MohdZulkifli.Com

Motivasi Kewangan & Simpanan Emas

Asal Duit Adalah Emas

Lepas sedar nilai duit bukan lagi terletak pada kertasnya, saya teruskan
 kajian tentang sejarah mata
wang. Dulu saya fikir, duit yang kita gunakan hari ini dikeluarkan bersandarkan emas. Rupa-rupanya saya silap...

Sebenarnya duit kertas yang kita gunakan hari
 ni dah tak ada kena-mengena dengan emas sejak 15 Ogos 1971 lagi. Iaitu lepas Amerika putuskan hubungan antara emas dengan duit kertas US Dollar, dan langgar perjanjian Bretton Woods yang dipersetujuinya pada 1944 dengan 44 buah negara di dunia.

Semenjak daripada tu, ia kertas sudah jadi “wang fiat”, iaitu duit yang dikeluarkan tanpa disandarkan pada apa-apa aset fizikal. Ia dikeluarkan out of nothing menurut Profesor Dato’ Dr. Ahamed Kameel Mydin Meera.

Cuma kertas mewakili emas

Sejarahnya begini...

Ketika akhir Perang Dunia Kedua, negara-negara dunia nak bangunkan semula ekonomi... Untuk tujuan dagangan antara negara-negara di dunia, apakah satu matawang yang dipersetujui dan diterima meluas dalam transaksi jual beli? 

Wakil 44 buah negara (yang sertai perjanjian Bretton Woods) setuju menggunakan duit US Dollar sebagai matawang antarabangsa... Tapi duit dollar itu bukanlah kertas kosong yang dicetak...

USD dollar hanya matawang... Wang sebenar adalah emas...

Sebelum 1971, setiap duit kertas US Dollar yang nak dicetak perlu disandarkan kepada emas. Setiap 35 Dollar yang nak dikeluarkan (dicetak), mesti ada emas seberat satu troy oz (31.1 gram).

Maksudnya, duit kertas Dollar tu bukan duit. Ia cuma baucar mewakili duit sebenar, iaitu emas.

Kalau tengok duit kertas Dollar (sebelum 1971), dengan jelas tertulis pada duit kertas tu, “redeemable in gold on demand...”. Maksudnya, (duit) kertas tu kita boleh bawa ke bank untuk ditukarkan kepada emas. 

Kertas tu cuma baucar mewakili emas. Duit sebenar adalah emas.

Jelas tertulis "redeemable in gold on demand" pada duit kertas dollar satu ketika dulu. Ia cuma kertas mewakili duit sebenar (emas).

Sistem kewangan dimanipulasi

Sistem tu berakhir bila ekonomi Amerika bermasalah berikutan peperangan panjang dengan Vietnam (dan mereka tak menang kecuali dalam cerita Rambo sahaja!). Kekayaan mereka habis dibelanjakan untuk peperangan (yang tak mendatangkan hasil).

Jadi apa cara nak dapatkan balik kekayaan yang dah habis tu dengan cepat?

Maka mereka cari idea memanipulasi sistem kewangan... Amerika mula 'jual kertas' pada harga yang mahal!

Kalau ikut perjanjian Bretton Wood 1944, duit kertas US Dollar tak boleh dicetak sewenang-wenangnya tanpa disandar dengan emas. Nak cetak duit kertas, kena ada emas.

Kertas tu bukan kertas kosong. Tapi kertas yang boleh ditukarkan dengan emas.

Maka jalan pintasnya, mereka putuskan sahaja hubungan antara duit Dollar dan emas! 

Emas-emas yang banyak diserahkan oleh negara-negara dunia kepada Amerika sebagai tukaran kepada kertas dollar, akhirnya jadi milik Amerika sepenuhnya!

Negara lain simpan kertas (dollar), Amerika simpan emas!

Dollar boleh dicetak sesuka hati (tanpa disandarkan kepada emas) semenjak 1971. Itulah rahsianya kenapa Amerika kaya-raya dan berkuasa pada hari ini.

Kaya dan berkuasa hasil jual 'kertas'!

Menurut pakar sejarah mata wang Michael Maloney, penciptaan “wang fiat” adalah penipuan terbesar dalam sejarah manusia. Amerika dapat kekayaan yang banyak dan kekuasaan yang besar hasil menjual 'kertas-kertas' dollar kepada dunia!...

