MohdZulkifli.Com

Motivasi Kewangan & Simpanan Emas

Fitnah, Tak Pasti Jangan Kongsi. Elak Penyesalan Kemudian Hari

January 25, 2024

Dah agak dah... Isu "Pembalakan baik bagi populasi harimau - Jabatan Perhutanan Kelantan" satu ketika dulu tu sebenarnya kenyataan yang dimanipulasi di luar konteks sebenar.

Seronok masing-masing ikut kecam dan troll. 

Sebab tu saya tak berani masuk campur bila kecoh isu-isu berkaitan dengan politik di media sosial. Takut terjebak dengan "dosa berantai" yang akan membuatkan kita muflis di Akhirat sana.

Puak mana pun lebih kurang sama sahaja.

Nak selamat, ikutlah pesanan Nabi s.a.w. supaya "berkatalah yang baik atau diam sahaja".

Di medsos, kita boleh dapat ledakan pahala, dan boleh juga dapat ledakan dosa!

Jauhi dosa berantai

Kalau tak pasti samada boleh dapat pahala atau dosa, maka diam itu lebih baik. Jangan komen, jangan share. 

Saya tertarik dengan coretan FB Ustaz Aizuddin Kamarul Zaman pada 25 Januari 2022 sebagai peringatan untuk kita:


Harimau oh harimau

Sejak semalam ramai yang troll isu balak dan harimau. Jadi saya pun mencari-cari maklumat berita ini. Saya google je. Benda paling mudah.

Mula-mula baca berita, saya pun rasa apa teruk sangat pegawai-pegawai ini mengeluarkan kenyataan.

Macam manalah boleh lulus interview jawatan ini.

Tapi saya tak puas hati, kenyataan akhbar boleh spin. Jadi saya cari audio kalau ada. 

Selidik dulu sebelum percaya

Rupa-rupanya ada audio interview itu.

Apa yang disebutkan itu ada asasnya dan kajian... Walaupun di hujung ucapannya itu saya ada sedikit keraguan. Atau mungkin kesimpulan yang kurang tepat. 

Tapi biarlah, kerjanya mesti dia tahu apa yang dia kata.

Cuma saya rasalah kalau siapa yang mendengar, pasti akan rasa malu dengan perangai kita yang tak sudah-sudah share satu berita tanpa kita tahu hujung pangkal cerita sebenar.

Kerja orang politik memang kotor, jadi kita janganlah terikut-ikut sangat gendang yang mereka palu. Takut menyesal. 

Firman Allah yang bermaksud :

Dan apabila muka mereka dibalik-balikkan oleh Allah dalam neraka, mereka berkata (dalam penyesalan), “Alangkah baiknya kalau kami (di dunia) dahulu taat kepada Allah dan taat kepada Rasul.”

Dan mereka berkata lagi, “Wahai Tuhan kami, sesungguhnya kami telah mematuhi kehendak ketua-ketua dan orang-orang besar kami (pemimpin), lalu mereka menyesatkan kami dari jalan yang benar.”

“Wahai Tuhan kami, berikanlah mereka (pemimpin-pemimpin yang menyesatkan itu) azab sengsara DUA KALI GANDA, dan LAKNATLAH mereka dengan laknat yang sebesar-besarnya.” 

(Surah Al-Ahzab 33 : 66 - 68

Hidup terlalu singkat untuk bertelingkah

Bersabarlah sahabat.

Tahan mulut dan tangan kita.

Sebab, umur kita pendek. Pendek untuk bermaksiat. Pendek untuk bertelingkah.

Terus taat pada Allah dan Rasul. 


Mudah-mudahan jadi peringatan untuk kita. Supaya tak menyesal di hari penyesalan tidak berguna lagi...

Semoga Allah lindungi kita dan ahli keluarga kita dari azab neraka. Amiin ya Rabbal 'Aalamiin.

Zulkifli
Jakarta Selatan
25 Januari 2024
14 Rejab 1445H

Daripada Abu Hurairah r.a., daripada Nabi s.a.w, baginda bersabda;

“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, hendaklah dia tidak menyusahkan jirannya. Dan sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, hendaklah dia memberi layanan yang baik kepada tetamu. Dan sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, hendaklah dia bercakap yang baik atau diam (menahan diri dari segala jenis perbualan jahat dan kotor).” 

(HR Bukhari & Muslim) 

[Rujukan : Riyadus Solihin Karya Bestari, halaman 919] [Sahih Bukhari, 6018]

Tentang Penulis

Mohd Zulkifli Shafie

Penulis buku bestseller; Wang Emas, dan Misi Bebas Hutang.

Menulis tentang kewangan sejak 2008. Berpengalaman membimbing lebih 7,000 penyimpan emas secara peribadi di Malaysia, Indonesia, Singapore dan Brunei sejak 2010.

Merupakan pengasas G100 Network; network terbesar dealer Public Gold (syarikat pengeluar emas terbesar di Malaysia), yang memberikan servis kepada lebih 500,000 penyimpan emas di seluruh Asia Tenggara.

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}
>