Gara-gara tak sabar nak share... Cerita asalnya lain, tapi cerita tersebarnya lain. Ini yang selalunya terjadi dalam banyak berita yang kita terima.
“Plot twist” katanya...
Medsos kesannya besar. Ia boleh jadi sumber pahala, tapi boleh juga jadi ledakan dosa!
Yang sengaja reka cerita (fitnah) tu dah confirm berdosa. Tapi tolong share pun tak pasal-pasal sama dapat dosa!
Macam mana boleh jadi macam tu?
More...
Walaupun sekadar foward
Setiap kali ada berita yang saya terbaca di medsos, saya sentiasa ingatkan diri saya tentang pesanan Nabi s.a.w. ni;
“Cukuplah seseorang itu dianggap berbohong apabila dia menceritakan segala apa yang dia dengar (tanpa usul periksa).”
Maknanya, kalau kita sekadar sampaikan berita yang kita dengar — tanpa semak, tanpa sahihkan dulu — itu pun sudah dikira berdusta di sisi Allah.
Walaupun kita tak reka cerita pun.
Kadang kita cuma “forward” mesej dari WhatsApp.
Atau “share” satu posting yang nampak menarik (yang mengundang kesan negatif) — tapi tak tahu betul atau tidak.
Niat kita mungkin nak kongsi maklumat. Tapi dalam masa sama, kita dah jadi penyambung rantaian dusta.
Penyambung lidah syaitan!
Dia sebar berita dengan senyum sinis, tapi syaitan sambutnya dengan senyuman manis - dapat sama-sama jadi teman di Neraka!
Selidik dulu ataupun diam
Zaman Nabi dulu, berita palsu tersebar dari mulut ke mulut.
Tapi zaman sekarang, satu klik je... Dah boleh tersebar ke ribuan orang.
Lagi bahaya sebab pembohongan tu kekal — tak boleh ditarik balik walaupun kita delete. Ianya dah tersebar...
Sebab tu Allah ajar kita supaya tabayyun — semak dulu, nilai dulu, baru sebarkan.
Allah berfirman:
“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”
Yang menarik dalam ayat ni — Allah sebut:
“...sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”
Siapa jaga lidah, Nabi jamin Syurga
Maksudnya, ketelanjuran lidah tu akhirnya bukan merosakkan orang lain, tapi diri sendiri.
Kalau tak menyesal di dunia, akan menyesal di akhirat — waktu penyesalan dah tak berguna lagi.
Betapa besarnya dosa lidah, sehinggakan Nabi s.a.w. jamin Syurga bagi siapa yang dapat menjaga lidahnya...
Diriwayatkan daripada Sahl bin Sa‘d r.a.:
Rasulullah ﷺ bersabda:
“Sesiapa yang dapat menjamin (menjaga kesucian) apa yang berada di antara dua rahangnya (iaitu lidahnya) dan apa yang berada di antara dua kakinya (iaitu kemaluannya), maka aku jamin untuknya Syurga.”
Zulkifli
Cyberjaya
11 Oktober 2025
18 Rabiul Akhir 1447H
Artikel berkaitan:
- Takutilah Doa Orang Kena Fitnah, Tekan Pause Sebelum Share!
- Makin Besar Pengaruh, Makin Berat Beban Dalam Berkata-kata
- Perkataan Yang Dilazimi, Itulah Perkataan Akhir Saat Kita Mati
- Keyboard Warrior : Si Jahil Bantah Pakar, Disokong Si Bodoh
- Fitnah, Tak Pasti Jangan Kongsi. Elak Penyesalan Kemudian Hari
- Tip Kekal Tenang Bila Diganggu Haters di Medsos