7 Strategi Elak Kebocoran Wang

by on December 29, 2013

Post image for 7 Strategi Elak Kebocoran Wang

Kewangan bukan sekadar matematik, tapi juga tentang mengurus emosi. Banyak feedback yang saya dapat pasal masalah menyimpan. Bukan sebab tak cukup duit, tapi tabiat dan desakan emosi tu yang jadi susah nak menyimpan. Salah satu sebab saya syorkan simpan emas tu untuk kawal emosi berbelanja dan untuk pupuk tabiat suka menyimpan. Simpan emas bukan sekadar nak untung kenaikan harga emas dalam jangka panjang, tapi yang lebih penting, emas boleh memupuk sikap yang ada pada orang kaya-kaya iaitu suka kumpul harta.

Walaupun mungkin ada tahun yang ASB dan Tabung Haji lebih untung dari simpan emas, tapi saya percaya orang simpan emas lebih bertahan kekayaan dia. Cuba perhati, apa orang akan buat bila dapat dividen Tabung Haji atau ASB? Majoriti akan belanjakan dividen tu habis licin tak sampai sebulan! Bahkan belum dapat duit, dah siap-siap fikir nak beli apa. Itu masalah biasa bila simpan duit kertas. Kekayaan kita mudah bocor.

Kumpul Harta, Bukan Cari Makan

Orang dulu-dulu tak simpan duit kertas, tapi mereka simpan kekayaan dalam bentuk harta sebenar macam tanah kebun, emas ataupun rumah-rumah sewa. Bila mati, duit tunai berbaki biasanya tak banyak. Yang ada cuma harta-harta sebenar. Kalau simpan dalam bentuk tunai, saya yakin duit-duit tu dah lama habis. Tak ada apa-apa harta yang boleh diwariskan.

Ada seorang kawan saya masa sembang beberapa bulan lepas katanya, orang tua dia pesan, “Kalau berkerja, letak matlamat nak kumpul harta. Bukan sekadar cari makan”. Maksudnya, bila dapat duit, tukar duit tu ke dalam bentuk harta sebenar macam emas, tanah atau rumah-rumah sewa. Sebab harta-harta tu akan membuatkan kita kaya dan boleh jana hasil daripada harta-harta yang kita ada. Duit yang kita simpan dalam bentuk tunai, risiko kebocorannya sangat tinggi!

Matematik Kalah Dengan Emosi

CT  SC-FAM-CASH-KIDS-3C 0110 EMSebabnya bila simpan duit kertas, kita biasanya kalah dengan desakan EMOSI untuk berbelanja. Ada saja barang yang kita rasa perlu beli. Bila ada yang berkenan, otak kita mesti match dengan nombor-nombor duit yang kita ada. Tengok barang RM500, otak kita mesti matchkan dengan duit simpanan dalam akaun bank. Bila dah match, duit tu mesti bocor. Alah… RM500 jer. Kalau belanja pun, ada lagi RM2,500… Kita berbisik pada diri sendiri nak sedapkan hati. Tapi kalau simpan emas dan harta-harta sebenar, otak kita tak boleh match. Kita rasa kita tak ada duit walaupun hakikatnya kita boleh jual atau pajak emas-emas tu bila-bila masa nak pakai duit.

Jadi simpan emas bukan sekadar nak untung kenaikan harga jangka panjang, tapi untuk memupuk sikap orang kaya-kaya iaitu suka kumpul harta. Emas adalah harta yang mudah dibeli walaupun dengan modal kecil. Sekali beli, rasa nak beli lagi sebab ianya cantik dan manusia memang sukakan emas. Bila nak pakai duit, rasa sayang nak jual. Bila terpaksa jual, kita akan cari duit untuk beli balik emas tu. Itu tabiat biasa penyimpan-penyimpan emas. Suka kumpul harta dan sayang nak belanjakan harta. Akhir sekali, dia lebih kaya sebab perangai orang kaya suka kumpul harta, tapi orang biasa suku kumpul beban hutang.

Pertahankan Kubu Kewangan

Kalau ikutkan Robert Kiyosaki dalam buku Rich Dad Poor Dad katanya, orang kaya kumpul harta dan pertahankan harta macam tentera pertahankan kubu dalam peperangan. Apa-apa pun, kubu mesti dipertahankan dulu. Bila dapat duit, bayar (simpan) diri sendiri dulu. Selebihnya baru berbelanja. Tapi orang biasa, dia belanja dulu, selebihnya baru simpan. Itulah antara perbezaan orang kaya dengan orang biasa.

simpan emas elak duit bocor

7 Strategi Elak Kebocoran Wang

Jadi kalau nak kaya, kita kena handle emosi dengan biasakan diri dengan tabiat-tabiat yang boleh elakkan kekayaan kita daripada bocor. Antaranya:

Strategi #1 – Bayar Diri Sendiri Dulu

Bila dapat duit, bayar diri sendiri dulu dengan tambahkan simpanan. Selebihnya baru berbelanja. Bukan berbelanja dulu, lepas tu tunggu duit lebih baru simpan. Kalau tunggu duit lebih, alamatnya memang tak akan menyimpan.

Strategi #2 – Tukar Duit Kepada Harta

Kalau ada duit simpanan jangka panjang, tukar duit tu ke dalam bentuk harta sebenar macam emas, tanah, atau rumah-rumah sewa. Jangan biarkan duit tu terbiar dalam bentuk tunai kecuali duit simpanan kecemasan sahaja.

