta lain...
Sudahlah peserta PGLS kali ini cuma 22 orang (termasuk staff Public Gold). Tiba-tiba seorang lagi terkeluar dari senarai... Lagi pun Public Gold dah bayar semua kos untuk trip tu untuk kami berdua.
Tanggung Seorang Diri
Saya bercakap kepada staff MAS (Malaysia Airlines) untuk confirm samada isteri saya boleh ikut serta ataupun tak.
Pihak imigresen New Zealand minta bercakap melalui telefon beberapa minit dengan isteri saya. Lepas bercakap dan tanya beberapa soalan untuk kepastikan, akhirnya isteri saya dibenarkan masuk ke New Zealand...
Alhamdulillah... Lega...
Saya nampak isteri saya dalam serba salah sambil menitiskan air mata... Guru saya En Syukor juga sama... En Syukor mengesat-nyesat air mata, tak dapat selindung lagi kesedihan dia atas apa yang lagi sekali menimpa saya...
Tapi saya tetap cool depan mereka... Walaupun hati saya pun sebenarnya sedih, kecewa, dan terkilan...
Mangsa Keadaan
Sesiapa pun akan terkilan...
Kalau nama saya buruk sebab memang saya buat jenayah ataupun kejahatan, saya boleh terima sebagai balasan.
Tapi nama buruk sebab terperangkap dalam birokrasi perundangan SOSMA (yang kontroversi), yang menghukum niat baik saya nak bantu orang susah. Tapi dianggap sebagai satu jenayah yang berat - menyokong “terrorisme” (keganasan)!
Nak buang sampah merata-rata pun rasa berdosa, inikan pula nak bagi duit kononnya nak mencederakan orang atau merosakkan harta sebagaimana pertuduhan!
Demi Allah!... Tidak sesekali... Itu bukan sifat saya...
Tenangkan Hati
Cuma untuk tenangkan hati...
Saya fikir, apalah sangat terseksa sebab tak dapat terbang bercuti? Bukankah Tuhan pernah uji saya yang lebih berat daripada ini - terkurung dalam ‘neraka dunia’ selama 2 tahun?
Setiap kali rasa sedih dan terkilan tu timbul, saya sentiasa fikir, setiap apa yang terjadi, pasti ada hikmah kebaikan di sebaliknya...
Yang mana hikmah kebaikan itu pasti saya akan sedar bila tiba waktunya nanti...
Bahkan kalaulah saya tahu hikmah yang tersimpan itu, pasti saya tak akan bersedih dan menangis pada hari ini...
Diganti Yang Lebih Baik
Setiap kali rasa sedih dan terkilan (atas musibah yang menimpa), saya tahu Tuhan pasti akan hapuskan dosa-dosa saya...
Kerana setiap kesakitan yang menimpa kita, pasti Tuhan akan hapuskan dosa-dosa kita walaupun hanya sebab tercucuk duri yang halus kata Nabi s.a.w...
Tuhan tak akan sia-siakan kita, selagi kita beriman dan tetap bertaqwa...
Bersabarlah wahai hati... Kerana Tuhan pasti akan gantikan apa yang lebih baik untuk kalau kita redha dan tetap bersabar...
Zulkifli
Cyberjaya
19 Mei 2023
28 Syawal 1444H
"... Boleh jadi kamu membenci sesuatu itu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu itu, padahal ia amat buruk bagimu. Allah lah yang mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui (akan hakikat di sebaliknya)"
Abu Sa'id dan Abu Hurairah (Semoga Allah meredhai mereka) melaporkan bahawa Nabi (ﷺ) bersabda:
"Tidaklah seorang mukmin ditimpa kesusahan, penyakit, kegelisahan, kesedihan, kebimbangan, atau bahkan tertusuk duri sekalipun, melainkan Allah akan menghapuskan dosa-dosanya kerana kesabarannya".
(Muttafaqun 'Alaih)
Kalaulah kita tahu apa yang Tuhan sediakan untuk kita di sebalik setiap musibah yang berlaku, nescaya kita tak akan menangis pada hari itu. Tapi kita tak mengetahui akan hakikatnya sedangkan Tuhanlah yang Maha Mengetahui. #TabahHadapiMusibah - FB Mohd Zulkifli Shafie, 17 Julai 2024
Berita berkaitan:
- Niat baik makan diri, penasihat kewangan meringkuk dalam penjara - Berita FMT
- Penjelasan: Undang-undang kontroversi SOSMA - Berita FMT
- SUARAM mahu pelaksanaan SOSMA dinilai semula - Harian Metro