"Kalau kita menang nanti, kita akan jual Putrajaya! Ini semua pembaziran duit rakyat!", katanya dalam ceramah politik (sekitar tahun 1998).
Tapi hari ni, dia dah jadi menteri di Putrajaya. Langsung tak kedengaran momokan dulu, kononnya nak lelong Putrajaya...
"Ini parti ajaran sesat"
Dulu dia tuduh ajaran sesat. Tapi sekarang, itulah parti yang sediakan dia pentas untuk ceramah bersama.
More...
Dulu lawan, sekarang kawan
Yang dituduh pula, dulunya marah bila dilabel sesat. Tapi hari ni dia angkat pemimpin celupar tu jadi pemimpin mereka!
Angkat dia seolah-olah dia sudah suci daripada dosa (tanpa perlu buat perakuan maaf)!
"Maha Zalim.... Maha Firaun!"
Tapi sekarang, pemimpin yang pernah digelar Maha Firaun itulah hari ni diangkat untuk berceramah di pentas yang sama!..."
"Siapa tuduh orang berzina atau meliwat tanpa mendatangkan 4 saksi dia patut dikenakan qazaf (salah satu daripada dalam hukum hudud)"...
Tapi hari ni, parti itulah yang tak segan silu membiarkan penyokong dan sekutunya melakukan dosa besar tersebut... Tak rasa besarnya dosa besar tersebut!...
"Kalau kita menang, kita akan hapuskan SOSMA! Ini bukan janji, tapi pasti!", tapi bila dia menang, nampak macam 'tak pasti'...
Itulah orang politik... Dulu lain, sekarang lain. Mana-mana parti pun sama sahaja...
Kesilapan kita percayai mereka
Saya fikir cukup-cukuplah percaya dengan kata-kata orang politik...
Cukup-cukuplah terikut-ikut gendang yang mereka palu..
Lepas tengok semua blok parti pun pernah berada dalam tampuk pemerintahan di Putrajaya, kita tahu... Semua parti pun masing-masing sudah jilat ludah mereka sendiri...
Memang itulah istilah paling tepat untuk kesemua parti politik di Malaysia.
Kalau nak kata berbohong, semua parti pun sudah jelas berbohong (semasa kempen dan ketika belum dapat kuasa).
Semuanya tak boleh betul-betul percaya...
Maka selepas 20 tahun, saya berlepas diri dengan politik kepartian...
Saya takut terjun ke neraka bersama-sama mereka atas nama agama!
Bila difikirkan balik, bodohnya saya mempercayai mereka (pemimpin politik) bertahun-tahun...
Sejak saya umur remaja lagi saya daftar keahlian sebagai ahli parti...
Kerana ketaksuban parti, bukan agama
Dulu saya fikir, saya sokong kerana agama atas dalil agama.
Tapi tanpa sedar, sedikit demi sedikit akal saya dipajak kerana ketaksuban kepada parti, bukan lagi agama!
Terlalu taksub sampai semua benda pun tengok ikut warna parti.
Sampai masa nak pilih bakal isteri dulu pun, saya tengok dulu bakal isteri saya parti apa? 😅
Apa saja pemimpin parti buat, semua betul belaka...
Kalau dia salah pun, ada sahaja dalil untuk 'halalkan' tindakan dia. Konon demi agama... Tapi sebenarnya demi parti.
Sedihnya dulu... Gara-gara terpengaruh ajaran parti, saya rasa tak sah solat dibelakang imam yang tak sama parti... Bahkan tak sah akad nikah kalau walinya berlawanan parti!
Kena aqad nikah semula diam-diam di luar pengetahuan walinya.
Dari dulu lagi... Ada yang sampai sanggup baca doa laknat terhadap sesama Muslim.
Doa yang sepatutnya untuk musuh Islam yang zalim, tapi ditujukan pula kepada saudara sendiri - hanya sebab berlawanan parti!
Guna dalil untuk menyedapkan hati
Ramai-ramai mengaminkan...
Sebab apa?
Sebab kita terlalu percaya pemimpin parti. Apa sahaja yang dia buat, semuakan dianggap betul, seolah-olah dia maksum macam Nabi!
Apapun yang dia buat, ada dalil digunakan untuk menyedapkan hati!