Strategi #3 – Potong Semua Kad Kredit

Potong semua kad kredit kecuali satu. Kad kredit tu lubang hutang paling mudah. Ia hutang yang kita tak sedar bahkan ia jadi simbol status. Memang nampak hebat kalau ada kad kredit Platinum, tapi kad kredit boleh jadi ‘kanser’ kewangan sebab kita tak terasa duit kita bocor. Tahu-tahu hutang dah banyak. Dah la interest paling tinggi berbanding pinjaman lain,  interest dia compounding pulak tu.

Strategi #4 – Berbelanja Secara Tunai

Kalau nak beli barang, pastikan beli secara tunai supaya kita betul-betul terasa setiap sen duit yang keluar. Jauhkan segala bentuk ansuran, beli dulu bayar kemudian, skim bayaran mudah, hatta zero interest payment sekalipun. Walaupun mungkin zero interest payment tu secara matematiknya macam untung , tapi ia memupuk tabiat suka berhutang. Dalam jangka panjang, ia bahaya.

Strategi #5 – Langsaikan Hutang Paling Kecil

Bila nak langsaikan hutang, target hutang yang jumlahnya paling kecil dulu sebab bila satu hutang dah settle, ia jadi motivasi untuk langsaikan hutang-hutang lain. Bila dah bebas hutang, kita rasa berat untuk buat hutang lagi kecuali “hutang baik” yang membuatkan kita lebih kaya.

Tapi kalau ada dua (2) hutang yang jumlahnya lebih kurang sama, settlekan hutang yang interest rate paling tinggi dulu.

Strategi #6 – Buat “Hutang Baik”, Tambah Harta

Bila dapat kenaikan gaji yang bagus, atau pendapatan dah meningkat, manfaatkan kenaikan tu untuk buat hutang-hutang baik seperti tambah rumah sewa, beli tanah dsb. Bukan tukar kereta baru! Saya perhati ramai orang bermasalah nak simpan duit walaupun kalau ikut kira-kiranya, dia sepatutnya boleh menyimpan. Bukan senang nak paksa diri simpan duit, tapi kalau hutang, kita terpaksa bayar! Kalau buat hutang baik, kita terpaksa kaya! Tapi hutang-hutang tu mesti diurus dengan baik.

Strategi #7 – Tinggalkan “Window Shopping”

Tinggalkan sikap suka merayau-rayau di shopping complex, suka terapi diri dengan bershopping, suka semak brosur-brosur promosi dalam post box atau surat khabar, pergi ronda-ronda pasar malam dsb. Sikap ni saya dah tinggalkan dah bertahun-tahun sebab sikap macam ni terbukti duit kita senang sangat bocor. Kalau asalnya cuma nak dibeli 10 barang, tapi akhir sekali kita akan bawa balik at least 15 barang! Kenapa macam tu? Sebab kewangan bukan sekadar matematik, tapi juga tentang mengurus emosi… Bila kita saja-saja tengok barang-barang yang kita tak perlu, mesti ada yang kita jatuh hati dan akhirnya terbeli.

Tabiat-tabiat yang saya senaraikan ni antara cara saya tutup emosi berbelanja dan mengelakkan kekayaan daripada bocor. Bila lubang-lubang kebocoran wang ni kita tutup, insyaAllah kekayaan kita senang berkembang walaupun mungkin pendapatan bulanan kita tak sebesar mana. Jangan ingat orang income besar tu kaya raya sebab saya jumpa ramai orang incomenya 5 angka sebulan, tapi duit simpanan kecemasan pun tak ada!

Wallahu a’lam.

“Faktor utama yang menentukan masa depan kewangan kita bukan ekonomi, tetapi psikologi” – Jim Rohn

Zulkifli
Damansara Damai
28 Disember 2013
24 Safar 1435

(Kredit foto : conservativecommune , chicagotribune)

{ 67 comments… read them below or add one }

1 fadhil December 29, 2013 at 7:33 am

Saya setuju dengan pandangan tuan,
Terima kasih atas nasihat dan ilmu emas yg tuan beri..
Semoga tuhan dapat memberkati nya..

Reply

2 Mohd Zulkifli Shafie December 29, 2013 at 8:07 am

Alhamdulillah, puji-pujian bagi Allah. Terima kasih atas doa tersebut. Saya doakan moga Allah memberkati En. Fadhil sekeluarga. Amiin ya Allah.

Reply

3 zuriyana jusoh December 29, 2013 at 1:51 pm

Salam..sy nk tanya tuan patutkak saya amik insurance pelan pendidikan untuk anak2? sekian terima kasih

Reply

4 Mohd Zulkifli Shafie December 30, 2013 at 12:27 am

Wslm Pn. Zuriyana,

Dari sudut keutamaan, kena cukupkan cover ibubapa dulu. Pastikan ada cover cukup untuk penyakit kritikal dan pampasan kematian atau hilang upaya kekal jika berlaku kemalangan. Insuran pendidikan tu kemudian. Insuran pendidikan bagi saya bagus bagi ibubapa yang ada disiplinkan diri menyimpan untuk anak-anak.

Saya tak ambil insuran pendidikan anak-anak. Saya cover utamakan cover untuk kami suami isteri. Kalau apa-apa berlaku kepada kami, insyaAllah duit pampasan tu boleh cover untuk pendidikan anak-anak nanti.

Wallahu a’lam.

Reply

5 Masz Health Boutique December 30, 2013 at 12:38 am

Alhamdulillah saya dah takde kad kredit. Saya pernah guna sekali dan memang betul kad kredit sangat menjerat. Akhirnya saya potong dua , dan langsaikan semua baki.

