MohdZulkifli.Com

Motivasi Kewangan & Simpanan Emas

Think on Paper : Cara Legakan Masalah Yang Membelengu Fikiran

July 30, 2025

Beberapa hari lepas, saya terima mesej daripada seorang kenalan - Kak Ida (bukan nama sebenar). 

Mesej dia panjang. Penuh emosi... 

Dia luahkan apa yang dia pendam lama sendirian. Dia rasa takut dan bersalah. Tentang satu kesilapan yang dia buat... Dan tak tahu macam mana nak selesaikan. 

Katanya, dia tengah “stuck”. Hilang fokus. Fikiran dia berserabut. 

Semuanya berpunca daripada satu perkara: dia pernah gunakan duit customer dalam jumlah yang besar. Dan dia kena scam - guna duit tu!

Dan sekarang, dia terhutang, rasa bersalah... Dia takut nak berterus-terang kepada customer. 

More...

Fikir masalah rasa nak mati 

Takut kalau customer tu tahu dan marah. 

Takut customer report polis - sampai kena masuk penjara! 

Dan dalam ketakutan tu... dia rasa, satu-satunya jalan keluar ialah... mati. 

Allahuakbar. 😔 

“Saya tak tipu En Zul... Saya sampai fikir kalau saya mati pun tak apa. Sekurangnya pelan hibah atas nama saya boleh cover hutang tu...”

Itu kata-kata Kak Ida yang buat saya terdiam sekejap.

Saya tahu dia bukan orang jahat. Tapi bila takut, bila masalah berlegar-legar dalam kepala tanpa jalan keluar...  fikiran manusia boleh jadi sangat gelap. 

Fikiran kita boleh jadi musuh paling kejam. 

Untuk tenangkan dia, saya jawab: 

“Akak tak susah mana… Yang susahnya ialah apa yang akak fikir je.”

Masalah sebenar bermain dalam kepala

Sebenarnya, masalah yang dia fikir tu belum benar-benar berlaku. 

Tak ada orang marah dia pun lagi.

Tak ada orang report polis.

Tak ada yang ugut nak saman. 

Tapi dalam kepala Kak Ida, dia rasa semua tu macam akan berlaku. Dan dia rasa dia takkan mampu nak hadap. 

Hakikatnya — masalah sebenar belum berlaku. Tapi cuma apa bermain dalam fikiran dia sahaja. 

Dan kalau tak dikawal, fikiran boleh jadi sangat kejam. Dia boleh buat diri sendiri rasa tak berguna, berdosa, takut, gagal dan putus asa...

Padahal belum pun berlaku apa-apa. 

Kita yang cipta skrip sendiri. Kita bayang perkara paling buruk. Kita mainkan filem yang belum berlaku. 

Dan akhirnya, kita sendiri yang takut, sedih, sesak nafas dan lumpuh (untuk bertindak waras). 

Apa yang kita fikir, itu yang kita rasa

Saya ingatkan Kak Ida:

“Kalau Akak masih boleh rasa cahaya matahari waktu pagi… Masih boleh tengok langit… Masih ada anak dan suami di sisi… Masih ada makanan, pakaian, dan tempat berteduh… Sebenarnya, Akak masih okay.”

Susah dia tu tak lah sesusah saya dulu - masa kena humban 2 tahun dalam penjara! 

Susah yang dia tengah hadap sekarang ni cuma wujud dalam kepala dia sahaja.

Perasaan takut tu dibina oleh fikiran dia sendiri.

Nak kurangkan tekanan tu, dia kena perbetulkan balik apa yang dia fikir.

Pertama sekali, kena redha.

Terima takdir yang Tuhan tetapkan ke atas dia. Berbaik sangka dengan Tuhan. 

Tuhan tak takdirkan apa-apa ke atas kita, kecuali yang baik-baik sahaja. 

Kalau kita tahu rahsia yang Dia simpan untuk kita di sebalik setiap musibah, nescaya kita tak akan bersedih. 

Kedua, think on paper. Berfikirlah atas kertas.

Tulis segala apa yang dia risau dan serabut dalam kepala tu. Tulislah segala worst case scenario yang dia bimbangkan tu.

Lepas dah tulis nanti, dia akan lega, insyaAllah. 

Sebab segala yang serabut tu dah 'dimuntahkan' semuanya ke atas kertas. Fikiran dia akan rasa lebih lapang. InsyaAllah.

Ketiga, barulah cara jalan penyelesaiannya.

Tulis satu persatu idea yang ada untuk selesaikan masalah tu.

Bila hati lebih tenang, kita dapat berfikir dengan lebih waras. Dan kita akan buat keputusan dengan lebih rasional, insyaAllah... 

