MohdZulkifli.Com

Motivasi Kewangan & Simpanan Emas

Gaji Naik, Hutang Pun Naik: Itu Bukan Makin Kaya, Tapi Masuk Jerat!

January 21, 2026

Kalau gaji naik, tapi komitmen hutang pun sama naik — sebenarnya kita bukan makin kaya. Tapi makin terjerat! 

Bulan ni, ramai penjawat awam senyum lebar - dapat kenaikan gaji. 

Gaji naik, katanya sekitar 7%. 

Tapi sebenarnya, bukan saja penjawat awam yang senyum lebar, peniaga pun senyum juga. 

More...

Perniaga kereta senyum.
Peniaga handphone dan barang gaya hidup senyum.
Peniaga emas senyum.
Peniaga hutang (bank) pun senyum juga! 

Persoalan paling penting, adakah dengan kenaikan gaji tu membuatkan KITA senyum berpanjangan, ataupun senyum yang cuma sementara saja?

Ia sangat bergantung macam mana kita manfaatkan kenaikan gaji tu. 

Masalah biasa bila gaji naik

Walaupun sepatutnya kenaikan gaji tu menjadikan kita lebih kaya, tapi ini realiti yang selalu berlaku:

  • Gaji naik → terus tukar kereta baru
  • Gaji naik → handphone baru
  • Gaji naik → upgrade gaya hidup yang dah lama pendam
  • Gaji naik → buat personal loan baru!

Akhirnya apa jadi?
Duit tetap habis, tekanan kewangan masih sama!

Jumlah simpanan tak bertambah.
Yang bertambah cuma satu — jumlah hutang makin besar! 

Akhirnya hidup tetap sama - “kais sebulan makan sebulan” - sama macam dulu.

Tip penting bila gaji naik

Gaji naik sepatutnya makin kaya.

Tapi kalau tak tahu urus duit, kenaikan gaji tu tak menjadikan kita lebih kaya. Malah membuatkan hidup makin terjerat. 

Kalau nak jadi lebih kaya, setiap kali dapat kenaikan gaji, kena ingat tip penting ni;

  1. Jangan naikkan gaya hidup dulu.
  2. Jangan tambah hutang dulu.
  3. Sebaliknya, naikkan jumlah simpanan dulu.

Kalau dulu simpan cuma 10% saja daripada gaji (setiap bulan), sekarang naikkan ke 20% - 30%. Malah kalau mampu, naikkan ke 50% lagi bagus! 

Sebelum masukkan duit ke poket orang lain (dengan berbelanja), pastikan masukkan dulu duit ke poket kita - dengan tambah tabungan. 

Apa yang kita belanjakan, itu menjadikan orang lain semakin kaya. 

Sebaliknya, apa yang kita simpan, itulah yang menjadikan kita makin kaya. 

Auto-menabung setiap bulan

Hakikat yang kita kena sedar, masa dapat kenaikan gaji tu, itulah peluang terbaik tambah tabungan dengan lebih banyak.

Saya masih ingat satu masa dulu...

Setiap kali dapat kenaikan gaji, saya akan tambah potongan gaji masuk ke akaun Tabung Haji dulu (sebagai simpanan). 

Naik gaji lagi, saya tambah potongan lagi, dan lagi. 

Sebelum duit tu sampai ke tangan saya, lebih baik saya potong dulu siap-siap. 

Supaya saya "auto-menabung" setiap bulan. 

Auto-menabung = auto bertambah kaya!

Dalam tak sedar, kekayaan makin lama makin bertambah. 

Jangan tunggu duit lebih

Sebaliknya, kalau tunggu duit lebih, sampai bila-bila pun tak akan ada lebih. Bahkan duit sentiasa tak cukup. 

Kalau menabung, duit tak cukup (untuk belanja).

Kalau tak menabung pun, duit tak cukup juga! 

Jadi lebih baik menabung. Walaupun duit tak cukup untuk belanja, kita masih ada lagi duit dalam tabungan. InsyaAllah... 

Walaupun mungkin terpaksa korek balik duit dalam tabungan, sekurang-kurangnya kita korek dengan penuh rasa bersalah. 

Kalau tak menabung, nanti kita akan belanjakan semua duit tanpa rasa bersalah! 

"Rasa bersalah" korek tabungan tu sebenarnya membuatkan lama-lama tabungan kita makin bertambah. InsyaAllah....  

Kita tak selamanya ada gaji

Kena ingat... Hari ini kita ada gaji, tapi bulan depan belum tentu kita ada gaji.

Tahun depan pun belum pasti.

Kita tak akan selamanya sihat...
Kita tak akan selamanya mampu bekerja...

Tapi selagi kita hidup, kita perlukan duit.

Tujuan sebenar menabung bukan untuk dihabiskan - dengan pergi bercuti atau shopping.

Tapi sebagai persiapan hari esok yang belum tentu kita masih ada lagi gaji.

Jumlah tabungan tu nanti bakal menentukan berapa lama kita mampu bertahan ketika tidak ada lagi gaji... 

Dana kecemasan

Sebab tu guru-guru kewangan sarankan, setiap kita kena bersedia dengan "dana kecemasan", sekurang-kurangnya berjumlah 3 bulan gaji. 

Contohnya, kalau gaji RM5,000, kena ada tabungan minimum RM15,000.

Kalau tiba-tiba hilang perkerjaan, sekurang-kurangnya kita masih boleh bertahan selama 3 bulan - sebelum dapat pekerjaan baru. 

Kalau berlaku kemalangan jalan raya, itulah dana untuk repair balik kenderaan kita yang rosak. 

Kalau phone kita tiba-tiba hilang, pun boleh guna duit tu juga. 

Nanti lepas tu kumpul balik duit tu untuk cukupkan balik dana 3 bulan gaji tu. 

Siapa yang tak ada 3 bulan simpanan, sebenarnya kewangan dia dalam zon bahaya — walaupun gaji dia nampak besar.

Kemuncak menabung → financial freedom!

Selain untuk hal-hal emergency, matlamat akhir menabung sebab kita nak kaya. Kaya sampai kita tak kerja pun kita ada duit (passive income). 

Walaupun masih ada gaji, tapi hidup kita tak sepenuhnya bergantung kepada gaji. 

Inilah yang diistilahkan sebagai "financial freedom"! 

Ikut kiraan kasar yang saya buat, kalau nak passive income RM5,000 sebulan, kena ada harta sekitar RM1.2 juta (nilai harta bersih lepas tolak segala hutang). 

Tak kisah pun umur berapa... Bila ada harta RM1.2 juta, kita dah boleh pencen bila-bila masa.

Tak perlu tunggu umur 60 tahun baru boleh pencen.  

Jadi sempena dengan kenaikan gaji, inilah peluang keemasan untuk tambah tabungan dan kurangkan hutang. 

Selain kena ada tabungan yang kukuh dan harta yang cukup, lagi satu perkara paling penting untuk bersara awal ialah "bebas hutang"!

Zulkifli
Cyberjaya
21 Januari 2026
2 Syaaban 1447H

Tentang Penulis

Mohd Zulkifli Shafie

Penulis buku bestseller; Wang Emas, dan Misi Bebas Hutang.

Menulis tentang kewangan sejak 2008. Berpengalaman membimbing lebih 9,000 penyimpan emas secara peribadi di Malaysia, Indonesia, Singapore dan Brunei sejak 2010.

Merupakan pengasas G100 Network; network terbesar dealer Public Gold (syarikat pengeluar emas terbesar di Malaysia), yang memberikan servis kepada lebih 800,000 penyimpan emas di seluruh Asia Tenggara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}