Setiap kali dapat berita kematian orang baik-baik, datang rasa sedih... Tapi dalam masa sama rasa cemburu...
Cemburu dia mati dalam keadaan baik.
Urusan dia dunia dah selesai. Tapi kita yang masih hidup, nasib kita macam mana? 🥹
Itulah yang bermain dalam fikiran saya...
Kemuncak kejayaan di dunia
Kemuncak kejayaan hidup kita bila mana kita mati dalam keadaan baik. Husnul khatimah...
Walaupun perjalanan hidup kita berbeza-beza, tapi yang penting kita semua bercita-cita mati dalam keadaan baik.
Bahkan kita tak boleh mati, kecuali dalam keadaan kita orang yang baik.
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Muslim (menyerah diri kepada Tuhan).”
Bila seseorang mati dalam keadaan baik, maka hilanglah segala penat lelah dia dengan ujian dunia.
Maka bermulalah kehidupan sebenar yang Tuhan janjikan, iaitu kehidupan selepas kematian.
Kematian bukan pengakhiran
Walaupun kita sangka orang mati tu mati, tapi hakikatnya orang baik-baik ni tak mati. Mereka hidup di dunia lain (di alam barzakh), dengan nikmat yang kekal...
Allah jelaskan dengan terang dalam Al-Quran akan hakikat kematian orang yang baik-baik ni:
“Dan janganlah kamu menyangka orang-orang yang terbunuh pada jalan Allah itu mati, bahkan mereka itu hidup di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki.”
Walaupun ayat ini khusus menceritakan tentang syuhada’ (mati syahid), para ulama nyatakan; ia juga bukti kematian bukan pengakhiran mutlak.
Orang mukmin tetap hidup... Mereka transit sekejap di alam barzakh, menikmati rezeki daripada Allah sementara ke Syurga.
Berehat sementara di alam barzakh
Selepas roh berpisah dari jasad, kita akan masuk ke alam barzakh – iaitu alam perantaraan antara dunia dan akhirat.
Bagi orang mukmin, barzakh bukanlah tempat derita, tapi tempat rehat...
Nabi ﷺ bersabda:
“Apabila seseorang hamba mukmin diletakkan di dalam kuburnya, dia akan menjawab soalan-soalan malaikat dengan tenang. Lalu dikatakan kepadanya: ‘Tidurlah seperti tidurnya pengantin yang tidak akan dibangunkan melainkan oleh orang yang paling dia cintai.’”
- (Hadis Riwayat Tirmizi, no. 1071 - sahih)
Bayangkan... Selepas penat berjuang dengan pelbagai ujian di dunia, orang mukmin berehat di kuburnya dengan penuh ketenangan.
MasyaAllah... Dia sedang berehat dalam penuh kenikmatan...
Hidup dengan nikmat Allah
Dalam hadis lain, Nabi ﷺ gambarkan keadaan roh mukmin selepas mati - hidup bebas;
“Roh para syuhada’ berada di dalam jasad burung-burung hijau. Mereka mempunyai sarang (tempat tinggal) di pelita-pelita (atau chandelier) yang tergantung di bawah ‘Arasy Allah. Mereka makan buah-buahan Syurga dari mana sahaja yang mereka kehendaki kemudian kembali berteduh di pelita-pelita itu.”
Hadis ni khusus ceritakan tentang roh syuhada’ (orang mati syahid), tapi para ulama jelaskan; ia juga beri gambaran keadaan roh orang mukmin – dapat nikmat Allah di alam barzakh.
Roh mereka bebas, hidup dengan penuh nikmat di sisi Allah - sementara tunggu masuk Syurga.
Kalau VVIP di dunia pun ditempatkan di 'waiting room' yang mewah, selesa, serta dilayan dengan penuh kemuliaan, bagaimanalah agaknya keadaan VVIP di sisi Tuhan - yang sedang menanti masuk Syurga?
Sudah tentunya jauh lebih baik...
Hidup yang kekal
Jadi, hakikat kematian bagi orang beriman hanyalah pindah tempat tinggal – dari dunia sementara ke alam barzakh, sebelum menuju ke negeri abadi iaitu akhirat.
Jasadnya hancur, tapi rohnya hidup...
Malah, kehidupan itulah kehidupan yang sebenar-benarnya.
Sebagaimana Allah berfirman dalam Al-Quran:
“Dan sesungguhnya kampung akhirat itu benar-benar kehidupan yang kekal, kalau mereka mengetahui.”
Itulah sebab kenapa orang mukmin - yang hidupnya penuh amal kebaikan - tak takut akan kematian. Bahkan dia merindukan kematian...
Cemburu akan kematian
Bagi mereka, kematian adalah kerehatan dari kepenatan ujian dunia.