Sekarang lebih selesa guna kemudahan kad debit sahaja.

Reply

6 Mohd Zulkifli Shafie December 30, 2013 at 6:17 am

Alhamdulillah…

Reply

7 Miz Atom January 28, 2014 at 12:36 pm

Salam tuan Zul..
Minta pandangan… Ada yang mengatakan, dengan adanya kad kredit ia memudahkan seseorang itu membuat loan di bank… Saya belum pernah memohon kad kredit, so far Alhamdulillah segala hutang saya dapat diurus dengan baik… Saya pun ingin membuat “hutang baik” juga tetapi permohonan kerapkali gagal… Adakah saya perlu memohon kad kredit terlebih dahulu?

Reply

8 Mohd Zulkifli Shafie January 28, 2014 at 2:58 pm

Wslm Puan,

Bagi orang yang tak ada rekod hutang, memang dengan adanya kad kredit tu cara memudahkan bank kenalpasti tabiat kita tentang hutang. Kalau tak pernah ada rekod hutang, mungkin susah untuk bank luluskan sebab andaian bank, mungkin kita tak layak dapat pinjaman. Tapi kalau ada rekod pinjaman dan kita bayar mengikut jadual, bank tahu yang kita adalah peminjam yang baik.

Wallahu a’lam.

Reply

9 Miz Atom January 30, 2014 at 1:06 am

Saya usaha google bagaimana cara pembayaran balik apabila menggunakan kad kredit terutama Maybank… Bantu saya dalam mendalami ilmu penggunaan kad kredit dengan bijak kot2 ada tatacara penggunaannya (cara penggunaan kredit, cara bayaran balik, berapa amaunnya dsb)… Saya tak tahu langsung zero-zero…

Reply

10 Mohd Zulkifli Shafie July 14, 2014 at 12:56 am

Salam puan,

Cara terbaik guna kad kredit ialah jadikan ia hanya untuk memudahkan mode of transaction, bukan sebagai hutang. Maksudnya, kita dah ada duit cuma kita pakai kad kredit untuk mudahkan urusan pembayaran. Lepas urusniaga, terus bayar hutang tu. Tak perlu tunggu keluar statement.

Wallahu a’lam.

Reply

11 Pn.Effa December 30, 2013 at 2:53 pm

Assalam en.zul,
Alhamdulillah suka dng tulisan En.Zul.Sangat memberi manfaat dan membuka minda. Saya ada satu tabiat kebocoran wang saya ialah suka sangat beli buku,kalau saya terjumpa buku yang saya minat,saya akan terus beli.Kalau pergi kedai buku,paling sedikit saya belanja rm100.Pernah cuba selesaikan taksub saya dng buku,bawa family pergi library,tapi jauhnya,mcm tak berbaloi pergi tiap2 minggu.dan buku yg dah pinjam tak boleh nak ulang2 baca sebab dah kena pulangkan.Sekarang lagi parah sebab semua buku yg saya nak,boleh beli secara online.Rumah saya tak de TV,so masa lapang saya mmg suka baca buku @ baca blog kat internet. Kalau tukar buku dng emas,dah banyak agaknya emas saya…:-)…

Reply

12 Mohd Zulkifli Shafie December 30, 2013 at 3:37 pm

Wslm Pn. Effa,

Alhamdulillah. Bagus juga tu bocor duit pada buku. At least dapat ilmu dan ilmu tu akan membuatkan duit tu datang lagi, lagi, dan lagi, insyaAllah. :)

Reply

13 Syukor Hashim January 3, 2014 at 1:14 am

Salam puan Effa,

tahniah sebab duit puan bocor kepada wang. Itu adalah tanda puan sukakan ilmu.
Untuk pengetahuna puan, kita berkongsi minat yang sama. duit bocor utk buku. Saya tak kisah berapa harga buku, mesti saya beli. saya mesti simpan. semua buku-buku saya bersifat non fiction.

Pelaburan terhadap buku sangatlah baik sebab idea di dalam buku adalah hasil ilmu penulisnya. kita tak tahu apakah potensi keuntungan dengan satu ilmu yang kita perolehi di dalam buku tersebut. Macam saya. saya minat emas. tapi saya lebih minat buku tentang ilmu emas. once dapat ilmu baru ambil tindakan.

I’ll trade gold for knowledge.

Reply

14 wanb rokiah January 4, 2014 at 9:05 am

Alhamdulillah, saya juga seorang yang suka baca buku, beli buku dan baca berlang kali, dari ilmu itu boleh tambah wang, tambah pendapatan.

Alhamdulillah saya baru dapat bonus Dec lepas dan gaji awal Jan, simpanan agak banyak masa ini, saya ingat nak beli emas 10gm dengan public gold yang 22K, sebelum wang simpanan saya bocor ke lain.

Saya ni suka bisnes, duit dari bonus dah pakai sikit tuk modal tambah stok produk yang bisnes ni.

Hanya berkongsi dan nak dapatkan pandangan yang pakar En Syukor Hashim dan tuan punya blog En Mohd Zulkifli Shafie

Terima kasih,
Assalamualaikum w.b.t

Reply

15 Mohd Zulkifli Shafie January 5, 2014 at 5:52 am

Alhamdulillah Pn. Rokiah,

Betul tu. Duit tak boleh terbiar la. Nanti senang bocor. Lebih baik tukar kepada emas. Nanti puan bagi tahu berapa bajet puan, saya akan syorkan item terbaik sesuai dengan bajet. Contact saya 019-336 8009 (call, sms, wassap).

