MohdZulkifli.Com

Motivasi Kewangan & Simpanan Emas

Anak Muda… Berhijrahlah dan Bina Kehidupan di Tempat Baru

January 3, 2024

Bila duduk tempat sendiri, kita malas. Tapi bila hijrah ke tempat orang, kita lebih rajin, lebih panjang akal. Memang itulah sifat kita, tak kira apa kaum ataupun bangsa...

Duduk di tempat sendiri, kita tenggelam dalam comfort zone kita, yang membuatkan kita malas bergerak. 

Yang membuatkan kita tak maju, bukan sebab cabaran ataupun halangan yang besar. Tapi comfort zone - rasa selesa dengan apa yang ada. Walaupun hakikatnya hidup taklah seselesa mana.

More...

Risiko berada dalam comfort zone

Orang muda selesa duduk rumah mak, walaupun umur bukan lagi anak remaja. Orang kerja makan gaji, selesa dengan pendapatan yang ‘terjamin’ walaupun hakikatnya tak ada jaminan yang terjamin.

Tapi rasa terjamin itulah membantut kemajuan kita, dan menenggelamkan potensi sebenar kita.

Kita rasa terlalu bahaya dan terlalu berisiko bila keluar dari zon selesa. Sedangkan untuk jadi diri kita dalam versi lebih baik, kena cabar diri... Keluar dari zon selesa.

Saya selalu berpesan kepada anak-anak muda di bawah bimbingan saya supaya “keluar rumah”. Hijrahlah ke bandar dan tinggalkanlah kampung halaman. Jangan duduk di rumah mak.

Kita tak akan grow bila tenggelam dalam comfort zone.  

Kena duduk rumah sendiri, bayar sewa sendiri, masak dan siapkan keperluan kita sendiri. Bukan menumpang rumah mak.

Cabaran akan serlahkan potensi diri

Bila rasa tak selesa, rasa tak secure, kita akan grow.

Dulu, sebaik sahaja habis pengajian di universiti, saya terus berhijrah ke KL. Duduk KL baru 2 bulan, bulan ke-3 terus mendirikan rumah tangga.

Isteri saya masih di tahun akhir pengajian.

Dengan gaji tak seberapa, saya tak mampu menyewa. Menumpang duduk di bilik kecil rumah nenek, rumah kecil yang pakcik makcik sewakan untuk nenek di Gombak.

Kami menumpang duduk setahun.

Gaji cuma satu, tapi dah kena tanggung isteri yang masih belajar. Kenaikan gaji tak seberapa. Hutang ada 5 nak kena tanggung. Bilangan anak bertambah setiap 1 - 2 tahun seorang.

Anak berderet-deret sampai 8 orang (alhamdulillah)... Komitmen kewangan naik secara mendadak. 

Stress... Tersepit... Dan tak selesa...

Disebabkan tak selesa, dari tak tahu berniaga, cuba-cubalah berniaga part-time lepas waktu kerja. Dapat duit extra RM100 sebulan pun dah rasa besar sangat waktu tu. Rasa bangga bagi tahu kawan-kawan rapat betapa ‘berjaya’nya saya (dapat duit ekstra)... Kononnya boleh jadi inspirasi.

Kisah sedih jadi inspirasi bila berjaya

Pernah kena tipu ribuan ringgit... Menangis sendirian dalam toilet, mengenangkan kebodohan sendiri. Dua tahun menabung pun tak cukup nak cover balik duit yang kena tipu tu...

Walaupun Mama dan Abah cikgu sekolah di kampung (yang kewangan mereka stabil), tapi tak pernah sekalipun mengadu hidup susah. Tak pernah minta pinjam (sebab tak cukup duit).

Tak dapat balik kampung, terpaksa bagi alasan walaupun hakikatnya sebab duit tak cukup (untuk isi petrol dan bayar tol).

Diam-diam simpan tekanan kewangan yang kami lalui. Akhirnya semua terbongkar lepas keluarnya buku pertama saya, “Zero Hutang”. Mama menangis bila tahu kisah kami yang sebenar.  

Kesusahan kami selama ni, kami simpan diam-diam...

Cerita susah kita tak laku ketika kita tengah susah. Baik kita simpan kemas-kemas.  

Masa susah, kisah sedih kita dengar macam keluhan. Tapi bila kita berjaya, kisah sedih kita tu jadi inspirasi.

Bila rasa susah, tertekan dan tak terjamin, kita berjuang habis-habisan untuk keluar dari kesusahan. Akhirnya bersyukur, kesusahan itulah yang menjadikan diri kita lebih baik.

Comfort zone membantut kemajuan hidup

Saya fikir, kalau kami hidup senang lenang dulu, hari ni kami tak macam kami hari ni. Masih lagi “kais sebulan makan sebulan”. Rasa comfort walaupun sebenarnya tak comfort pun.  

Nasihat saya untuk anak-anak muda, berhijrahlah... Keluarlah dari rumah ibubapa, tinggalkan kampung halaman, dan berhijrahlah bina kehidupan kita sendiri ketika usia masih muda. 

Usia muda bukanlah waktu untuk berehat-rehat. Waktu muda itulah waktu nak explore dunia, nak rasa sendiri susah payah jatuh bangun dalam kehidupan... Itulah waktu nak serlahkan potensi sebenar diri kita.

Kemajuan hidup hanya bermula bila kita melangkah keluar dari comfort zone. Jangan biarkan diri tenggalam dalam comfort zone...

Kerana comfort zone itu akan membunuh kemajuan dan potensi sebenar diri kita...

Zulkifli
Cyberjaya
3 Januari 2024
21 Jamadil Akhir 1445H 


KEINDAHAN HIDUP PADA BERPENAT-PENATAN

“Dan tiadalah duduk setempat bagi orang cerdik dan beradab itu dianggap sebagai rehat.  

Tinggalkanlah tanah air dan mengembaralah. Berkelanalah, engkau akan dapat pengganti orang yang kamu tinggalkan.

Berusahalah, kerana keindahan hidup itu ada pada berpenat-penatan.

Aku melihat air yang tenang bertakung, mencemar kandungannya sendiri. Sekiranya ia mengalir, ia akan baik. Sekiranya tidak mengalir, ia tercemar” - Syair Imam Syafie 

“You can never achieve anything worthwhile, if you are unwilling to step out of your comfort zone.” – Robert G. Allen

“Move out of your comfort zone. You can only grow if you are willing to feel awkward and uncomfortable when you try something new.” ~ Brian Tracy

“Regardless of how comfortable you are right now in your comfort zone, you are most certainly not maximizing your potential” – Anonymous

Tentang Penulis

Mohd Zulkifli Shafie

Penulis buku bestseller; Wang Emas, dan Misi Bebas Hutang.

Menulis tentang kewangan sejak 2008. Berpengalaman membimbing lebih 7,000 penyimpan emas secara peribadi di Malaysia, Indonesia, Singapore dan Brunei sejak 2010.

Merupakan pengasas G100 Network; network terbesar dealer Public Gold (syarikat pengeluar emas terbesar di Malaysia), yang memberikan servis kepada lebih 500,000 penyimpan emas di seluruh Asia Tenggara.

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}
>