MohdZulkifli.Com

Motivasi Kewangan & Simpanan Emas

Rumah Semak, Poket Kosong : Stop Beli ‘Sampah’ Balik ke Rumah

December 2, 2024

"Papa nak hadiah apa?", tanya anak sulong saya.

"Tak perlulah... Tuhan dah bagi segalanya dah untuk Papa...", balas saya.

Saya rasa saya dah ada segala barang yang saya perlukan. 

More...

Tak banyak barang fikiran lapang

Saya sentiasa rasa resah kalau bertambah lagi barang masuk ke rumah saya. Terutamanya barang yang saya jarang gunakan atau memang tak gunakan langsung.  

Saya tak suka banyak barang menyemak dalam hidup saya.

Lebih-lebih lagi lepas bebas dari 2 tahun penjara. 

Pengalaman hidup 2 tahun dalam ruang kosong (yang tak ada barang) membuatkan fikiran rasa lapang. 

Bila balik rumah (lepas 2 tahun), otak saya rasa semak tengok barang banyak yang tak dimanfaatkan sepenuhnya. 

Bila pindah rumah, lagilah rasa terkejut terlalu banyak barang di rumah yang sekadar menyemak tapi tak digunakan! 

Rasa sungguh berdosa... 

Umur makin tua, rumah makin sempit

Kalaulah boleh pusing masa, barang banyak-banyak yang bagus-bagus tu, lebih baik saya 'simpan' sahaja di kedai.

Bila benar-benar saya perlukan, barulah 'claim' (beli) barang tu.

Saya tak nak umur saya makin tua, tapi rumah saya makin lama makin sempit sebab jadi stor barang yang tak digunakan!

Kumpul banyak-banyak barang tapi tak digunakan sampai mati! Bahkan lepas mati, waris pun tak gunakan barang-barang tu...

Rugi dan membazir!... 

Tadi (1 Oktober 2024) dalam diam-diam, isteri saya 3 beranak belikan saya 3 helai baju ni masa ke IOI City Mall tadi. 

Seorang beli satu baju untuk saya.

Beli, simpan, lupus, semua makan kos

Saya memang pakai banyak baju. Setiap program, baju kena lain-lain. Supaya saya tak confuse event mana yang saya join bila tengok balik foto (memori).

Dan baju ni selalunya lepas 2, 3 tahun dah lusuh. Kena dispose.

Bila nak dispose pulak rasa serba salah.

Nak buang, masih baik. Tapi nak pakai dah kurang cantik. Nak bagi orang rasa tak tergamak pulak... Serba salah...

Akhir sekali tersimpan dalam bungkusan bertahun-tahun tak pakai dan akhirnya terpaksa buang juga. 

Beli tu dah keluar kos. Simpan pun ada kos (makan ruang di rumah untuk simpan). Nak buang pun ada kos (kos duit dan masa nak lupuskan barang)!

Walhal kalau tak beli dari awal lagi, banyak kos yang dapat dijimatkan...

Banyak menyesal lepas beli

Bila saya renung balik sepanjang hidup lebih 40 tahun ni, banyak perkara yang saya rasa menyesal beli berbanding menyesal tak beli

Maksudnya, lepas beli rasa menyesal. Kalaulah saya tak beli, hidup saya lebih bahagia...

Kecuali barang yang nilainya makin lama makin mahal macam emas. Itu selalunya menyesal tak beli berbanding menyesal beli.

Supaya penyesalan tu tak berulang, setiap kali datang rasa ragu-ragu sejauh mana barang tu boleh bagi manfaat kepada saya dan jadikan hidup saya lebih baik, saya ambil keputusan untuk "tak beli" dan "ambil tempoh bertenang" dulu. 

Balik rumah fikir masak-masak dulu. Jangan beli on the spot!  

Ambil tempoh bertenang dulu

Sebab waktu barang ada depan mata, kita didesak oleh emosi yang kemudiannya kita justifikasikan dengan logik - untuk menyedapkan hati.

Lepas beli baru sedar barang kita beli tu sebenarnya kita tak perlukan pun dan tak tambah baik pun kehidupan kita.

Ia sekadar satu lagi barang yang menyempitkan lagi rumah kita! 

Jadi saya sentiasa ingatkan diri saya dan ahli keluarga; stop beli sampah bawa balik ke rumah!

Ia bukan sekadar baik untuk poket, tapi fikiran akan lebih lapang, hati pun lebih tenang... InsyaAllah... 

Sekadar renungan...

#TipKewanganPeribadi #TabahHadapiMusibah

Zulkifli
Cyberjaya
1 Oktober 2024
27 Rabiul Awwal 1446H

Tentang Penulis

Mohd Zulkifli Shafie

Penulis buku bestseller; Wang Emas, dan Misi Bebas Hutang.

Menulis tentang kewangan sejak 2008. Berpengalaman membimbing lebih 7,000 penyimpan emas secara peribadi di Malaysia, Indonesia, Singapore dan Brunei sejak 2010.

Merupakan pengasas G100 Network; network terbesar dealer Public Gold (syarikat pengeluar emas terbesar di Malaysia), yang memberikan servis kepada lebih 500,000 penyimpan emas di seluruh Asia Tenggara.

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}
>