Kita lupa politik tu alat, bukan matlamat.
Kita lupa, wakil rakyat sepatutnya bekerja untuk rakyat. Kita (rakyat) adalah boss, mereka adalah pekerja...
Bila kita boss, kitalah kena menilai hasil kerja mereka.
Yang kerja bagus kita kekalkan. Yang tak bagus, hanya pandai bercakap, tapi kerjanya asyik mengular (ponteng) sahaja... Yang itu kita pecat!...
Sepatutnya kitalah yang kawal mereka, bukan terikut-ikut paluan gendang mereka...
Mereka buat silap, kita betulkan. Bukan mencari-cari dalil untuk spin - bagi membenarkan kesalahan mereka...
Semua pun dah tunjuk belang
Jangan sampai politik membuatkan kita jadi buta hati.
Sebab nanti bila mereka berbaik semula dengan ‘musuh’ mereka, kita akan malu pada ketaksuban kita sendiri...
Lebih buruk lagi, ketaksuban kita telah pun merosakkan hubungan sesama saudara sendiri.
Cuba tengok berapa ramai ahli politik yang dulu saling maki hamun, hari ni duduk bergurau senda dan makan semeja?
Dulu didoakan mereka qunut nazilah, tapi sekarang tiba-tiba tukar doa minta panjang umur!
Sedangkan kita yang jadi penyokong ni, putus kawan, putus saudara. Gara-gara politik.
Demi siapa? Demi orang yang belum tentu jujur bekerja untuk kebaikan kita!
Saya fikir, cukup-cukuplah...
Sejarah panjang politik Malaysia, tak ada satu parti pun yang pendiriannya kekal sama dari dulu sampai sekarang. Semuanya terbukti sudah berubah...
Dulu bermusuh, sekarang sudah jadi kawan...
Yang dulu pernah berkawan, pernah berperluk erat, bertakbir bersama, hari ni sudah bermusuhan dan dimunafik-munafikkan!
Politik demi kemajuan dan kesejahteraan
Kalau nak sokong, cukuplah sekadar pangkah di peti undi bila sampai masanya nanti...
Janganlah sampai terikut-ikut gendang yang mereka (orang politik) palu...
Nanti bila mereka jilat balik ludah-ludah mereka, diri kita sendiri yang malu...
Apa yang lebih buruk, tergadaikan hubungan baik sesama kita; sesama kawan dan sanak saudara... Bahkan terpalit dosa yang sudah dibalut dengan dalil-dalil agama!...
Politik sepatutnya membawa kita kepada kemajuan, kesejahteraan dan kemakmuran. Masing-masing sibuk berlumba-lumba berbuat kebaikan untuk rakyat dan negara...
Tak kisah samada kerajaan ataupun pembangkang, rakyat gajikan mereka kedua-duanya untuk membangunkan negara.
Bukannya satu pihak buat kerja, yang satu pihak lagi buat porak peranda!
Kalau berpolitik sampai menyalahi akhlak Nabi, sampai berbalah sesama sendiri, ketahuilah politik itu bukan jalan ke Syurga...
Sebaliknya, ada orang yang sedang menunggang kita (rakyat) untuk sama-sama mengheret kita ke neraka!...
Ikut Nabi, bukan parti
Dan paling menakutkan, kita tak sedar sedang bergerak arah neraka kerana kata-kata mereka sentiasa baluti dengan nama agama!
Nauzubillahi min zaalik...
Moga Allah melindungi kita semua...
“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran.
Dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu untuk tidak berlaku adil.
Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu lakukan.”
Zulkifli
Cyberjaya
29 Julai 2025
3 Safar 1447H
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah (ﷺ) bersabda:
“Sesiapa yang keluar daripada ketaatan (kepada pemerintah yang sah) dan memisahkan diri daripada jemaah kaum Muslimin, lalu dia mati dalam keadaan itu, maka dia mati seperti mati orang pada zaman Jahiliah (yakni mati dalam keadaan sesat).
Sesiapa yang berperang di bawah panji buta (yakni tidak tahu sama ada tujuannya benar atau batil), marah kerana semangat kabilah, menyeru manusia atas nama puak, dan berperang demi puaknya — lalu dia terbunuh — maka kematiannya adalah seperti kematian orang zaman Jahiliah..."