Kematian bukanlah perakhiran. Sebaliknya ia satu permulaan bagi kehidupan yang lebih baik:
- Hidup di alam barzakh dengan penuh ketenangan,
- Mendapat rezeki daripada Allah,
- Menanti saat kebangkitan dengan nikmat, bukan azab.
Kematian hanyalah perjalanan ke fasa hidup seterusnya – menuju Allah, menuju kehidupan yang lebih baik dan kekal.
Mudah-mudahan Allah matikan kita semua dengan sebaik-baik kematian - husnul khatimah... Amin ya Rabbal 'Aalamin.
Zulkifli
Cyberjaya
29 September 2025
6 Rabiul Akhir 1447H
Daripada Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:
“Apabila seseorang telah mati – atau Baginda bersabda: apabila salah seorang daripada kamu – lalu dia dikebumikan, datanglah kepadanya dua malaikat yang hitam dan kebiru-biruan matanya. Salah seorang daripada mereka dinamakan Al-Munkar dan seorang lagi An-Nakir.
Mereka berdua bertanya kepadanya: ‘Apa yang dahulu engkau katakan tentang lelaki ini (Nabi Muhammad ﷺ)?’
Maka dia (orang mukmin) akan menjawab sebagaimana yang dia ucapkan semasa hidupnya: ‘Dia adalah hamba Allah dan Rasul-Nya. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, dan Muhammad itu hamba Allah dan Rasul-Nya.’
Mereka berkata: ‘Kami tahu bahawa engkau akan menjawab demikian.’ Lalu kuburnya diluaskan sejauh tujuh puluh hasta kali tujuh puluh hasta, dan diterangi dengan cahaya.
Kemudian dikatakan kepadanya: ‘Tidurlah.’
Dia pun bertanya: ‘Bolehkah aku kembali kepada keluargaku untuk memberitahu mereka?’
Mereka menjawab: ‘Tidurlah seperti pengantin baru yang tidak akan dibangunkan melainkan oleh orang yang paling dia cintai, sehinggalah Allah membangkitkannya dari tempat peraduannya.’
Adapun jika dia seorang munafik, maka dia akan berkata: ‘Aku hanya mendengar orang ramai berkata sesuatu lalu aku pun mengulanginya; aku tidak tahu (kebenarannya).’
Maka kedua malaikat itu berkata: ‘Kami tahu bahawa engkau akan berkata demikian.’ Lalu diperintahkan bumi: ‘Himpitlah dia.’ Maka bumi pun menghimpitnya sehingga bertemu rusuk-rusuknya. Dia terus diseksa sedemikian sehinggalah Allah membangkitkannya dari tempat peraduannya.”
- (Hadis Riwayat Tirmizi, no. 1071 - sahih)
Telah diriwayatkan daripada Masruq yang berkata:
“Kami bertanya kepada ‘Abdullah (yakni Abdullah bin Mas‘ud r.a.) tentang ayat Al-Quran:
‘Dan janganlah kamu menyangka orang-orang yang terbunuh di jalan Allah itu mati; bahkan mereka hidup di sisi Tuhan mereka mendapat rezeki.’ (Ali ‘Imran: 169).
Beliau berkata: Kami bertanya kepada Rasulullah ﷺ tentang maksud ayat ini. Baginda bersabda:
‘Roh para syuhada’ berada di dalam jasad burung-burung hijau. Mereka mempunyai sarang (tempat tinggal) di pelita-pelita (atau chandelier) yang tergantung di bawah ‘Arasy Allah. Mereka makan buah-buahan syurga dari mana sahaja yang mereka kehendaki kemudian kembali berteduh di pelita-pelita itu.
Suatu ketika Tuhan mereka memandang kepada mereka dan berfirman: “Adakah kamu inginkan sesuatu?”
Mereka menjawab: “Apa lagi yang kami inginkan? Kami makan buah-buahan syurga dari mana saja yang kami kehendaki.”
Allah bertanya perkara yang sama kepada mereka tiga kali. Apabila mereka melihat bahawa mereka terus ditanya dan tidak dibiarkan tanpa jawapan, mereka berkata:
“Ya Tuhan kami, kami ingin agar Engkau kembalikan roh kami ke jasad kami supaya kami dapat terbunuh di jalan-Mu sekali lagi.”
Apabila Allah melihat bahawa mereka tiada keperluan selain itu, mereka pun dibiarkan (untuk menikmati nikmat syurga dengan gembira).’”
Coretan FB berkaitan:
- Kematian bukan kesedihan, tapi berakhirnya keletihan ujian di dunia - FB Zura Eezuan (2025)
- Penuh dewan solat dengan jiwa-jiwa yang menghargai jasa bakti beliau - FB Luqman Bukhari (2025)

