MohdZulkifli.Com

Motivasi Kewangan & Simpanan Emas

Happy Bekerja, Menjadikan Kita Lebih Kaya

October 18, 2017

[Kemaskini September 2023]

Pencen bukan bermaksud tak bekerja, tapi kita dibayar untuk buat apa yang kita suka. Walaupun tak bekerja pun ada duit, tapi realitinya, orang kaya-kaya terus berkerja. Bahkan mereka bekerja lebih kuat daripada kita.

Bukan sebab duit, tapi dia happy dengan apa yang dia buat.

Rasa nak rehat sepanjang masa?

Kebanyakan daripada kita fikir, bestnya kalau tak bekerja. Hari-hari duduk rehat... Tapi tanyalah mereka yang dah pencen. Lepas bertahun-tahun sibuk bekerja, tiba-tiba duduk di rumah tak buat apa-apa, apa yang dia rasa?

Mesti dia mesti rasa bosan! Walaupun dia ada duit, dia tetap bosan duduk saja...

Ia bukan tentang tentang duit. Tapi ketenangan minda, kestabilan emosi dan kesihatan tubuh badan kita.

Otak kita, emosi kita, dan tubuh badan kita tak berfungsi di tahap terbaik kalau kita tak bekerja. Bahkan makin lama makin lemah... Macam beli kereta tapi cuma tersadai di rumah... Semestinya dia akan rosak...

Sebenarnya Tuhan ciptakan kita memang untuk bekerja (berbuat kebaikan). Kita kena bekerja barulah kita akan jadi lebih baik...

Pengalaman 2 tahun tak bekerja

Nak share sikit pengalaman saya;

Saya capai financial freedom pada tahun 2013, ketika umur saya 33 tahun. Waktu tu, tak bekerja pun ada duit. Walaupun tak bekerja, saya dapat passive income yang kukuh dari bisnes Public Gold saya, dan sedikit harta lain yang saya ada. Kata orang, "goyang kaki dapat duit"!

Sejak meletakkan jawatan pada 1 Disember 2013, saya pilih untuk berehat selama 2 tahun tanpa bekerja - tahun 2014, dan 2015. Saya cuma bekerja secara pasif dari rumah. Dengan kata lain, dua tahun tak keluar rumah!

Kerja saya cuma hantar anak-anak ke sekolah, dan jemput anak-anak balik sekolah. Lepas tu, buat hal saya sendiri.

Saya tak buat apa-apa seminar, dan tak keluar rumah untuk jumpa sesiapa yang berminat beli emas. Saya cuma update blog dan Facebook saya sahaja.

Hidup terasa bosan bila tak bekerja

Lepas hampir 2 tahun hidup macam tu, saya mula rasa bosan. Kekadang terfikir, “apalah hidup aku ni?”. Orang lain hari-hari sibuk pergi kerja, saya hanya duduk di rumah.

Pergi berjalan dan melancong? Owh, saya memang bukan jenis “kaki berjalan” sana-sini. Saya jenis suka duduk rumah sahaja...

Masa tu, saya adalah dealer Public Gold yang paling stabil. Tak buat seminar, tak keluar rumah, tapi pendapatan pasif saya berjumlah 5 angka setiap bulan - sekitar RM10,000 - RM20,000!

Ketika tu, staff Public Gold datang jumpa saya, dan 'pujuk' saya untuk aktif. Mula-mulanya saya kurang minat. Kalau hanya duduk rumah pun saya boleh jana pendapatan 5 angka setiap bulan, kenapa saya kena keluar rumah? Soal saya...

Inspirasi kembali bekerja keras

Tapi ada satu kata-kata yang memberi inspirasi kepada saya, katanya, "kalau you dapat bantu seorang dealer Public Gold lain yang berjaya macam you, you dapat ubah nasib sebuah keluarga!"...

Kata-kata tu memberikan inspirasi kepada saya. Saya kena aktif keluar rumah, bukan untuk buat duit. Tapi perjuangan saya untuk bantu mengubah kehidupan orang lain jadi lebih baik!