Bayangkan... Sebahagian besar transaksi jual beli dunia menggunakan kertas US Dollar...

Nak berjual beli dengan negara lain, kita kena beli duit US Dollar dulu... Tukarkan kekayaan kita dengan 'kertas' dollar dulu... Barulah transaksi itu jual beli itu boleh berlaku...

Sedangkan US Dollar itu hanyalah kertas... Kertas yang tak kena mengena lagi dengan emas (atau aset fizikal lain)... Ia benar-benar kertas...

Itulah sebab kenapa Mike Meloney anggap ia penipuan terbesar dalam sejarah manusia...

Perkara begini sebenarnya bukanlah perkara baharu dalam sejarah manusia. Bahkan kalau kita baca sejarah, ia telah pun dibuat pada zaman kerajaan Greek dan Rom dahulu lagi.

Di negara kita pun pernah berlaku, iaitu pada zaman Jepun memerintah Tanah Melayu. Duit dicetak sesuka hati oleh kerajaan Jepun di Tanah Melayu hingga berlaku hiperinflasi yang menyebabkan kuasa beli duit kertas jatuh mendadak.

Dengan kata lain, kekayaan rakyat sebenarnya dirompak oleh pemerintah dalam tidak sedar.

Harga Emas Mendatar 100 Tahun

Kalau semak graf harga emas di www.kitco.com, kita dapati harga emas tidak naik lebih 100 tahun. Ya, lebih 100 tahun iaitu sejak 1883. Graf harga emas mendatar sahaja. Persoalannya kenapa?

Adakah tiada permintaan kepada emas?

Bukan... Jawapannya, duit yang digunakan
 pada ketika tu sebenarnya adalah emas.
 Walaupun mereka pegang wang kertas, tetapi hakikatnya kertas tu hanyalah baucar ataupun kupon sahaja. Maka harga emas memang tak ada naik turun sebab duit itu sendiri adalah emas.

Masih ingat tak zaman sekolah dahulu? Pihak sekolah edarkan kupon untuk hari kantin atau hari usahawan. Murid-murid kena beli kupon untuk berbelanja pada hari usahawan. Kupon-kupon tu bukanlah duit, tapi ia hanyalah alat mewakili duit sahaja.

Begitulah juga dengan sistem kewangan dunia sebelum 1971. Wang kertas hanyalah alat bagi mewakili wang yang sebenar iaitu emas.

Emas Naik atau Kuasa Beli Jatuh?

Apabila saya faham hakikat ini, saya tidak begitu teruja dengan naik turun harga emas. Saya melihat emas adalah sebagai alat penyimpan kekayaan sebenar. Manakala kekayaan yang disimpan dalam bentuk duit kertas hanyalah bersifat maya. Pada bila-bila masa kekayaan itu boleh hilang begitu sahaja, sebab wang kertas boleh dimanipulasi (oleh kerajaan yang tidak bertanggungjawab). Sedangkan emas tidak. Emas tidak boleh dimanipulasi. Ia adalah ‘duit’ ciptaan Tuhan yang disimpan dalam perut bumi untuk manusia.

Bagi sesiapa faham hakikat ini, harga emas naik selalunya bukanlah satu petanda baik. Di sebalik kenaikan itu, ada berita yang kurang menyenangkan iaitu kuasa beli duit kertas kita yang jatuh.

Cuba bayangkan, sebelum 1971 kita perlu membayar 35 Dollar untuk mendapat emas seberat satu troy oz (31.1 gram). Sekarang, kita perlu membayar lebih 1,000 Dollar untuk dapat emas pada berat yang sama!

Persoalannya, harga emas naik atau kuasa beli duit itu sendiri yang jatuh? Dari satu sudut, ya memang harga emas yang naik. Dari sudut yang lain, sebenarnya duit kertas yang jatuh.

Saya ambil contoh mudah; pada tahun 1980-an, harga sebiji karipap di Malaysia ialah 10 sen. Untuk dapat karipap yang saiznya sama pada hari ini, kita perlu membayar 50 sen. Kita perlu membayar jumlah duit lima kali ganda berbanding dahulu untuk dapat karipap yang sama.