Kuncinya, kena jujur dan beranggungjawab

Kak Ida bukan orang yang lari daripada tanggungjawab. Dia cuma takut untuk berterus terang.

Takut bila orang tahu, mereka takkan maafkan. 

Tapi saya cakap satu perkara: 

“Cakap jujur je. Dan bagi komitmen nak selesaikan. Itu saja.”

Bila kita jujur, walaupun pahit, orang akan nampak usaha kita. Dan selalunya, mereka boleh terima. 

Mungkin bukan terus reda. Tapi sekurangnya kita tak menipu lagi. 

Kita tak bawa beban berpura-pura setiap hari. 

Bertenang, masalah tak akan hancurkan kita…

Masalah hidup bukan untuk hancurkan kita. 

Masalah adalah ujian — sama ada kita akan berserah dan redha, atau kita akan melarikan diri dan hidup semakin sesak. 

Saya kongsi dengan Kak Ida: 

“Kalau logam besi, orang tak peduli. Tapi kalau emas, orang uji — sebab emas itu bernilai tinggi.”

Begitulah manusia... Kita diuji sebab darjat kita di sisi Tuhan. Kalau Tuhan sayang kita, Dia akan uji kita. 

Dia uji samada keimanan kita tulen atau palsu. 

Dia uji samada kita redha ataupun putus asa. 

Selesaikan belengun dalam fikiran

Jika hari ini kita rasa beban hidup terlalu berat... duduk sekejap. Tenang. 

Tengok langit. Tarik nafas perlahan-lahan. 

Tengok balik apa yang masih ada dengan kita - yang patut kita syukuri. 

Kemudian bisik pada diri sendiri: 

“Rasa susah semua ni cuma dalam kepala aku. Aku boleh ubah. InsyaAllah...”

Apa yang sebenarnya berlaku, taklah seberat apa yang kita fikirkan. 

Sebab kebanyakan beban yang kita rasa, bukan disebabkan masalah tu sendiri, tapi sebab cara kita berfikir. 

Selalunya sebab kita terlalu overthinking - fikiran buruk berlebih-lebihan.

Dan selagi kita hidup, selagi kita ada kudrat, dan selagi kita percaya pada rahmat Tuhan — kita masih boleh selesaikan apa saja masalah. 

Asalkan kita tak putus asa, semua masalah akan selesai juga. Ia cuma persoalan masa sahaja... InsyaAllah...

Zulkifli
Cyberjaya
30 Julai 2025
4 Muharram 1447H

Daripada Mus’ab bin Sa’d, daripada bapanya (Sa’d bin Abi Waqqas), beliau berkata:

Aku bertanya, “Wahai Rasulullah, siapakah manusia yang paling berat ujiannya?

Baginda menjawab:

“Para nabi, kemudian orang-orang yang seumpama mereka, kemudian orang-orang yang seumpama mereka. Seseorang itu diuji mengikut tahap agamanya. Jika agamanya kuat, maka ujiannya juga berat. Jika ada kelemahan pada agamanya, maka diuji mengikut kadar itu. Ujian akan terus menimpa seorang hamba sehingga dia berjalan di atas bumi tanpa menanggung satu dosa pun.”

- (Hadis Riwayat at-Tirmidzi no. 2398)

Daripada Anas r.a., beliau meriwayatkan bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

“Apabila Allah menghendaki kebaikan bagi seorang hamba, Dia akan segera mempercepatkan hukuman (atas dosanya) di dunia. Dan apabila Allah menghendaki keburukan bagi seorang hamba, Dia akan menangguhkan hukuman dosanya sehingga dia berhadapan dengan-Nya pada Hari Kiamat.”

Rasulullah ﷺ juga bersabda:

“Sesungguhnya ganjaran yang besar datang bersama ujian yang besar. Dan sesungguhnya apabila Allah mencintai sesuatu kaum, Dia akan menguji mereka. Maka sesiapa yang reda, baginya keredaan (Allah). Dan sesiapa yang tidak reda, maka baginya kemurkaan (Allah).”

- (Hadis Riwayat at-Tirmidzi no. 2396)

Tentang Penulis

Mohd Zulkifli Shafie

Penulis buku bestseller; Wang Emas, dan Misi Bebas Hutang.

Menulis tentang kewangan sejak 2008. Berpengalaman membimbing lebih 9,000 penyimpan emas secara peribadi di Malaysia, Indonesia, Singapore dan Brunei sejak 2010.

Merupakan pengasas G100 Network; network terbesar dealer Public Gold (syarikat pengeluar emas terbesar di Malaysia), yang memberikan servis kepada lebih 800,000 penyimpan emas di seluruh Asia Tenggara.

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}
>