Jadi baik sahaja tak cukup, tapi kena bijak.
Baik dan bijak. Barulah tak mudah dipijak-pijak.
Saya terbaca satu posting daripada Nam Ron (pelakon). Dia tulis cerita rekaan; macam mana orang kaya boleh jadi semakin kaya...
Bukan sebab kerja keras atau pelaburan bijak... Tapi sebab pandai scam orang. Dia “main” undang-undang untuk pijak orang lain.
More...
Kisah scam guna undang-undang
Ceritanya begini...
Kononnya dia (dalam cerita tu) nak cat rumah banglo. Dia cari orang yang tengah terdesak cari kerja, tawarkan job mengecat.
Semua nampak baik di permulaan — siap jamu sirap, makan karipap, buat lawak lagi - untuk dapatkan kepercayaan. Bila dah percaya, baru suruh sign kontrak.
Kontrak tu dalam bahasa Inggeris, penuh syarat yang rumit - macam kebanyakan kontrak.
Dalam cerita tu, tukang cat tu tak faham sangat bahasa kontrak dan tak baca pun. Tapi sebab percaya, dia pun tandatangan - masuk perangkap!
Syaratnya, kalau tak siap 5 lapis cat dalam masa 7 hari, dia tak perlu bayar.
Akhirnya bila kerja tertangguh sehari sebab cuaca, terus dianggap langgar kontrak. Bukan saja tak dapat upah, malah kena saman!
Hujung cerita — tuan rumah bukan saja dapat cat banglo percuma, tapi dapat pula pampasan 1 juta!
Orang baik sentiasa bersangka baik
Walaupun cerita tu rekaan, ia sebenarnya gambarkan realiti yang biasa terjadi... Memang ada orang yang licik macam tu.
Secara peribadi, saya tak pernah jumpa orang kaya jahat macam tu. Bahkan saya percaya kebanyakan orang kaya adalah orang yang baik-baik.
Banyak orang dapat manfaat daripada dia. Sebab tu lah dia kaya.
Tapi orang jahat begini memang wujud. Kebanyakan scammer memang licik macam ni.
Dia gunakan perjanjian dan undang-undang untuk perdaya mangsa-mangsa dia. Dari sudut undang-undang dia tak salah. Sebab tu lah banyak scammer masih lagi berleluasa.
Mangsa mereka ialah orang baik yang tak bijak.
Orang baik sentiasa fikir orang lain pun baik macam dia.
Dia fikir orang lain tak akan buat jahat. Bahkan dia tak pernah fikir ada orang sejahat itu.
Itulah sebab dia mudah kena tipu...
Pengalaman hidup mengajar saya; semua orang tak boleh percaya, kecuali dibuktikan sebaliknya - berdasarkan pengalaman saya berurusan dengan dia.
Semua orang tak dipercayai, kecuali...
Berpakaian nampak baik, belum tentu baik.
Nampak pergi ke masjid, belum tentu baik.
Pergi umrah dan haji berkali-kali pun belum tentu baik!
Bila bertransaksi dengan dia, kita mula kenal dia tu macam mana. Kalau dia tak jujur dalam perkara kecil, jangan expect dia akan jujur dalam perkara besar.
Kalau dia tak takut buat dosa dengan Tuhan, jangan expect dia akan takut buat salah sesama manusia!...
Sebab banyak orang cuma baik bukan sebab dia baik. Tapi dia tak berpeluang buat jahat - tanpa tertangkap ataupun terkantoi!
Bila dia yakin dia tak tertangkap ataupun terkantoi, masa tu kejahatan dia akan mula terserlah... Nampaklah belang dia yang sebenar...
Supaya tak mudah jadi mangsa, jangan mudah percaya sesiapa.
Baik dan bijak, rahmat buat dunia
Jadi baik sahaja tak cukup, tapi kena bijak.
Orang baik akan mudah jadi mangsa. Orang yang sekadar bijak, dia cenderung jadi pemangsa.
Tapi orang baik dan bijak, dia tak akan ambil kesempatan atas orang lain. Bahkan dia gunakan kebijaksanaan untuk berikan kebaikan dan melindungi orang lain.
Dia akan jadi rahmat buat dunia...
Dunia akan lebih aman dan sejahtera di tangan orang baik dan bijak itu... InsyaAllah...
"Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amalannya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): Bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi PengetahuanNya akan segala yang kamu lakukan."
Zulkifli
Cyberjaya
11 Ogos 2025
16 Safar 1447H
Coretan FB berkaitan:
- “Dunia ni penuh dengan orang jahat. Jadi, kita kena jadi baik dan bijak. Kalau tak, kita akan jadi mangsa.” - FB Zareen Naqiyah (2025)
Artikel berkaitan:
- Masalah Orang Baik-baik, Jangan Terlalu Baik Sampai Dikhianati
- Jangan Sesekali Give-up Untuk Berbuat Baik
- Fokus Buat Baik, Duit Datang Menyerah Diri
- Kompeten Lagi Berintegriti, Pra-syarat Memilih Pekerja Mahupun Pemimpin
- Pakar Lagi Amanah, Kunci Job Servis Aircond Tak Pernah Putus
- Fitrah Manusia Baik, Hidup Kita Tenang Bila Buat Kebaikan