Lepas berbincang dengan guru saya, saya buat keputusan untuk “kembali” bekerja. Bekerja dengan cara yang saya suka, ikut masa saya. Saya bekerja disamping keluarga, bukannya keluarga disamping kerja - supaya hidup saya benar-benar bermakna... 

Hari ini, selain saya dan isteri adalah dealer Public Gold yang aktif, saya juga dilantik sebagai Official Speaker Public Gold yang menyampaikan seminar secara percuma di Malaysia, Singapore dan Indonesia setiap bulan.

Jadual saya kembali sibuk dan penat, tetapi bagi saya itu adalah “good tired”.

Seronok bekerja, seronok hidup!

Penat, tetapi ia bermakna dalam hidup saya sebab saya PILIH untuk penat. Bukan terpaksa penat seperti zaman saya bekerja makan gaji dahulu.

Alhamdulillah, saya happy dengan kehidupan begini.

Saya masih ingat pesan Ustaz Pahrol Mohamad Juoi dalam satu Kursus Mukmin Profesional bersama beliau, katanya, orang yang seronok dengan kerjayanya, dia akan seronok dengan kehidupannya... Sebab, kita menggunakan “prime time” dalam hidup kita untuk buat apa yang kita suka, iaitu bekerja.

Ketika badan kita sedang cergas dan bertenaga, kita buat apa yang kita suka. Lepas penat bekerja (apa yang kita suka), kita ruangkan pula saki-baki waktu untuk orang yang kita sayangi pula.

Tiada istilah “waktu pejabat”

Bayangkan kalau sebaliknya... Tak suka dengan pekerjaan kita... Hari-hari terpaksa menghadap perkara yang kita tak suka... Yang kita suka hanyalah sehari sahaja dalam sebulan, iaitu pada hari gaji sahaja!

Dan lebih “gila” lagi ialah, kita terpaksa buat apa yang kita tak suka (bekerja) itu lagi 30 tahun!

Saya perhati, majoriti mereka yang dah capai financial freedom, mereka berkerja lebih kuat daripada orang kebanyakkan. Mereka bekerja siang dan malam, dan termasuk hari cuti. Tak ada istilah “waktu pejabat”, dan “hari cuti” bagi mereka.

Bila-bila masa sahaja adalah waktu bekerja bagi mereka.

Tiada hari cuti, tiada hari bekerja

Bila kita suka apa yang kita buat, maka tak ada lagi "hari cuti" atau "hari bekerja" untuk kita! Samada Jumaat petang dan Isnin pagi, tak ada beza bagi kita...

Orang kebanyakkan yang menghadkan waktu bekerja mereka hanya pada waktu pejabat sebab mereka tak suka dengan pekerjaan mereka! Mereka cuma suka hari cuti dan hari gaji sahaja!

Sebenarnya itulah antara rahsia kenapa orang kaya semakin kaya. Mereka sangat suka dengan apa yang mereka usahakan.

Bila suka, maka mereka akan buat yang terbaik. Dan tentunya hasilnya juga terbaik. Dan hasil “kerja baik” dan “kerja terbaik” itulah yang membuatkan duit datang kepada mereka lagi dan lagi tanpa henti.

Saya nak share cerita pasal Abah saya.

Terus bekerja walaupun sudah pencen

Lepas pencen, kerja Abah ialah berkebun, bertukang dan jadi pengadil atau pengurus perlawanan bola sepak.

Walaupun Abah dulu pegang jawatan yang agak tinggi dalam kerajaan, tapi Abah tak segan untuk ambil upah kerja bertukang rumah orang dan berkebun di tanah orang kampung yang tak diusahakan.

Abah sangat rapat dengan orang kampung. Orang kampung kenal Abah sebagai “Ustaz Shafie”.

