Setiap kali masuk 1 Ramadhan, ini ayat pertama akan “pop up” dalam kepala saya.
“Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan puasa ke atas dirimu sebagaimana ia telah diwajibkan ke atas umat sebelum kamu, mudah-mudahan (dengan puasa itu) kamu jadi orang bertaqwa.”
Setiap kali masuk Ramadhan, ayat ni akan dibaca dalam kuliah dan tazkirah Ramadhan.
Ia jadi annual reminder, “kita puasa Ramadhan ni untuk apa?"
Untuk dapat "taqwa"
Dulu-dulu, masa kecil... kita fikir puasa ni pasal tahan lapar, tahan dahaga, tak boleh makan siang.
Kita puasa sebab semua orang puasa.
Tapi bila dewasa, kita makin upgrade...
Puasa untuk dapat pahala... Puasa supaya Allah ampunkan dosa.
Tapi bila kita ulang baca ayat ni, automatik ingatkan kita, hujungnya ialah “taqwa”.
“Mudah-mudahan kamu bertaqwa.”
Maknanya, puasa cuma “proses”. Objektifnya ialah taqwa.
"Taqwa” tu apa?
Setakat apa yang saya faham, bahasa modennya, “integriti”.
Baik di depan manusia, baik juga di belakang manusia.
Kita buat baik bukan sebab manusia nampak, tapi sebab Tuhan nampak. Kita sentiasa dalam CCTV Tuhan.
Orang bertaqwa, sentiasa pilih buat baik walaupun ada peluang, kuasa dan ruang untuk buat jahat.
Dia baik sebab Tuhan suruh dia buat baik, bukan kerana manusia.
Sebab ramai orang tak buat jahat bukan sebab dia baik. Tapi sebab dia tak ada peluang... sebab belum ada kuasa... sebab tak ada ruang... dan sebab takut kantoi!
Bukan sebab dia baik...
Itu bukan maksud taqwa...
Pilih untuk jadi baik
Sebaliknya orang bertaqwa, dia tetap pilih buat baik, walaupun orang tak nampak... walaupun dia ada kuasa dan peluang... walaupun dia boleh terlepas dari undang-undang...
Kalau dia boss, dia tak ambil duit syarikat.
Kalau dia staff, dia tak sesekali tipu claim, tak tipu MC atau curi tulang.
Kalau dia penguatkuasa, dia tak ambil rasuah.
Kalau dia bercinta, dia tak akan keluar berdua-duaan tanpa ditemani mahram.
Kalau dia suami atau isteri, dia tak ‘menggatal’ walaupun di belakang pasangan.
Kalau dia peniaga, dia tak akan sesekali menipu di atas kejahilan customer.
Dengan kata lain, dia tetap pilih jadi baik walaupun dia ada peluang buat jahat!
Itulah yang saya faham maksud taqwa.
Dia baik bukan sebab sesiapa... Tapi sebab dia takut akan Tuhan...
Bulan offer berganda!
Ramadhan macam bootcamp tahunan... Kita disibukkan dengan pelbagai ibadah...
Ada puasa...
Ada solat terawih dan qiamullai...
Ada tadarus Al-Quran...
Meriah dengan tazkirah dan kuliah...
Di dalamnya ada pelbagai offer...
Pintu-pintu syurga ‘dibuka’...
Pintu-pintu neraka ‘ditutup’...
Syaitan dibelengu...
Pahala digandakan...
Dosa diampunkan...
Betapa banyaknya peluang jadi baik (taqwa), sampai dianggap celaka (malang) bagi siapa yang tak dapat apa-apa dengan datangnya bulan Ramadhan...
'Grad' sebagai orang bertaqwa
Ramadhan kali ni, boleh jadi ini Ramadhan terakhir untuk kita.
Setiap kali masuk 1 Ramadhan, saya sentiasa rasa bimbang... Bimbang kalau-kalau dengan berakhirnya Ramadhan, tak dapat apa-apa selain sekadar lapar dan dahaga...
Mudah-mudahan Ramadhan kali ni lebih baik dari tahun sebelumnya...
Mudah-mudahan Ramadhan kali ni, kita semua ‘grad’ sebagai hamba Allah yang lebih bertaqwa...
Amiin ya Rabbal ‘Aalamiin...
Zulkifli
Cyberjaya
19 Februari 2026
1 Ramadhan 1447H
Daripada Jabir bin ‘Abdullah r.a. bahawa Nabi ﷺ naik ke atas mimbar.
Apabila Baginda sampai ke anak tangga pertama, Baginda berkata: “Amin.”
Apabila Baginda naik ke anak tangga kedua, Baginda berkata: “Amin.”
Apabila Baginda naik ke anak tangga ketiga, Baginda berkata: “Amin.”
Para sahabat berkata, “Wahai Rasulullah, kami mendengar engkau menyebut ‘Amin’ sebanyak tiga kali.”
Baginda bersabda:
“Ketika aku naik ke anak tangga pertama, Jibril datang kepadaku lalu berkata:
‘Celaka seorang hamba yang datang kepadanya bulan Ramadan, kemudian Ramadan berlalu daripadanya sedangkan dia tidak diampuni dosanya.’, lalu aku berkata: ‘Amin.’
Kemudian dia berkata:
‘Celaka seorang hamba yang mendapati salah seorang atau kedua ibu bapanya masih hidup, tetapi mereka tidak menjadi sebab dia masuk ke dalam Syurga.’, lalu aku berkata: ‘Amin.’
Kemudian dia berkata:
‘Celaka seorang hamba yang apabila engkau disebut di hadapannya, dia tidak berselawat ke atasmu.’, lalu aku berkata: ‘Amin.’”
- (Hadis Riwayat Ahmad dalam Adab Al-Mufrad no. 644 - sahih)
Daripada Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:
“Apabila datang bulan Ramadhan, dibuka pintu-pintu Syurga, ditutup pintu-pintu Neraka, dan dibelenggu syaitan-syaitan.”
- (Hadis riwayat Bukhari no. 1899, Muslim no. 1079)
Daripada Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:
“Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan kerana iman (yang tulus) dan mengharapkan ganjaran daripada Allah, maka akan diampunkan baginya dosa-dosanya yang telah lalu.”
- (Hadis riwayat Bukhari no. 38, Muslim no. 760)
“Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.”
Daripada Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:
“Sesiapa yang mendirikan solat pada malam al-Qadr (Lailatul Qadar) dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran daripada Allah, maka akan diampunkan baginya dosa-dosanya yang telah lalu.
Dan sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran daripada Allah, maka akan diampunkan baginya dosa-dosanya yang telah lalu.”
- (Hadis riwayat Bukhari no. 1901, Muslim no. 760)

