“Salam... Ini first time berkunjung ke blog akhi...
TAHNIAH atas penulisan yang bernas dan berkesan. Semoga terus istiqomah.
Bagaimana cara nak bagi penulisan menyentuh hati dan macam mana nak grab idea untuk tulis sesuatu artikel?”
Ini komen seorang sahabat tentang blog ini.
Menulis Dengan Hati
Em... Saya terlalu mentah untuk bagi panduan tentang penulisan. Ia lebih sesuai dijawab oleh penulis berpengalaman.
Cuma apa yang boleh saya kongsikan ialah tulislah dengan hati.
Saya tulis, sekadar perkongsian dari hati ke hati bersama kenalan terdekat yang kami sayangi. Sebab nakkan kebaikan sesama sendiri, saya menulis – sebagai jalan untuk saling menasihati.
Oleh sebab ini sekadar perkongsian sesama kenalan, jadi tak perlulah gunakan gaya bahasa yang formal.
Janji pembaca dapat mesej yang nak disampaikan, kira jadilah...
Menulis Untuk Berkongsi
“Yang, Abang dah create blog kita. Kalau ada apa-apa nak kongsikan pada sahabiah, meh Abang tolong postkan”
“Ish, Ayang nak tulis apa? Ayang suri rumah jer”
“Ala, kongsi la apa-apa pun yang bermanfaat... Kan Ayang suka kongsikan pasal pregnancy tu kat kawan-kawan? Kalau postkan dekat blog, mungkin lagi ramai orang dapat manfaat”
Kedua, saya menulis untuk berkongsi. Berkongsi apa yang kami ada, dan topik yang benar-benar kami “feel” tentangnya, terutamanya tentang “pelajaran hidup” yang kami perolehi.
Ia mungkin berbentuk kefahaman melalui pengajian dan pemerhatian, mahupun kesilapan yang amat sukar kami lupakan.
Setiap orang, pengalamannya berbeza. Setiap pengalaman, pastinya terdapat pelajaran baru untuk kita.
Berkongsi tentang apa yang kita lalui, mungkin juga bermanfaat kepada orang lain. Setiap orang yang ambil manfaat, pastinya ada saham pahala untuk kita – kalau ikhlas. InsyaAllah...
Jalan Mencari Pahala
Pesan Nabi, sebaik-baik manusia ialah mereka yang paling bermanfaat kepada orang lain.
خَيْرُ الناسِ أَنْفَعُهُمْ لِلناسِ
“Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia”
(HR. Ahmad, ath-Thabrani, ad-Daruqutni. Hadits ini dihasankan oleh al-Albani di dalam Shahihul Jami’ no. 3289)
Menulis blog, boleh jadi jalan untuk menyahut seruan Nabi. Ramai orang dapat akses penulisan kita pada bila-bila masa, dan di mana sahaja.
Orang yang banyak beri manfaat, hidupnya pasti bahagia. Memang itu janji Tuhan untuk kita.
Dan itulah juga tugas kita sebagai Khalifah di dunia - memberi manfaat kepada diri, sesama manusia, dan kepada dunia seluruhnya.
Kata Ustaz Hasrizal di saifulislam.com, “MEMBERI adalah syarat untuk MENERIMA”. Beri dulu baru diberi (menerima).
Koreksi Diri Melalui Penulisan
Tapi, kalau tulis semata-mata untuk orang baca, kita akan kecewa.
Lebih baik tulis sekadar nota buat diri. Untuk ingatkan diri sendiri.
Suatu hari nanti, tulisan kita boleh jadi bahan muhasabah diri.
Kita boleh kenal siapa kita 2, 3 tahun lalu dengan baca semula tulisan lama.
Bagaimana amalan kita, emosi kita, kefahaman kita pada sesuatu perkara, sikap kita dan sebagainya, boleh kita cek balik dengan merujuk tulisan lama.
Sebab itulah saya arkibkan tulisan-tulisan lama dari cintaalam@yahoogroups.com (group rakan alumni UiTM Machang) ke dalam blog. Supaya senang dirujuk semula.
Menulis Untuk Mengukuhkan Ilmu
Harta, kalau dikongsikan ia makin berkurangan. Tapi ilmu, makin kita kongsikan, ianya makin bertambah.
Kita akan lebih faham sesuatu ilmu bila kita sampaikan kepada orang lain.
Itulah antara sebab kenapa Sayyidina Ali k.w. pilih ilmu berbanding dengan harta apabila disuruh pilih antara satu.
Maka, satu lagi manfaat menulis ialah mengukuhkan ilmu dan kefahaman kita dalam sesuatu perkara.
Bahkan kalau tak disampaikan, ilmu tu boleh hilang dan lupa...
Banyak ilmu dan kefahaman saya yang lalu hilang begitu sahaja sebab tak dikongsikan.
Jangan Menulis Ketika Marah
Akhir sekali, antara tip penting nak hasilkan tulisan yang baik ialah menulis ketika hati tenang dan damai.
Elakkan menulis ketika marah, atau jiwa resah gelisah. Emosi tu nanti pastinya tertumpah ke dalam penulisan kita.
Sebagai pembaca, kita dapat baca emosi seseorang juga melalui penulisannya.
Jadi tulislah masa emosi kita tengah baik, tenang dan damai. Supaya emosi baik tu tumpah ke jiwa pembaca, insyaAllah...
Wallahu ‘alam. Sekadar berkongsi.
Selamat menulis, selamat menjadi blogger! (“,)
Zulkifli
Kuala Terengganu
19 Mei 2008, 9.20 pagi
13 Jamadil Awwal 1429H
CATATAN
Saya suka ikuti blog sahabat dan kenalan, kerana melalui blog, kita boleh kenalinya lebih dari sekadar nama – sikapnya, emosinya, minat dan kecenderungannya, kefahaman dan pemikirannya, dan mungkin juga aktivitinya.
Saya galakkan setiap sahabat ada blog sendiri, supaya kita saling mengenali. Tapi ingat, jangan biarkan blog jadi satu lagi ‘beban’ dalam hidup... Ingat tu... (“,)
Menulis….dari tak tahu kepada tahu, dari sehuruf kepada sepatah, dari sepatah kepada seayat, dari seayat kepada berlembar-lembar.
Menulis dari hati dan di kreatifkan dengan akal.
Apapun, setiap patah perkataan akan tetap dipertanggungjawabkan.