Saya rasa mereka tak tahu jawatan Abah dulu ketika dalam kerajaan. Mereka yang tahu jawatan Abah dalam kerajaan dulu cakap kepada orang kampung “owh, tergamak engkau suruh (upah) Ustaz Shafie tu buat kerja bertukang dan berkebun macam tu?“.

Maksudnya, tergamak bagi upah kepada Abah (yang pernah berjawatan tinggi) untuk kerja-kerja yang mereka anggap sebagai kerja kelas rendah.

Kekal sihat di usia bersara

Sebenarnya, orang yang cakap macam tu, mereka tak tahu kehidupan sebenar Abah di kampung.

Abah sebenarnya sudah aktif berkebun, bertukang dan bersukan sejak dari zaman muda lagi.

Diusia 69 tahun sekarang, Abah masih aktif turun padang bermain boleh sepak setiap petang dengan orang muda! Abah belum ada apa-apa penyakit kronik yang biasanya ramai orang umur 50-an dah ada. Alhamdulillah.

Kekadang orang tegur Abah, “Ustaz kuat kerja buat apa? Dengan umur Ustaz tu, baik duduk berehat je buat ibadat”.

Abah jawab, “saya kerja ni supaya saya boleh makan”. Mereka ingat, Abah cakap macam tu sebab tak cukup duit untuk makan tapi hakikatnya, Abah buat kerja-kerja tu semua semata-mata sebab MINAT dan untuk jaga kesihatan.

Bekerja sebab minat, bukan duit

Pasal duit, Abah tak kisah sebab duit pencen yang Abah terima pun dah cukup besar untuk kehidupan di kampung. Dan Abah juga ada harta yang boleh dikatakan banyak berbanding ramai orang yang duduk di kampung.

Bila ambil upah, biasanya upah yang Abah ambil lebih murah dari orang lain, tetapi dengan kualiti kerja yang jauh lebih baik (sebab Abah suka dengan kerja dia)!

Jadi, kalaupun tak ada orang upah Abah buat kerja-kerja berkebun dan bertukang, Abah tetap buat kerja-kerja tu di rumah. Abah bukan jenis boleh duduk diam.

Rumah Abah terletak dalam tanah kebun seluas 4 ekar. Segala alat berkebun dan bertukang penuh dalam stor Abah. Dari alat bertukang dan berkebun yang kecil sampai mesin tebang pokok pun Abah ada.

Terbaru, ini motosikal yang Abah upgrade jadi motosikal roda tiga. Motosikal tu Abah guna untuk bawa kayu-kayu besar yang Abah tebang dan angkut alat bertukang.

Abah sedang rancang projek terbarunya iaitu tanam pokok kelapa. Nak tanam kelapa secara besar-besaran katanya.

Tauladan Dari Kehidupan Abah

  1. Bila kewangan kita dalam keadaaan baik dan kukuh, kita boleh PILIH kerjaya yang kita suka. Kita akan happy dengan kerja kita walaupun dianggap kerja biasa-biasa sahaja.
  2. Bila kita happy dengan kerja kita, kita akan buat yang terbaik tanpa jemu. Tak ada lagi istilah “waktu pejabat” atau “hari cuti”. Hari-hari kita akan bekerja. Bekerja dan bermain, tak ada beza bagi kita sebab kita seronok melakukannya...
  3. Pencen bukan soal umur, tapi soal kedudukan kewangan. Bila kita capai kedudukan kewangan yang baik, kita boleh pencen bila-bila masa. Dan pilih kerja yang kita suka dan happy dengan kerja kita walaupun masih di usia muda. InsyaAllah.

Ikut minat, bukan yang gaji besar

Sebenarnya, kita tak perlu jadi kaya raya dulu barulah dapat kerja yang kita suka.

Kalau kita tak ada masalah kewangan (i.e. ada simpanan yang cukup, dan bebas dari hutang-hutang membebankan) pun dah berpeluang pilih kerja yang kita suka. Dan itu akan mendorong kita mendapat kejayaan besar dalam apa yang kita usahakan. InsyaAllah.

Saya masih ingat pesanan pensyarah saya ketika saya masih belajar, katanya “pilih kerja yang awak suka, bukan yang gaji besar”.

Saya tak ambil endah dengan pesananan tu. Saya fikir, kerjaya terbaik tentunya yang dapat offer gaji paling tinggi!

Sebenarnya silap. Kita hanya akan dapat gaji yang tinggi bila kita dapat galas tanggungjawab yang lebih besar dengan baik. Mana mungkin kita mampu galasnya dengan baik dalam jangka waktu yang panjang kalau kita memang tak minat (atau kurang minat)?

Kejayaan besar, perlukan minat mendalam

Saya tertarik dengan kajian yang dibuat oleh Angela Duckworth yang mana hasil kajiannya itu ditulis dalam buku bertajuk "Grit".

Hasil kajian beliau mendapati, orang berjaya bukan sebab IQ yang tinggi ataupun disebabkan bakat. Tetapi mempunyai “grit”, iaitu mempunyai MINAT yang mendalam pada apa yang dia usahakan, serta mempunyai KEGIGIHAN (daya tahan yang tinggi) untuk selesaikan sesuatu usaha sampai habis. 

Ia bukan komitmen sebulan dua, tetapi komitmen yang bertahun-tahun lamanya. Pendek kata, bila kita betul-betul minat, barulah kita ada daya tahan untuk berikan komitmen yang panjang untuk berjaya.

Saya sangat tertarik dengan talk pendek ini. Kalau setiap orang diletakkan di posisi yang betul dan dibina dengan growth mindset, setiap kita akan berjaya dalam bidang masing-masing, insyaAllah.

Buat duit dengan bermain

Saya ada baca buku bertajuk “Screw Work Let´s Play”, maksudnya buat duit dengan `bermain´, bukan ´bekerja´ dalam istilah yang kita selalu fahami. 

Tapi apa-apa pun, saya dapat beberapa point penting yang boleh saya belajar, iaitu:

  1. Cari kerja yang kita lebih suka lakukan, bukan yang gaji lebih besar.
  2. Bila kita suka dengan kerja kita, kita akan buat yang terbaik dan explore kerja tu tanpa had. Kita akan jadi pakar dalam apa yang kita buat. InsyaAllah.
  3. Bila kita jadi pakar, maka duit akan datang lebih banyak.
  4. Bila kita sangat suka dengan kerja kita, kita sebenarnya dibayar untuk bermain, bukan bekerja.
  5. Kalau setiap orang bekerja dalam bidang yang dia suka, maka produktiviti akan meningkat mendadak. Dunia ini akan jadi lebih baik. InsyaAllah.
  6. Kalau nak happy dalam hidup, kita mesti happy dengan kerja kita.Buat kerja yang tak happy semata-mata kerana “gaji” sangat merugikan hidup kita.

Ingat matlamat akhir

Bayangkan dalam sebulan bekerja, kesonokkan sebenar hanyalah pada hari gaji? Macam mana dengan 29 hari lagi? Lagi gila, kita terpaksa buat kerja itu untuk tempoh lagi 30 tahun!

Artikel saya ini sekadar renungan untuk diri saya sendiri dan juga sebagai panduan mendorong masa depan anak-anak. Ia penting bagi sesiapa yang nak tingkatkan kerjaya ke tahap yang lebih baik.

Siapa yang sedang “struggle” dengan keperluan kewangan yang mendesak, buatlah apa sahaja kerjaya yang ada dulu. Dan jangan memilih-milih.

Tapi kena tahu matlamat akhir ialah bekerja dalam bidang yang kita ada minat yang mendalam untuk berjaya. Sementara dapat kerja yang kita minat, fokus tingkatkan kewangan. Bila kewangan makin baik, mudahkan kita tukar kerjaya. InsyaAllah...

Mulianya orang bekerja

Apa pun kerja yang kita buat untuk sara hidup kita dan keluarga, selagi kerja itu halal, usaha itu sangat mulia di sisi Tuhan.

Keluar rumah membanting tulang demi nafkah keluarga itu kerja yang mulia, bahkan ia termasuk jihad di jalan Allah.

Pesan Nabi s.a.w. bermaksud: 

“Apakah jihad di jalan Allah itu hanya yang terbunuh (dalam perang) sahaja? Siapa yang bekerja untuk menyara hidup orang tuanya, maka dia di jalan Allah. Siapa yang berkerja menyara keluarganya maka dia di jalan Allah. (Tetapi) siapa yang bekerja (sekadar) untuk bermewah-mewahan maka dia di jalan thaghut.” (Hadis direkodkan oleh Thabrani, Al-Mu’jam Al-Ausath).

Bagi yang sedang bekerja, berbahagialah dengan kerja masing-masing. Mudah-mudahan Allah berkati usaha kerja keras itu dan dikira sebagai amal kebaikan (soleh). Amiin ya Allah.

Selamat bekerja.

Zulkifli
Damansara Damai
18 Oktober 2017
28 Muharram 1438H

(NOTA : Buku “Screw Work Let´s Play” tu bagus, tapi saya tersilap beli versi terjemahan Bahasa Melayu. Jadi agak susah faham berbanding baca terus versi asal. Saya ingat nanti saya nak cari versi asal bahasa English supaya lebih cepat catch up point yang nak disampaikan untuk penulis. Edisi terjemahan kurang bagus sebab kita baca berdasarkan apa yang fahami oleh penterjemah. Ia mungkin berbeza dengan maksud yang nak disampaikan oleh penulis asal)

Tentang Penulis

Mohd Zulkifli Shafie

Penulis buku bestseller; Wang Emas, dan Misi Bebas Hutang.

Menulis tentang kewangan sejak 2008. Berpengalaman membimbing lebih 7,000 penyimpan emas secara peribadi di Malaysia, Indonesia, Singapore dan Brunei sejak 2010.

Merupakan pengasas G100 Network; network terbesar dealer Public Gold (syarikat pengeluar emas terbesar di Malaysia), yang memberikan servis kepada lebih 500,000 penyimpan emas di seluruh Asia Tenggara.

  • Assalamualaikum Encik Zul,
    Artikel yang menarik dan jelas.

    Saya suka dengan kerja skrg dan sebagai dealer Public Gold. Tapi saya yakin kerja seperti di PG adalah lebih menarik kerana kita educate people ke arah lebih baik dan bebas masa.

    Setiap hari adalah hari Ahad.

  • Assalam en zul
    ada kesalahan ejaan sikit pada topik “Pilih Yang Kita Minat, Bukan Gaji” perenggan pertama.

    berpulang>berpeluang

    btw nice artikel

  • Alhamdulillah tuan, terima kasih atas perkongsian.. Saya gembira dengan kerja saya sekarang, dan dengan gaji pertama saya dapat beli 1gm public gold edisi terhad yang sultan tu hehe

  • Setuju sgt tuan. walaupun sy masih terkial kial dlm usia 4 series tapi sy takkan mengalah . walaupun dah suntuk masa atleast sy target by 50 sy akan capai financial freedom dgn izin allah

  • […] #5 – Bebas Kewangan – mempunyai aset yang cukup menjana passive income yang melebihi kos sara hidup. Kalau passive income yang dapat kita jana RM8,000 sebulan, tetapi kos sara hidup kita hanyalah RM6,000 sebulan, itu bermaksud kita telahpun capai tahap bebas kewangan (financially free). Bila di tahap ini, kita sudah hidup bebas tanpa perlu bekerja sebab kita telahpun menjana pendapatan daripada aset, bukan daripada pekerjaan. Walaupun begitu, majoriti mereka yang sampai ke tahap ini, mereka tetap terus bekerja atau berniaga, tetapi mereka dibayar untuk buat apa yang mereka suka. […]

  • {"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}
    >