Reply

16 wanb rokiah January 6, 2014 at 2:20 pm

Saya ada tengok website public gold, emas yang 22k 10gm harga dalam rm1400, di bawah rm1.5k, memang bajet saya sekitar itu saja.

Reply

17 Mohd Zulkifli Shafie January 9, 2014 at 9:29 am

Ok. Dengan bajet tu, item terbaik beli coin 1 dinar x 2 keping sebab susut nilai lebih rendah. Gold bar 999 10g tu susut nilai 8%, tapi dinar cuma 6%. Susut nilai lebih rendah maksudnya untung lebih cepat dan lebih banyak.

Reply

18 Ihsan Berahim June 28, 2016 at 10:09 am

Subhanallah.
Saya tahu PG Gold susut 8% sudah rendah.
Rupanya Coin 1 Dinar lagi rendah 6%!

Terima kasih Cik Zul.
…sambung baca komen :)

Reply

19 Mohd Zulkifli Shafie June 28, 2016 at 12:26 pm

Betul.

Tapi dinar 916 (spread 6%) tu Public Gold dah tak jual sejak perlaksaan GST April 2015. Sekarang ni semua dinar 999.9 dengan spread 8%.

Reply

20 Farah Norbaini Mohamad December 31, 2013 at 10:18 am

Terima kasih kerana berkongsi Tuan! Semoga Allah rahmati Tuan sekeluarga, ameen

Reply

21 Mohd Zulkifli Shafie December 31, 2013 at 12:15 pm

Alhamdulillah, puji-pujian bagi Allah. Terima kasih atas doa tersebut. Saya doakan Allah merahmati puan juga. Amiin.

Reply

22 Hakim January 1, 2014 at 3:57 pm

Salam Tuan,

saya ingin meminta pendapat tuan berkaitan pembelian rumah sewa sebagai aset pelaburan. Apa yang saya faham, sekarang bank negara dah tetapkan pinjaman bank maximum 10 tahun (berbanding dahulu selama 30 tahun). Jadi, kalau kita nak beli rumah flat contohnya RM80k, kita terpaksa bayar mahal untuk harga bulanan dan kemungkinan akan rugi. Mohon pandangan tuan dalam perkara ini.

Terima kasih.

Reply

23 Mohd Zulkifli Shafie January 7, 2014 at 1:39 am

Wslm En. Hakim,

Pinjaman bank maksimum 10 tahun tu hanya untuk personal loan, bukan housing loan. Bila buat investment, kita kena maksimumkan tempoh loan supaya ansuran rendah dan boleh jalan positive cash flow.

Wallahu a’lam.

Reply

24 Rohana January 2, 2014 at 5:35 pm

Salam tuan Zul,

Dalam keadaan harga emas menurun / mendatar yang sudah nak masuk tahun ke3 ni, apa strategi tuan? Rasanya yang main arrahnu dah abis dah gadai.
Kita tak tahu harga akan naik / turun lepas ni.
Adakah dengan membeli sahaja sudah cukup buat masa ini?

Reply

25 Mohd Zulkifli Shafie January 7, 2014 at 1:38 am

Wslm Pn. Rohana,

Strategi saya, beli jer. Ada duit beli lagi. Lagi harga turun, lagi saya seronok beli. Saya kumpul harta, bukan sekadar turun naik harga emas. “Keuntungan” turun naik harga emas ni sifatnya sementara jer. Akhir sekali kekayaan sebenar tu ada pada emas, bukan duit kertas yang kita simpan.

Hakikatnya, nilai duit kertas tu pada emas, bukan emas nilainya pada duit kertas. Saya lebih risau turun naik kuasa beli duit kertas berbanding turun naik harga emas. Ringgit Malaysia makin lama makin menyusut. Beberapa tahun lepas SGD1 (Singapore Dollar) = RM2.25. Tapi hari ni dah jadi RM2.60. Walaupun nombornya tetap sama, tapi kuasa beli makin mengecil. Risiko jauh lebih besar berbanding simpan emas. Kalau berlaku lagi seperti tahun 1997, ringgit Malaysia tergolek sekitar 50%. Kuasa beli jatuh 50%. Nombor tetap sama, tapi kuasa beli dah jatuh.

Emas tak terjejas dengan turun naik tukaran wang asing begini. Kuasa belinya kekal sepanjang zaman. Harga turun naik tu sifatnya sementara jer. Emas jatuh macam mana pun, belum pernah ada zaman emas tu dianggap murah. Ia sentiasa mahal sebab ia emas.

Wallahu a’lam.

Reply

26 Rohana January 8, 2014 at 10:16 am

Saya bersetuju dengan tuan, tahun lepas saya ke Singapore dapat tukar duit SGD1= RM2.47, sekarang dah RM2.60.
Ringgit kita tak mengukuh malahan semakin lemah.

Tuan Zul, Boleh tuan tulis berkenaan bagaimana harga emas dunia boleh turun naik? Siapa tangan2 disebalik harga kitco itu? Dimana pergerakan itu sebenarnya berlaku?
Ada urusniaga ke sebenarnya?

Reply

27 Mohd Zulkifli Shafie January 9, 2014 at 2:44 pm

Betul tu Puan Rohana. Ringgit makin lemah, kekakayaan kita hilang dalam tak sedar.

