MohdZulkifli.Com

Motivasi Kewangan & Simpanan Emas

Harga Jatuh, Pelabur Emas Digital Berputih Mata!

July 11, 2022

Harga emas bukan sentiasa naik. Ada ketikanya ia turun, bahkan ada ketikanya turun bertahun-tahun lamanya sebelum kembali naik.

Jadi bila beli emas sebagai pelaburan atau simpanan, jangan hanya jangkakan harga emas sentiasa naik, tapi kena bersedia juga kalau harga emas turun.

Dan apa juga strategi yang diambil, pastikan ianya sesuai samada harga emas naik ataupun turun.

Sekarang harga emas terendah untuk tempoh 9 bulan.

Dengan kejatuhan harga emas ni, sebahagian pelabur emas berpesta memborong emas pada harga rendah. Tapi sebahagian lagi sudah mula ‘goyang’. Menyesal beli emas katanya... 

Apatah lagi yang membeli emas dengan duit pinjaman atau pembiayaan sampai 10X ganda?!

Harga emas turun, kadar kerugiannya juga sampai 10X ganda, bahkan kalau terdesak nak gunakan duit, duitnya sudah ‘terbakar’ 100%!

Golongan yang bergembira dengan kejatuhan harga emas ialah penyimpan emas yang berilmu.

Golongan Happy Harga Turun

Pertama, mereka bukan sahaja menyimpan emas, tapi mereka juga baca buku dan ikuti webinar-webinar tentang emas.

Kedua, mereka adalah penyimpan emas fizikal. Mereka ada emas di tangan mereka.

Harga emas jatuh tergolek macam mana pun, kepingan emas di tangan mereka tak berkurangan walaupun 1 gram.

Jadi mereka tak terasa kerugian sebab mereka nampak kepingan emas tak berkurangan. Dan mereka tak peduli sangat tentang nombor (ringgit).

Graf 10 tahun harga emas. Dalam jangka pendek, harga emas bukan sentiasa naik. Ada ketika ia ambil masa bertahun-tahun untuk kembali naik ke paras tertinggi sebelum ini.

Ia berbeza dengan penyimpan emas yang tak ada ilmu. Dan lebih teruk lagi, mereka tiada emas di tangan mereka.

Yang mereka ada cuma nombor dan kertas sahaja!

Golongan Berdukacita Harga Turun

Mereka melabur dalam emas macam melabur saham.

Kalau beli emas sekadar "buy low sell high", lebih baik labur dalam saham. Atau simpan sahaja duit dalam Tabung Haji atau ASB. Itu jauh lebih baik.

Bila harga emas jatuh, mereka tak boleh buat apa-apa. Hanya melopong dan gigit jari tengok harga emas turun.

Nak tunggu harga naik, bila harga akan naik? Tak pasti...

Harga emas turun, adakah akan turun lebih banyak? Dan berapa lama lagi ia akan turun?

Pun tak pasti, bahkan tiada siapa pun dapat jawapan yang pasti.

Saya tak percaya dengan penganalisis teknikal harga emas.

Setelah lebih 12 tahun perhatikan harga emas dan membaca prediction (jangkaan) yang dibuat oleh penganalisis teknikal, saya boleh buat satu kesimpulan;

Saya tak percaya lagi pandangan penganalisis, apatah lagi penganalisis yang dia sendiri adalah ejen menjual emas atau prejudis dengan emas!

Jangan Tertipu Dengan Nombor

Jadi saya sentiasa ambil jalan selamat untuk diri saya dan penyimpan-penyimpan emas di bawah bimbingan saya. Gunakan teknik paling ampuh yang sudah digunakan beribu-ribu tahun lamanya, iaitu “beli emas mesti dapat emas”.

Kekayaan kita dengan emas bukan diukur dengan berapa nilai (harga) emas yang kita miliki, tapi berapa banyak gram dan kepingan emas yang kita miliki.

Lagi banyak gram emas, lagi besar kekayaan kita.

Sama juga macam pemilik hartanah (dan tanah). Nilai hartanah itu penting, tapi yang lebih penting ialah berapa banyak jumlah hartanah yang sudah kita miliki. Itu yang lebih penting.

Kalau harga emas naik mencanak-canak, tapi yang kita ada cuma 1 gram emas, itu namanya buang masa!

Manfaat sebenar simpanan emas ialah pada fizikalnya, bukan dapat nombornya. Dan yang paling baik ialah emas itu ada di tangan kita sendiri - 100% di bawah kawalan kita.

Jana Keuntungan Ketika Harga Jatuh

Bila harga emas jatuh begini, pelabur emas digital perputih mata. Tak ada apa yang boleh dibuat selain menunggu harga emas naik kembali - yang tak tahu bila waktunya!

Berbeza pemilik emas fizikal. Harga emas jatuh, duit kita tak tersangkut di situ.

#1 - Peluang Rolling Duit Bagi Peniaga

Bagi seorang peniaga atau ejen syarikat emas, dia boleh teruskan aktiviti jual beli secara aktif menggunakan stok emas yang masih ada di tangan.

Bila harga rendah, lagi banyak orang beli emas. Dengan kata lain, lebih banyak keuntungan yang dia dapat!

Bagi orang berniaga (bukan peniaga emas), dia boleh pajak dan dapatkan modal untuk rolling bisnes yang menguntungkan.

Pusinglah banyak kali modal itu sementara harga emas masih rendah.

Kos pajakan cuma sekitar 1.15% sahaja, berbanding hasil keuntungan bisnes selalunya berlipat kali ganda jumlahnya. 

Harga emas jatuh, dia tak stuck (tersangkut).

#2 - Peluang Rolling Duit Bagi Pelabur

Bagi mereka yang jadi pelabur hartanah, dia boleh gunakan pinjaman ar-rahnu untuk rebut peluang beli hartanah di bawah harga pasaran dan boleh bagi cashflow positif.

Bila dapat cashback, gunakan duit itu untuk tebus semula emas di ar-rahnu.

Teknik ini sering digunakan oleh murid-murid saya di bawah G100 Network.

Mereka gunakan simpanan emas untuk beli satu hartanah setiap tahun!

#3 - Peluang Tambah Simpanan Emas

Bagi penyimpan emas tegar, boleh ambil peluang beli emas dengan kaedah Easy Payment Purchase (EPP). Beli emas pada masa depan dengan harga hari ini - yang sangat rendah!

Bayar emas itu secara bulanan (dari pendapatan sendiri), dan gunakan emas sedia ada sebagai 'backup' kalau-kalau kewangan pada sesuatu bulan agak sesak untuk bayar komitmen EPP tu.

Belian emas secara EPP tu cara yang bagus untuk paksa diri menyimpan emas setiap bulan; sebab banyak orang boleh bagi komitmen membayar hutang, tapi tak mampu paksa diri menyimpan setiap bulan.

Maka belian secara EPP mungkin boleh bantu menyelesaikan masalah tersebut. 

#4 - Sebagai Backup Jika Terdesak

Bagi yang tak tahu apa nak buat tak perlu bimbang. Emas yang ada tu boleh dijadikan backup untuk dapatkan tunai segera ketika berlakunya hal-hal kecemasan.

Boleh dapatkan pinjaman segera bercagarkan emas untuk keperluan.

Asalkan mampu tebus balik emas itu dalam masa 6 - 12 bulan, pada saya tak ada masalah untuk pajak emas bagi keperluan mendesak.

Itulah antara kelebihan emas fizikal berbanding emas digital.

Walaupun harga emas jatuh, kita masih boleh rolling emas tu untuk pelbagai keperluan dan kegunaan - tanpa perlu jual emas tersebut.

Maksud "Emas Digital"

Itulah sebab kenapa penyimpan emas fizikal masih boleh tersenyum walaupun harga emas jatuh.

Tentang kenaikan harga jangka panjang, itu tak perlu khuatir.

Harga emas confirm akan naik dalam jangka panjang - disebabkan faktor kuasa beli duit yang confirm menyusut dalam jangka panjang.

Kalau harga roti Gardine tu pun kita tahu harganya akan naik, apatah lagi aset fizikal seperti emas, tanah dan juga hartanah.

Ia confirm akan naik, insyaAllah. Tak perlu bimbang... 

Zulkifli
Cyberjaya
11 Julai 2022
11 Zulhijjah 1443H

EMAS DIGITAL yang dimaksudkan ialah beli emas tapi tak dapat emas.

Kalaupun boleh keluarkan emas, kos untuk dapatkan emas fizikal adalah tak berbaloi, dan proses pengeluaran agak rumit.

Walaupun bersandarkan emas fizikal, tapi mereka tak dapat manfaat sebenar sebagaimana yang saya senaraikan di atas dan di dalam artikel "Akaun Pelaburan Emas atau Emas Fizikal?".

Tentang Penulis

Mohd Zulkifli Shafie

Penulis buku bestseller; Wang Emas, dan Misi Bebas Hutang.

Menulis tentang kewangan sejak 2008. Berpengalaman membimbing lebih 7,000 penyimpan emas secara peribadi di Malaysia, Indonesia, Singapore dan Brunei sejak 2010.

Merupakan pengasas G100 Network; network terbesar dealer Public Gold (syarikat pengeluar emas terbesar di Malaysia), yang memberikan servis kepada lebih 500,000 penyimpan emas di seluruh Asia Tenggara.

  • {"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}
    >