Hari tu saya ke IOI City Mall (Putrajaya) pergi cari songkok sambil teman isteri cari pakaian anak-anak yang dah makin mengecil.
Akhirnya beli juga songkok baru lepas berbelas tahun tak pakai songkok.
Buat stand by je kot-kot nak kena hadir mana-mana majlis rasmi yang kena pakai set baju Melayu lengkap.
Rasa ralat pulak kalau tak pakai songkok.
Rasa Bosan Bila Shopping
Lepas beli songkok, ikut isteri masuk ke beberapa kedai. Tapi rasa letih dan bosan pergi shopping...
Saya tak ada barang lain dah nak cari selain songkok.
Jadi saya suruh isteri teruskan shopping dengan dua 'bodyguard' dia. Saya nak balik ke kereta untuk pergi tidur , kononnyalah...
Tapi bila masuk kereta, sibuk reply mesej orang tanya pasal emas sampai dah hilang rasa mengantuk...
Bila nak berbelanja rasa malas. Tapi bila cari duit rasa bersemangat!
Bersemangat Bila Cari Duit
Sebenarnya saya tengok kebanyakkan orang kaya pun sama. Mereka suka cari duit tapi tak minat belanjakan duit.
Dia cuma happy tengok pasangannya dan ahli keluarganya berbelanja dengan duitnya.
Sikap tu memang pelik bagi orang awam. Tapi ia normal bagi kebanyakan jutawan yang saya kenal.
Nak kaya, mesti semangat cari duit tu kena lebih berbanding semangat membelanjakan duit.
Sebaliknya, siapa yang semangatnya berbelanja lebih dari semangatnya cari duit, kemungkinan besar dia akan berakhir dengan hidup miskin atau terperangkap dengan masalah hutang.
Ia tentang mindset, dan tabiat kita tentang duit.
Mindset dan Tabiat Orang Kaya
Orang kaya, mindset dan tabiatnya membuatkan duit berkumpul pada dia. Sebaliknya orang miskin, mindset dan tabiatnya itulah yang membuatkan duit lari daripada mereka.
Ya satu aspek orang nampak macam kedekut. Kononnya sebab dia kedekutlah dia jadi kaya.
Sebenarnya bukan.
Dia nampak kedekut untuk dia berbelanja, lebih-lebih lagi yang tak meningkatkan kualiti hidupnya.
Tapi dia happy bila orang yang sayangi membelanjakan duit yang dia cari.
Dari perspektif lain, orang kaya ni jadi kaya sebab mereka 'zuhud'.
Zuhud Menjadikan Kita Kaya
Walaupun kekayaan dunia tu ada dalam genggaman mereka, tapi mereka tak tergila-gilakan 'perhiasan' dunia tersebut.
Bahkan mereka happy menunaikan hak orang lain ke atas harta yang dia miliki.
Untuk dirinya sendiri, dia pilih hidup seadanya sahaja.
Sesungguhnya kaya itu mulia bagi siapa yang bersyukur...
Allahu a'lam.