MohdZulkifli.Com

Motivasi Kewangan & Simpanan Emas

Kekayaan Bukanlah Kemuliaan, Tapi Ujian Untuk Kita Bersyukur

April 28, 2025

[Kemaskini 17 Ogos 2025]

Kadang-kadang, bila hidup rasa selesa — duit cukup, rumah cantik, kereta elok, bisnes berkembang, dihormati, dan keluarga bahagia — kita mudah rasa seakan-akan itu tanda Tuhan memuliakan kita. 

Bahkan kadang-kadang kita fikir, kalau buat amalan baik sekian-sekian, maka hidup kita semuanya baik-baik sahaja. 

Padahal - belum tentu... 

Ujian susah dan senang

Sebenarnya kekayaan, kesenangan, dan segala nikmat yang Tuhan berikan bukanlah petanda kemuliaan -yang seseorang tu untuk akan masuk syurga. 

Bahkan, ia boleh jadi jerat yang paling halus, yang boleh melalaikan hati kalau kita - kalau tak berhati-hati.

Allah tak pernah janjikan jalan ke syurga itu penuh dengan kesenangan.

Sebaliknya, jalan itu dipenuhi dengan ujian demi ujian. Ada kala ujian berbentuk kesusahan, ada kala ujian berbentuk kesenangan. 

Kedua-duanya ujian. 

Ketika susah, Allah uji pada sabar.
Ketika senang, Allah uji pada syukur. 

Bahkan sebenarnya ujian syukur lebih berat dari ujian sabar.

Ujian syukur lebih berat

Ramai orang boleh bersabar (ketika susah), tapi tak ramai yang mampu benar-benar bersyukur (ketika senang). 

Ketika susah, kita sedar yang kita sedang diuji.

Tapi ketika senang, kita tak sedar yang Tuhan sedang menguji kita - untuk bersyukur. 

Terlalu banyak ayat-ayat Al-Quran yang Allah nyatakan sedikit sekali manusia yang benar-benar bersyukur. Antaranya;

"...Dan sememangnya sedikit sekali di antara hamba-hambaKu yang bersyukur."

- (Surah Saba’ 34 : 13)

Sebab itu, bila berada di puncak kesenangan, jangan sekali-kali rasa selesa. Beringat-ingatlah... 

Perbanyakkan istighfar...
Perbanyakkan doa...
Perbanyakkan buat kebaikan...

Sebab kesenangan bukan bukti Allah muliakan kita. Kesenangan tu ujian yang berat. 

Peringatan yang menggerunkan hati  

Ujian tu untuk Tuhan tengok — adakah kita masih ingat dan taat pada Dia, atau mula lupa diri? 

Ada satu ayat al-Quran yang sentiasa buat saya gerun dan resah setiap kali rasa senang dan selesa; 

Allah berfirman: 

Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepada kamu (cubaan) seperti yang telah menimpa orang-orang yang terdahulu sebelum kamu? 

Mereka telah ditimpa kepapaan dan kesengsaraan serta digoncangkan (dengan berbagai-bagai dugaan) sehingga Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya berkata:

"Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?"

Ketahuilah, sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat.” 

- (Surah Al-Baqarah 2 : 214)

Ayat ini sungguh menyentak hati saya.

Allah sedang ingatkan kita: jalan ke syurga bukan mudah. Ia penuh dengan ranjau, keringat, air mata, bahkan mungkin pengorbanan darah dan nyawa!

Kalau kita benar-benar nak masuk syurga, kita kena hadap ujian-ujian ni. 

Nabi s.a.w. diuji sampai mati 

Kalau Nabi s.a.w. yang Tuhan sayang pun diberikan ujian demi ujian sampai ke akhir hayat baginda, maka apakah kita rasa kita boleh masuk syurga dalam keadaan senang dan selesa? 

"Ampunkanlah kami ya Allah..." 

Jadi, bila tengah berada di kemuncak kesenangan — kaya, berkuasa, dihormati — jangan pernah lupa... Itu semua bukan tanda Tuhan memuliakan kita. Ia hanyalah ujian... 

Ujian sama ada kita jadi hamba-Nya yang benar-benar bersyukur, ataupun kufur (dengan nikmat tersebut).

Syukur bukan sekadar lafaz “Alhamdulillah.”, tapi juga dengan perbuatan - berbuat kebaikan dengan nikmat yang Tuhan beri. 

Gunakan nikmat yang Tuhan kurniakan untuk berbuat baik sesama manusia, sebagaimana Tuhan berbuat baik kepada kita...

...Dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu...”

- (Surah Al-Qasas 28 : 77)

Ada harta, buat kebaikan dengan harta. Ada kuasa, gunakan kuasa dengan penuh rasa takut kepada Tuhan. Yang ada ilmu, berbuatlah kebaikan dengan ilmu.

Pendek kata, gunakan segala nikmat tu untuk berbuat kebaikan yang Tuhan redha. 

Selagi hidup kita sentiasa diuji 

Moga Allah pimpin hati kita supaya setiap kesenangan jadi jalan untuk tambah amal kebaikan, bukan membuatkan kita semakin leka. 

Dan moga setiap kali hati rasa selesa, kita cepat-cepat beristighfar — takut-takut kita sedang lalai daripada hakikat sebenar:

Bahawa kekayaan bukanlah kemuliaan. Ia hanyalah ujian, untuk lihat sama ada kita benar-benar bersyukur ataupun kufur. 

Adapun manusia, apabila Tuhannya mengujinya lalu dimuliakan-Nya serta diberi-Nya kesenangan, maka dia berkata: ‘Tuhanku telah memuliakan aku.’

Tetapi apabila Tuhannya mengujinya lalu membataskan rezekinya, maka dia berkata: ‘Tuhanku telah menghinakan aku.

Sekali-kali tidak (bukan begitu sebenarnya)!”

- (Surah Al-Fajr 89 : 15–17)

#IslahDiri

Zulkifli
Cyberjaya
26 April 2025
27 Syawal 1446H

Tentang Penulis

Mohd Zulkifli Shafie

Penulis buku bestseller; Wang Emas, dan Misi Bebas Hutang.

Menulis tentang kewangan sejak 2008. Berpengalaman membimbing lebih 9,000 penyimpan emas secara peribadi di Malaysia, Indonesia, Singapore dan Brunei sejak 2010.

Merupakan pengasas G100 Network; network terbesar dealer Public Gold (syarikat pengeluar emas terbesar di Malaysia), yang memberikan servis kepada lebih 800,000 penyimpan emas di seluruh Asia Tenggara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}