Misteri Karipap yang Hilang

Persoalannya, dengan kenaikan harga karipap sebanyak lima kali ganda, adakah mak cik peniaga karipap zaman sekarang lebih kaya berbanding mak cik peniaga karipap tahun 1980- an dahulu?

Tentunya tidak, kan?

Begitu jugalah dengan emas.

Walaupun harga emas naik berkali-kali ganda berbanding dahulu, hakikatnya penyimpan emas tidak semakin kaya! Ya, betul. Tidak bertambah kaya, tetapi kekayaannya bertahan. Kuasa beli emas bersifat kekal. Ya, kekal. Tidak bertambah dan tidak berkurang.

Buktinya, pada zaman Nabi Muhammad SAW (lebih 1400 tahun yang lalu), satu dinar (emas seberat 4.25 gram, berketulenan 999.9) mampu beli seekor kambing. Hari ini, satu dinar juga mampu beli seekor kambing. Walaupun harga emas telah pun naik berkali-kali ganda berbanding tahun 80-an dahulu, satu dinar tetap mampu beli seekor kambing sahaja. Ia tak mampu beli 10 ekor ataupun 100 ekor kambing.

Kita Tertipu dengan Nombor

Maksudnya, penyimpan emas sebenarnya tidak bertambah kaya dengan hanya kenaikan harga emas. Sebaliknya kekayaan mereka bertahan daripada inflasi. Kekayaan mereka bersifat kekal. Tidak bertambah dan tidak berkurangan.
Berbeza dengan simpan duit di bank. Walaupun nombornya sama, hakikatnya kita semakin miskin disebabkan kuasa beli duit kertas yang merosot dari tahun ke tahun akibat ‘dimakan’ inflasi. Kuasa beli RM10,000 pada sepuluh tahun yang lalu tidak sama dengan RM10,000 pada hari ini. Kuasa beli RM10,000 hari ini mungkin hanya separuh sahaja kuasa belinya berbanding 10 tahun yang lalu.

Walaupun nombornya kekal tetapi kuasa belinya berkurangan. Sebagai contoh harga karipap itu tadi, duit 10 sen hari ini tidak lagi mampu membeli sebiji karipap sebagaimana tahun 1980-an dahulu. Walaupun nombornya kekal 10 sen tetapi kuasa belinya telah hilang. Hakikatnya kita tertipu dengan nombor sahaja.

Jadi, duit kertas hanyalah sesuai dijadikan alat untuk medium transaksi jual beli sahaja. Ia tidak sesuai dijadikan simpanan dalam jangka panjang disebabkan ia tidak mampu menyimpan nilai. Penyimpan nilai paling ampuh yang digunakan oleh manusia dalam sejarah adalah emas (dan perak) sahaja.

Zulkifli
Damansara Damai
25 Mei 2017
28 Syaaban 1438H

Tentang Penulis

Mohd Zulkifli Shafie

Penulis buku bestseller; Wang Emas, dan Misi Bebas Hutang.

Menulis tentang kewangan sejak 2008. Berpengalaman membimbing lebih 7,000 penyimpan emas secara peribadi di Malaysia, Indonesia, Singapore dan Brunei sejak 2010.

Merupakan pengasas G100 Network; network terbesar dealer Public Gold (syarikat pengeluar emas terbesar di Malaysia), yang memberikan servis kepada lebih 500,000 penyimpan emas di seluruh Asia Tenggara.

  • Ya segalanya benar, tetapi kesalahan yang sangat sangat bersistem masih tidak dapat diatasi, tetapi mudah-mudahan dapat diatasi suatu waktu nanti Inn Syaa Allah.

  • salam cik zul,
    saya nak berkongsi pglmn saya, kalau simpan emas akan bertambah, tapi kalau duit, tak sempat disimpan akan menyusut. sbb emas ada aura yg buat kita ingin menambah dr masa ke semasa, tp duit aura dia, tahu nak hbskan je.

  • Sebelum ni baca website yang ditulis orang barat, mostly from the USA. From their perspectives, wang fiat lebih menguntungkan & lepas saya baca penerangan saudara, terus faham apa itu wang fiat. Sememangnya bagi mereka wang fiat menguntungkan sebab mereka kuasa besar yang memanipulasi ekonomi dunia!

  • {"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}
    >