Miskin dan Kaya: Mana Lebih Baik?

by on December 26, 2009

Zuhud bukan persoalan zahir, tapi persoalan batin (hati). Hati yang tak terikat dengan dunia. Dunia cuma dipegang ditangannya, tapi tak sampai melekat dijiwanya.

Masa kuliah zohor oleh Ustaz Faisal baru saya tahu, rupa-rupanya Nabi bukan seorang yang miskin, tapi baginda adalah seorang yang zuhud.

Apa beza zuhud dan miskin?

Secara zahir, zuhud dan miskin nampak sama, tapi sebenarnya ia jauh berbeza. Ustaz kupaskan secara terperinci dengan tentang tiga ciri iaitu “Zuhud, Miskin, dan Kaya” dalam Kuliah Tasauf pertama di syarikat kami.

Secara mudahnya, orang miskin nakkan dunia, tapi dunia tak datang padanya. Manakala orang zuhud, dia ‘tak nak’ dunia, tapi dunia datang padanya.

Macam Nabi S.A.W, malaikat Jibrail pernah tawarkan baginda untuk tukarkan gunung menjadi emas, tapi baginda tolak. Maksudnya, baginda bukan miskin. Tapi baginda memilih untuk hidup secara sederhana – zuhud.

Takut Lambat Ke Syurga

Menurut Ustaz, alasan pertama, Baginda tak nak nikmat dunia akan melambatkan perjalanan baginda ke Syurga.

Memang benar, setiap nikmat dan harta yang Tuhan pinjamkan, pasti Tuhan akan audit balik di Akhirat kelak walaupun sebesar zarah. Sesiapa yang banyak harta, panjanglah masa diaudit sebelum dimasukkan ke Syurga/ Neraka.

Nikmat Dunia Datang Bersama Bebanan

Alasan kedua, ‘dunia’ ini akan jadi satu bebanan. Dan mungkin mengganggu kita ingat pada Allah.

Ustaz kata, masa dia jadi tutor dulu, dia pakai kereta buruk jer. Kalau tertinggal kunci kat kereta pun beliau tak pernah risau. Confirm tak ada orang curi. Tapi bila dah upgrade jadi pensyarah dan pensyarah kanan, kereta dah bertukar. Dari kereta buruk bertukar jadi Proton Wira dan kemudiannya Vios.

Sekarang ni, bila kereta makin mewah, kekadang ia jadi satu bebanan. Setiap masa nak kena jenguk takut kena curi. Bahkan tidur malam pun kekadang kena bangun tengok kereta ada ke tidak.

Dan bila berkereta mewah, macam-macam jadi takut. Takut tercalar, takut kena curi, takut tergesel dsb. Jadi, nikmat dunia sekarang telah datang bersama dengan bebanan!

Yang Mana Lebih Baik?

Walaupun begitu, Nabi S.A.W bukan galakkan ummatnya miskin kerana Nabi sendiri bukan seorang yang miskin! Kaya dan miskin bukan penentu lebih baik ataupun buruk di sisi Tuhan. Nabi bukan seorang yang miskin, tetapi Baginda adalah seorang yang zuhud.

Zuhud bukan persoalan zahir, tapi persoalan batin (hati). Hati yang tak terikat dengan dunia. Dunia cuma dipegang ditangannya, tapi tak sampai melekat dijiwanya.


Dunia tak sampai merisaukan dan menyusahkan hidupnya. Kerana dunia hanyalah ALAT untuk mencapai MATLAMAT akhirnya iaitu Akhirat. Dunia baginya adalah tempat bercucuk tanam dengan memperhambakan diri kepada Tuhan supaya dapat menuai di negeri Akhirat. Iaitu destinasi akhir dan tempat tinggal kekal bagi seluruh ummat manusia.

Dunia Keperluan, Akhirat Tujuan

Dunia yang Tuhan beri diambil sekadar KEPERLUAN hidup, tak sekali-kali tersasar menjadi TUJUAN hidup. Yang berlebih-lebih, ‘dikembalikan’ ke jalan Tuhan dengan memberi manfaat sesama manusia. Lebih banyak nikmat yang Tuhan beri, lebih banyak manusia yang mendapat rahmat Tuhan melaluinya.

Itulah lebih kurang yang saya faham daripada Kuliah Tasawwuf pertama di syarikat kami. Kuliah Tasawwuf bulanan, Ustaz akan bawa Kitab Hikam.

Rindukan Kitab Hikam

Iaitu kitab yang saya sungguh rindui untuk ‘menadahnya’ kembali. Kitab yang banyak memberi kesan pada jiwa sesiapa yang mendalaminya. Kitab yang banyak memberi caj positif kepada sesiapa yang rajin mengikutinya.