Pasal isu “manipulasi” harga emas tu, En. Syukor Hashim (www.jutawanemas.com) dan En. Shufaad bakal keluarkan buku khas berkenaan isu tu. Penurunan harga emas memang meresahkan bagi sesiapa pandanga pada nombor, tapi bagi siapa tahu apa yang berlaku sebaliknya, sebenarnya ini peluang besar untuk tambah harta.

Wallahu a’lam.

Reply

28 azli January 3, 2014 at 9:04 pm

Salam,

Publicgold dah tak jual I series ka…?

Reply

29 Mohd Zulkifli Shafie January 3, 2014 at 9:33 pm

Wslm En. Azli,

Public Gold jual i-series di website http://www.publicjewellery.com.my. Tapi harga ikut D-series sekarang sebab terlalu kurang permintaan bila Ar-Rahnu dah terima gold bar dan dinar Public Gold secara meluas.

Reply

30 farid January 5, 2014 at 3:17 pm

Salam tuan Zulkifli.

Maaf out off topic. Saja nak tanya ttg gold delay. Apa sebenarnya benda ni? Mohon pencerahan ringkas. TQ..

Reply

31 Mohd Zulkifli Shafie January 5, 2014 at 11:38 pm

Wslm En. Farid,

Saya tak expert tentang delay. Cuma saya syak ianya money game.

Kalau beli emas, pastikan dapat emas dan emas tu kita simpan sendiri. Kalau penjual simpankan / laburkan, itu akan ada problem. Kalau dia bagi income bulan-bulan, itu lagi problem.

Wallahu a’lam.

Reply

32 Asmawati January 7, 2014 at 12:00 pm

Salam Tuan
Saya telah beli beberapa dinar dan dirham PG bulan lepas selepas saya tercari-cari satu pelaburan jangka masa panjang yang baik dan betul.

Bilakah perlu saya simpan brg itu di safe deposit box di bank? Kadar (upah simpan) berbeza?

Saya baru tahu bahawa perak lebih bernilai lagi emas. Saya berhasrat untuk membuat pelaburan (tidak jual beli) perak lebih lagi dari emas di PG. Mohon pandangan.

Terima kasih.

Reply

33 Mohd Zulkifli Shafie January 8, 2014 at 8:00 am

Wslm Pn. Asmawati,

Perlu simpan di safe box bila emas tu dah banyak dan tak selesa untuk tidur malam / tinggalkan rumah. Caj sewa box tu sekitar RM100 – RM500 mengikut saiz.

Ilmu perak sedikit berbeza berbanding emas. Ini nota ringkasnya:

SILVER : 4 TIPS PANTAS

(1) Harga silver lebih volatile (tak stabil)

Dari sudut pergerakan harga, bila emas naik, silver akan naik 2, 3 kali ganda lebih banyak daripada emas. Bila turun pun sama. Tahun 2010 – 2011, silver naik 100%. Masa tu ramai orang beli silver. Lepas tu dia jatuh balik 50%.

(2) Potensi lebih besar

Dari sudut potensi kenaikan, pakar precious metal meramalkan silver akan jadi “gold in future”. Maksudnya, peratusan kenaikan dia akan jauh menandingi emas. Ini disebabkan silver diperlukan untuk industri, sedangkan dah tak ada lombong silver, dan silver biasanya terbuang (dalam alat elektronik) tanpa di recycle sebagaimana emas sebab kosnya yang tak bebaloi.

Kedua, nisbah emas : silver sekarang ni sekitar 1 : 65. Satu Oz emas boleh beli 65 oz silver. Nisbah ini dijangka naik kepada 1 : 16 sebagaimana sebelum tahun 1980 dulu.

(3) Silver lebih rendah kecairan

Silver lebih rendah kecairan berbanding emas. Maksudnya, bila nak jual, tak banyak tempat sanggup beli silver kecuali pengeluarnya sendiri. Kalau emas, kita boleh jual di mana-mana kedai emas seluruh dunia pada bila-bila masa.

Silver tak boleh dipajak sebagaimana emas. Setakat ni, cuma Ar-Rahnu Koperasi Dagangan Emas (KDE) di Penang jer yang terima pajak silver, itu pun silver keluaran Public Gold sahaja.

(4) Penyimpanan lebih susah

Silver ni berat. Dari sudut penyimpanan agak susah berbanding emas. Kalau sewa Safe Deposit Box, memang cepat la penuh box tu. Kena sewa Safe Box yang besar baru sesuai untuk simpan silver.

Dari sudut simpanan saya syorkan simpan emas dulu. Ada balance baru beli silver. Saya simpan 70% emas, 30% silver.

Wallahu a’lam.

Reply

34 Asmawati January 9, 2014 at 8:00 am

Terima kasih tuan dan semoga mendapat lebih lagi ilmu serta dikongsi bersama.

Reply

35 mohd asri January 10, 2014 at 4:35 pm

saya terbaca artikel en zul..yang ada orang berpendapatan 5 angka tapi duit simpanan x cukup..,saya rasa malu kerana saya termasuk dalam golongan tersebut. Saya dah lama berpendapatan 5 angka tapi duit simpanan asyik cair sahaja..,maklumlah isteri xkerja..dan anak 6 orang semuanya bersekolah, saya ada rumah teres ,kereta mewah,superbike dan lainlain..,tapi rasanya perlu orang seperti en zul untuk berikan tips dan nasihat kepada saya untuk mula menabung seperti en.zul…sekian terima kasih

Reply

36 Mohd Zulkifli Shafie January 11, 2014 at 12:23 am

InsyaAllah En. Asri. Perbetulkan kedudukan kewangan dari sekarang. Orang yang income macam En. Asri saya percaya boleh recover untuk perbaiki status kewangan dengan cepat. InsyaAllah.

Reply

37 Ejah January 11, 2014 at 7:54 am

sy bercadang utk bergiat di bidang pertanian selepas pencen 10 tahun lg dgn izin Allah. Jd sy bercadang utk membeli sebidang tanah pertanian. Adakah sy perlu membuat pinjaman bank atau menabung sehingga beberapa tahun utk membeli tanah kerana nilai tanah semakin tinggi pd masa akan datang. Yg mana lebih menguntungkan sy? mohon pendapat tuan.

Reply

38 Mohd Zulkifli Shafie January 11, 2014 at 10:15 am

Pn. Ejah, saya syorkan buat pinjaman bank. Tak perlu risau buat hutang untuk beli aset yang nilainya sentiasa meningkat sebab ia membuatkan kita lebih kaya. Kalau terdesak suatu hari nant dan tak mampu bayar loan tu, boleh jual jer balik tanah tu dengan harga yang lebih mahal dari harga yang puan beli.

Wallahu a’lam.

Reply

39 mohd romzi January 11, 2014 at 8:44 pm

Terima kasih Tuan Zulkifli di atas perkongsian ilmu yang amat bermanafaat ini.
Saya doakan tuan sekeluarga terus sukses dunia dan akhirat.

Teruskan perkongsian ilmu ini.

terima kasih

Reply

40 Mohd Zulkifli Shafie January 11, 2014 at 11:51 pm

It’s ok Dr. Romzi. Terima kasih atas doa tersebut. Saya doakan Allah merahmati Dr. sekeluarga. Amiin ya Allah.

Reply

41 Ahmad January 16, 2014 at 12:37 am

Assalamualaikum Tuan Zul,

Artikel & kupasan yang menarik dari Tuan Zul. Untuk pengetahuan tuan saya baru membeli sebuah rumah apartment yang harganya dibawah harga pasaran semasa. Saya bercadang untuk menjualnya kembali dalam tempoh setahun. Duit hasil jualan rumah tu akan saya gunakan untuk melangsaikan segala hutang saya yang bertimbun. Apa pendapat Tuan Zul? Pada masa yang sama saya ada sebuah lagi rumah tapi telah disewakan. Saya juga ada membeli silver 1kg pada tahun 2011 dengan harga yang sangat tinggi dalam RM4800 dan satu dinar emas. Saya bercadang untuk pajakkan silver untuk membeli dinar emas menggunakan wang hasil pajakan. Saya nk mintak pendapat Tuan Zul dalam perkara ini. Sekian. Assalamualaikum.

Reply

42 Mohd Zulkifli Shafie January 16, 2014 at 7:34 am

Wslm En. Faisal,

1. Saya tak pasti apa yang terbaik. Bagi saya, kalau kedua-dua rumah tu boleh bagi positive cashflow, manfaatkan duit tu untuk bayar ansuran hutang tu. Anggap rumah tu yang bayar segala hutang yang ada. Tapi kalau hutang memang terlalu banyak, ada baiknya juga jual sebuah rumah yang beli bawah market price tu.

2. Ar-rahnu tak terima pajakan silver kecuali Ar-Rahnu KDE. Itupun dia terima silver keluaran Public Gold sahaja. Saya tak syorkan beli pajakan untuk beli lagi emas kecuali En. Ahmad dah buat kira-kira ianya memang menguntungkan. En. Ahmad boleh rujuk artikel saya di http://www.bit.ly/manipulasiarrahnu untuk faham topik ni.

Wallahu a’lam.

Reply

43 aishah January 22, 2014 at 3:27 pm

Assalamualaikum..

Tuan, saya nak tanya, sekiranya saya ada cash 30-50k, apakah bentuk pelaburan yang sesuai? sama ada biarkan di asb, beli aset (rumah/tanah) atau beli emas? T.kasih..

Reply

44 Mohd Zulkifli Shafie January 22, 2014 at 8:36 pm

Wslm Pn. Aishah,

Secara jujurnya, saya tak pasti apa yang terbaik untuk puan. Ia terpulang kepada matlamat kewangan dan kesanggupan mengambil risiko masing-masing. Bagi saya:

(1) ASB / Tabung Haji tempat untuk simpanan jangka pendek, simpanan kecemasan dan ianya tiada risiko. Dividennya sekadar cukup untuk cover kadar inflasi.

(2) Emas bagi saya untuk simpanan jangka panjang. Kalau ada duit tunai yang memang tak dimanfaatkan untuk rolling bisnes, atau pelaburan lain, guna duit tu untuk beli emas. Duit kalau dibiarkan dalam bentuk tunai, ianya sangat berisiko duit itu akan dibelanjakan. Dan emas juga bagi saya adalah simpanan tunai sebab bila-bila masa kita perlukan duit, kita boleh jual atau pajak jer emas tu.

(3) Hartanah adalah peluang memanfaatkan hutang untuk membina kekayaan. Ia dipanggil “hutang baik”, iaitu hutang yang akan membuatkan kita lebih kaya. Dengan hartanah juga kita boleh jana pendapatan “pencen” dengan cara menyewakan rumah.

Bagi saya, itu semua adalah “alat kewangan”. Ia terpulang pada strategi masing-masing. Kalau saya, kesemuanya saya gunakan.

Wallahu a’lam.

Reply

45 Aini January 29, 2014 at 10:21 am

Terima kasih atas perkongsian ini. Mohon izin utk saya kongsikan di blog saya.
Terima kasih.

Reply

46 Mohd Zulkifli Shafie January 29, 2014 at 10:32 am

Silakan Pn. Aini. Mudah-mudahan ianya bermanfaat, insyaAllah.

Reply

47 Aini January 29, 2014 at 11:50 am
48 khidir March 2, 2014 at 2:31 pm

pandangan yang menarik harap saya akan dapat praktikan apa yang cik zul sampai kan ini…semoga Allah sentiasa memberkati hidup cik zul keluarga..

Reply

49 Mohd Zulkifli Shafie March 2, 2014 at 9:57 pm

Alhamdulillah.. Amiin ya Allah. Moga Allah merahmati En. Khidir sekeluarga juga.

Reply

50 Fatimah March 4, 2014 at 2:52 pm

Assalam En Zul,
Dlm reply kpd pertanyaan, En Zul ada inform yg dahulukan byr hutang sblm beli emas disebabkan kadar interest yg tinggi.
Mcm mana dgn hutang yang tiada interest seperti saya yg ada pinjaman pelajaran MARA, dimana tiada bayaran tambahan dikenakan kpd peminjam.
Saya diberikan schedule utk membayar pinjaman tersebut yg hanya akan habis pada thn 2019. Adakah saya cuma ikut schedule bayaran tersebut dan beli emas sikit2 utk disimpan. ataupun perlu langsai hutang baru boleh beli emas.

Mohon pencerahan.

Terima kasih.

Reply

51 Mohd Zulkifli Shafie March 4, 2014 at 6:27 pm

Wslm Pn. Fatimah,

Kalau hutang tanpa interest, bagi saya bayar ikut jadual jer. Manfaatkan duit yang ada tu untuk kembangkan kekayaan.

Reply

52 eka March 6, 2014 at 12:10 pm

Terimakasih atas perkongsian Tuan.
Semoga dapat mendisiplinkan diri selepas ini
Benar sgt pandangan tuan bukan income kita yg mempengaruhi jumlah simpanan kita tapi cara kita mengelola keuangan dan mengawal emosi kita
Dulu ingat bila saya start bekerja..boleh lah gaji saya, saya simpan bulat-bulat
tapi setelah 3 tahun bekerja sy dapati sy malah x mampu menyimpan lebih dri biasa yg syselalu simpan sebelum bekerja…
Gaya hidup jdi berubah pergaulan juga slah satu faktor yg amat mempengaruhi…
sejak berkerja ni selalu gi keluar dgn kawan2 seoffice..tiap2 bulan terlajak beli barangan yg sebenarnya diluar keperluan, kos2 yg sebenarnya tdk diperlukan sama sekali pun bertambah….kadang2 keluar main bowling lah, gi mengurut lah,,pi salon lah, shopping centre lah…..tiap2 minggu selalu rutinitas ni hanya sy lakukan 3 bulan sekali…..memang betul lah susah sgt nak disiplin kan diri buat menyimpan..
sebab tu susah nak kaya kot..!!!

Reply

53 Mohd Zulkifli Shafie March 6, 2014 at 4:26 pm

It’s ok Pn. Eka. Mulakan azam hari ni untuk perbaiki tahap kewangan sekeluarga.

Saya doakan Allah berikan keberkatan dan kelapangan rezeki untuk puan sekeluarga. Amiin ya Allah.

Reply

54 Ida December 15, 2014 at 7:11 am

Assalamualaikum wbt…
En. Zul, apa pandangan tuan berkenaan rumah saya yg saya beli, byrn bulanan kpd bank rm600 selama 25 thn. Umur saya 31 thn. Tapi sewaan utk kawasan tersebut hanya rm400 sebulan. Jadi saya perlu top up rm200 lagi sebulan. Adakah ini dikira bed debt.
Apa pilihin terbaik yg perlu saya ambil.
Terima kasih tuan atas pandangan yg diberikan.

Reply

55 Mohd Zulkifli Shafie December 15, 2014 at 7:54 am

Wslm Pn Ida,

Kalau sesuai, cari jalan untuk naikkan sewaan, antaranya;

1. Sewa mengikut bilik,
2. Lengkapkan rumah tu jadi “fully furnished”,
3. Sewa mengikut kepala, jadikan macam asrama tapi rumah mesti lengkap dan sesuai macam asrama,
4. Cantikkan rumah tu e.g. cat baru.

Seboleh-bolehnya rumah tu simpan jadikan mesin duit untuk masa depan. Dalam jangka panjang, saya percaya ianya berbaloi, insyaAllah.

Reply

56 Diana Putri March 17, 2015 at 6:14 pm

Thanks atas informasi yang dituangkan dalam artikel ini.

Reply

57 Mohd Zulkifli Shafie March 21, 2015 at 4:52 am

Alhamdulillah..

Reply

58 Jaim September 26, 2015 at 10:31 am

Terima Kasih Tuan atas informasi bernas yang dapat membantu pelajar seperti saya yang baru melihat kepentingan menyimpan wang.. Semoga Allah permudahkan segala urusan Tuan dan digandakan rezeki, InsyaAllah.

Reply

59 Mohd Zulkifli Shafie December 25, 2015 at 7:26 am

Alhamdulillah… Terima kasih atas doa tersebut. Amiin ya Allah…

Reply

60 Sukri November 10, 2015 at 11:08 am

Puerkongsian ilmu yg sungguh bermanfaat dlm blog tuan..Syabas! dan teruskan menulis..

Reply

61 Mohd Zulkifli Shafie November 10, 2015 at 2:58 pm

Alhamdulillah…

Reply

62 Suami Risau April 5, 2016 at 12:40 pm

Salam, sy ingin meminta pandangan tuan zul. Semasa bujang sy seorang yg mempunyai kesedaran dlm mengurus kewangan secara berhemah. Tapi sejak berkahwin, sy merasakan sgt susah utk menyimpan duit.

Sy sudah bekerja selama 7 thn dan berjaya mengumpul sebanyak 15K. Sy berkahwin pd tahun lepas dan membelanjakan 12K utk kedua-dua majlis. Sepatutnya ada lebihan, tapi semasa nak kahwin, ada kos2 yg terpaksa ditambah, & akhirnya sy telah menggunakan hampir kesemuanya. Kini setelah 7 bulan berkahwin sy tiada simpanan langsung. Masalah sy setelah berkahwin ialah, gagal menyimpan duit dan gagal membayar pinjaman PTPTN (semasa bujang sy sentiasa berjaya membayarnya). Ini agak menghairankan kerana jika mengikut bajet sy, sepatutnya sy berjaya
menunaikan semua komitmen dan masih ada BAKI yg boleh dibelanjakan.

Pendapatan sy lbh kurang 2300 (bersih) dan isteri 1800 shj. Komitmen bulanan sy merangkumi sewa rumah, bil2, internet, water filter, takaful sy dan isteri sekali,belanja dapur, pemberian utk ibu, & simpanan 10%. Sy tidak memiliki kereta & rumah sendiri. Manakala isteri pula hanya mempunyai lebihan yg sgt sedikit kerana komitmen beliau lebih bnyk & penting. Jadi sy membayar semua sewa, bil, takaful dll. kerana isteri tak dpt membantu berkongsi dgn saya.

Masalah sy selepas berkahwin ini ialah kami sering mengalami lebihan perbelanjaan kerana tak dpt mengawal wang keluar (sepatutnya ada lebihan, spt yg tercatat dlm bajet) didorong oleh perkara2 yg tak dpt dielakkan. Ini merisaukan sy kerana sy gagal menyimpan duit sejak berkahwin, (jika simpan pun, terpaksa dikeluarkan balik). Sy juga tidak dpt membayar balik pinjaman PTPTN. Ini mendukacitakan sy kerana sy tidak ada hutang lain spt kereta & rumah & seharusnya sy MAMPU menyimpan wang dgn baik, spt zaman bujang. Sy kini tiada simpanan langsung dlm Tabung Haji. Sy berimpian hendak mengurus kewangan dgn baik tapi masih gagal hingga sekarang. Banyak perkara2 yg mengganggu cita2 sy.

Apakah yg harus sy buat? Sy risau jika tiada simpanan kecemasan, ia akan menyusahkan kami kerana isteri juga tiada simpanan. Sy juga risau jika lambat membeli rumah (impian besar masa bujang) harganya akan meningkat sedangkan simpanan KWSP akaun 2 sy masih belum cukup
utk digunakan. Satu lagi perkara, perlukah sy membuat pinjaman ASB utk memudahkan pembelian rumah? Ini kerana sy ada akaun ASB tetapi telah dipindahkan simpanan ke Tabung Haji atas dasar tak patuh syariah.

Harap tuan sudi membantu sy berkenaan cara2 menguruskan kewangan dgn berkesan. Sy ingin jadi spt dulu, berjaya mengawal perbelanjaan. Terima kasih.

Reply

63 Mohd Zulkifli Shafie April 5, 2016 at 4:10 pm

Wslm Tuan,

Cadangan saya:

1. Banyak membaca buku-buku kewangan. Lebih banyak ilmu kewangan, lebih banyak kita mampu menyimpan, insyaAllah. Dengan ilmu, banyak keajaiban yang boleh berlaku.

2. Buat satu buku catatan, senaraikan segala perbelanjaan setiap hari walaupun sekecil item berharga 10 sen. Tulis secara konsisten at least 6 bulan. Nanti tuan akan tahu ke mana duit itu bocor.

3. Buat kira-kira berapa sepatutnya ada duit lebihan setiap bulan. Buat potongan gaji masuk ke dalam akaun Tabung Haji. Buku Tabung Haji tu hantarkan balik kampung, atau bakar terus! 3 – 5 tahun akan datang baru buat permohonan untuk buat buku baru dan semak baki semasa.

Itulah sedikit cadangan dari saya.

Allahu a’lam.

Reply

64 mohd selim January 2, 2017 at 1:22 pm

Assalammualaikum…

mselim3 suka perkongsian nie.. terbaik. Terima kasih atas ilmu perkongsian tip kewangan nie.. bermanfaat sangat.

mselim3

Reply

65 Mohd Zulkifli Shafie January 10, 2017 at 4:05 pm

Wslm En. Mohd Selim,

Alhamdulillah. Mudah-mudahan bermanfaat, insyaAllah.

Reply

66 Luqman November 16, 2017 at 9:03 am

Assalam. Boleh saya copy artikel ini?

Reply

67 Mohd Zulkifli Shafie November 17, 2017 at 9:25 am

Wslm En Luqman.

Silakan. Bagi kredit kepada blog ini sebagai sumber untuk mengekalkan kredibiliti artikel tersebut.

Reply

Leave a Comment

{ 6 trackbacks }

Previous post:

Next post: