MohdZulkifli.Com

Motivasi Kewangan & Simpanan Emas

Universiti Muzakkir Ramadhan

August 31, 2009

sejadah tasbih ramadhan ibadah

Sudah 9 hari masuk Ramadhan.

Hari ni hari pertama saya jadi imam di Surau Apartment Indah. Itupun solat witir saja, lepas Abang Ajis (En. Aziz LPPKN) sudah tak ada suara.

Kebetulan hari ni air mineral pembasah tekak tak disediakan untuk imam macam hari-hari biasa.

Biasanya, setiap kali Ramadhan, saya akan bergilir-gilir dengan Abang Ajis (selaku Pengerusi Surau) jadi imam Terawih, atau kekadang Cikgu Kholil ganti.

Tiap-tiap hari kena stand-by (jadi imam), so tak boleh nak makan kenyang-kenyang masa berbuka. Takut semput.

Rutin Ramadhan Berubah

Tapi tahun ni berbeza sikit. Abang Ajis suruh saya handle Tazkirah Ramadhan.

Mungkin itulah sebab dia tak tolak saya jadi imam. Biasanya, kalau hari ni dia, malam esok mesti saya. Gilir-gilir.

Tapi kali ni, tiap-tiap kali saya datang terawih, tugas tersedia untuk saya ialah jadi Muzakkir – beri tazkirah sebelum solat witir sekitar 10 – 15 minit.

Ish... Sudah lama betul tak bagi tazkirah di surau. Itu zaman kampus.

Bila keluar kampus, biasanya kalau bagi tazkirah pun dalam usrah-usrah jer. Itupun dalam bentuk sembang-sembang da’ie (pendakwah). Bukan tazkirah umum.

Tazkirah umum ni nak kena keluar ke depan dan mad’u (sasaran dakwah) agak umum. Ahli jemaah surau bermacam-macam latarbelakang, dan tahap pendidikan.

Jadi, topik-topik yang dipilih kenalah berbentuk umum dan menyentuh perkara-perkasa basic (asas).

Cara Mudah Sampaikan Tazkirah

Nak mudah, saya sediakan kitab kecil bertajuk “Hadis Penawar Hati”. Bila-bila masa saya kekeringan idea, atau tak bersedia dengan topik-topik khusus, saya akan bacakan hadis-hadis tersebut.

Kitab tu pernah juga saya guna masa beri tazkirah umum di kampus dulu.

Beri tak tazkirah ni, tak susah sebenarnya. Kongsikan saja apa yang kita tahu. Bukan MENGAJAR, tapi BERKONGSI.

Nak mengajar memang tak pandai. Berkongsi apa yang tahu, semua orang boleh buat.

Pesan Nabi S.A.W, sampaikanlah apa sahaja yang bermanfaat walaupun satu ayat. 

Orang Mukmin dan Tazkirah

Dan tazkirah ni walaupun nampak kecil, tapi besar impaknya (pada iman).

Tuhan suruh kita beri tazkirah (peringatan), sebab ia sangat bermanfaat bagi orang mukmin.

Oh, rupa-rupanya, tazkirah ni salah satu dari makanan rohani orang mukmin. Tak dengar tazkirah, maknanya kita membiarkan rohani kita lapar.

Bila lapar, maka kita boleh rasa simptom-simtomnya seperti; jiwa terasa kosong, resah gelisah, payah sabar dan macam-macam lagi sifat mazmumah.

Saya memang realise benda ni.

Jadi, saya wajibkan diri dengar tazkirah, atau hadir ke majlis-majlis ilmu sekurang-kurangnya sekali seminggu. Itulah antara KPI rohani saya. 

Latihan di Sekolah dan Universiti

Berbalik pada tugas muzakkir (penyampai tazkirah) tadi, saya teringat zaman sekolah dan kampus dulu.

Ketika belajar di Kolej Islam (KISAS) dulu memang dipaksa jadi muzakkir lepas solat asar terutamanya.

Fuh... Memang gugup masa tu. Tak biasa bercakap depan orang.

Bila masuk universiti, wah... lebih intensif latihannya.

Abang-abang naqib usrah la yang bagi dorongan dan latihan untuk bagi tazkirah di surau.

Gugup pun kena keluar ke depan juga. Tapi lama-lama dah terbiasa.

Alhamdulillah, boleh la keluar ke depan at least.

Berperanan Dalam Masyarakat

Bila dah masuk ke dalam masyarakat ni, baru saya realise betapa pentingnya latihan-latihan begitu masa di universiti.

Latihan melalui usrah, persatuan pelajar Islam dsb sebenarnya banyak membantu bila keluar universiti. Latihan itulah yang memberi nilai tambah pada kita sebagai anggota masyarakat.

Usrah mengajar saya bahawa hidup ni bukan sekadar fikir 5 rukun kehidupan; makan,  minum, pakai, rehat dan kahwin (seks) sahaja, tapi ada tugas yang mesti disempurnakan untuk ummah (masyarakat) kalau nak ke Syurga.

Nak masuk Syurga tak boleh fikir hal sendiri saja, tapi mesti fikir pasal orang lain juga.

Realitinya, ramai yang tak nak ambik port dalam masyarakat. Lebih suka hidup sendiri-sendiri.

Pergi kerja, balik kerja. Itu saja.

Alangkah hebatnya ummat Islam kalau golongan profesional Muslim di KL ni semuanya berperanan untuk ummah. Skill profesional mereka, kalau dimanfaatkan untuk ummah sebagaimana golongan profesional zaman Nabi S.A.W, wah... semestinya luar biasa!

Pesanan Untuk Sahabat Kampus

Sebab tu, kalau jumpa adik-adik kampus, antara perkara penting yang saya akan pesan ialah komitedlah dengan usrah dan program-program dakwah di kampus. Jangan hanya jadi ulat buku.

Result cemerlang tu penting, tapi result semata-mata tak akan bawa kita ke mana-mana.

Sebab, bila keluar nanti, kita bukan hanya seorang pekerja, tapi kita juga seorang muslim yang ada peranan kepada muslim yang lain – ummah.

Dan medan terbaik untuk melatih diri kita sebagai seorang muslim dan seorang ‘amilin bila masuk ke dalam masyarakat ialah di kampus.

Sibuk di Kampus dan Sekarang

Yer, di kampus. Di luar kampus, dah tak ada masa lagi untuk latihan.

Masa tu hanyalah untuk beramal dengan apa yang telah dilatih. Masa tu lebih sibuk dari di kampus.

Saya ingat, sibuk di kampus dulu ada lagi ruang layan computer game. Tapi sibuk di luar kampus dah tak ada masa (kalau kita berperanan dalam masyarakat) hatta untuk godek-godek Facebook.

Boleh dikatakan apa sahaja “Invitation” dalam Facebook saya “Ignore”. Daripada terbuang masa, lebih baik tidur – untuk rehatkan badan.

Facebook itu pun sebenarnya saya buka semata-masa untuk keep track sahabat-sahabat dan kenalan lama. Kalau tak ada tujuan penting, mungkin saya tak akan buka akaun Facebook hingga hari ini sepertimana Yahoo Messanger (YM).

Memang benarlah pesan Asy-Syahid Imam Hasan Al-Banna katanya “tanggungjawab kita lebih banyak dari masa yang kita ada. Apa sahaja urusan, ringkaskanlah perlaksanaannya”. 

Peluang Zaman di Kampus

Zaman kampus dulu, sempat juga baca buku-buku ilmiah dan pengukuhan fikrah. Tapi sekarang, ianya tersimpan elok dalam almari. Cuma sesekali dibelek, itupun untuk rujukan segera sebelum turun ke usrah.

Sedikit perkongsian saya ini sekadar iktibar untuk adik-adik di kampus. Supaya kalian benar-benar manfaatkan peluang yang Tuhan beri.

Masa lapang sebelum sibuk, dan masa muda sebelum tua. Zaman kampus adalah zaman terbaik untuk kalian membentuk siapa diri kalian sebenarnya apabila di luar nanti.

Zaman kampus kalian belum ada majikan, belum ada anak bini, belum ada mentua dan ipar duai, belum lagi terbeban untuk fikir susu dan pampers anak-anak, belum lagi terperangkap dengan hutang dan pinjaman.

Yang kalian perlu fikir cuma dua perkara, iaitu Study dan Diri sendiri saja.

Jadi, manfaatkanlah betul-betul zaman kampus.

Dulu dan Sekarang Sama Sahaja

Bagaimana kalian berperanan di kampus, biasanya begitulah juga kalian di luar nanti.

Ia bukan jaminan, tapi itulah sekadar pemerhatian saya terhadap kawan-kawan yang se-zaman di kampus dulu. Bagaimana dia dulu, begitu jugalah mereka hari ini.

Apa yang kita harap-harapkan sebenarnya ialah sampai di garisan penamat (mati) dalam keadaan soleh – husnul khatimah – sebagaimana yang kita selalu doakan lepas solat. Sebagai mana seorang sahabat saya Allahuyarham Rozi Razali.

Setiap kali dengar nasyid Hijjaz “Kau Sahabat Kau Teman” (seperti sekarang) saya mesti teringatkan beliau.

Beliau kembali pada hari Jumaat.

Sebelah paginya beliau masih sibuk fikir nak beli mesin air batu untuk tambah dana bagi kelancaran program dakwah kampus. Petangnya, beliau kembali bertemu Kekasihnya...

Alhamdulillah... giliran dia sudah selesai. Giliran kita pula bagaimana?

Berjaya di ‘garisan penamat’, itulah kemuncak kejayaan kita di dunia…

Zulkifli
Damansara Damai
31 Ogos 2009
10 Ramadhan 1430H

Artikel berkaitan:

Tentang Penulis

Mohd Zulkifli Shafie

Penulis buku bestseller; Wang Emas, dan Misi Bebas Hutang.

Menulis tentang kewangan sejak 2008. Berpengalaman membimbing lebih 7,000 penyimpan emas secara peribadi di Malaysia, Indonesia, Singapore dan Brunei sejak 2010.

Merupakan pengasas G100 Network; network terbesar dealer Public Gold (syarikat pengeluar emas terbesar di Malaysia), yang memberikan servis kepada lebih 500,000 penyimpan emas di seluruh Asia Tenggara.

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}
>