Saya mula belajar kitab tu masa lepas SPM. Pergi ‘menadah’ kitab dengan seorang guru yang sangat alim lagi wara’ iaitu Paksu Hamid di Kg. Gunong, Bachok. Pelajarnya ramai dari kalangan pelajar sekolah pondok terutamanya Pondok Pasir Tumboh.

Rindu Ke Kuliah Tasawwuf

Semenjak kerja di KL, sentiasa ada niat nak ke kuliah tu kalau berkebetulan balik ke Kelantan, tapi tak pernah berkebetulan. Kuliahnya setiap Rabu malam Khamis, tapi saya biasanya balik Kelantan di hujung minggu.

Mudah-mudahan rindu saya sedikit terubat bila mengikuti kuliah Kitab Hikam bersama Ustaz Faisal di syarikat kami nanti, insyaAllah.

Wallahu a’lam.

Zulkifli

17 Disember 2009
Damansara Damai

{ 9 comments… read them below or add one }

1 Fahim kamtan mirza January 26, 2010 at 1:33 am

You are doing a great job I liked reading you blog and I loved keep on the good work on I don’t know if I have said it already or not but great wok tack care thank you

Learn Quran, Read tajweed Quran online, learning Quran online Koran

Reply

2 Joe Joxy March 4, 2012 at 10:36 am

Alhamdulillah .. satu ilmu yang baik untuk sharing ..

Reply

3 Mohd Zulkifli Shafie March 4, 2012 at 4:18 pm

Alhamdulillah Joe Joxy… Puji-pujian bagi Allah.

Reply

4 Anonymous November 21, 2012 at 6:22 am

salam….kitab hikam tulisan a’lla…kan…ulama mesir…yang dalam ayat-ayat cinta ada sebut….
dekat kl nih mana yer ustaz ajar kitab tuh….yusri gomabak

Reply

5 Mohd Zulkifli Shafie November 21, 2012 at 7:27 am

Wslm En. Yusri,

Tak silap saya, Ustaz Dr. Ahmad Faisal ada buat kuliah mingguan kitab Al-Hikam ni di Masjid Bukit Damansara. Saya rasa banyak juga masjid di KL / Selangor yang buat pengajian tasauf sekarang ni. Saya setakat ni cuma komited dengan kuliah mingguan di pejabat.

Reply

6 5zal January 17, 2015 at 10:58 am

Aslkum..
Kitab hikam tu ada mirip “ilmu suluk”?

Reply

7 Mohd Zulkifli Shafie January 17, 2015 at 12:12 pm

Wslm En Faizal,

Kitab hikam tu kitab belajar ilmu tasauf (akhlak).

Reply

8 raja November 14, 2015 at 8:37 am

salam tuan.. artikel yang ditulis ni sangat dekat dengan pengalaman yang pernah saya alami. zaman study dulu, sy hanya menunggang kapcai yang telah lama..pergi kemana2 pun hati senang,,nak parking kt pasaraya, maintanence semuanya mudah dan tidak merisaukan saya. fikiran saya pun xkacau memikirkan pasal moto ni. bila kewangan agak stabil ckit, saya mula upgraddekan kepada motor idaman saya dimana saya mula terikat dengan bayaran ansuran bulanan.

Pada zahirnya saya gembira tapi bebanan mula terasa.. maintenance kena jaga dan lebih mahal dari motor dulu, nak parking mana2 pun mula bimbang sehinggakan saya terpksa membeli lock tambahan, itu pun masih merisaukan. fikiran pun byk duk tertumpu kat motor ni. yang paling saya risau bila ada kawan yang ingin meminjam moto ni kemana2,bukanlah sebb kedekut tetapi bila terjadi pape, xramai kawan yang sanggup membayar kerugian penuh dan semestinya perasaan kita agak kacau bila barang yang dijaga sbaik2, dirosakkan atas faktor kecuaian orang lain.

bila difikirkan kembali, saya lebih lapang bersama dengan kapcai lama kerana byak melapangkan kerja saya, dan untuk motor yang agak mahal ni pula sememnagnya memberi satu kepuasan hati kerana minat sudah tercapai akan tetapi datangnya juga bebanan dalam memilikinya.

Reply

9 Mohd Zulkifli Shafie November 18, 2015 at 7:35 am

Wslm. Betul En. Raja. Nikmat dunia yang Allah beri tu bukan datang secara solid, tapi datang bersamanya bebanan yang lain. Jadi kena berpada-pada dalam menikmati dunia… :)

Reply

Leave a Comment

{ 2 trackbacks }

Previous post:

Next post: