MohdZulkifli.Com

Motivasi Kewangan & Simpanan Emas

Beruntungnya Kita Masih Ada Raja — Benteng Terakhir Negara Daripada Huru-Hara

November 17, 2025

Beberapa tahun lepas saya pernah dijemput ke satu perhimpunan raja-raja di Indonesia.

Yang buat saya terkejut — raja-raja mereka siap beratur sambut kehadiran Gabenor - pemimpin politik!

Eh, pelik kan?

Kalau di Malaysia, pemimpin politik lah yang tunggu ketibaan Raja-Raja, bukan sebaliknya...

Dari situ baru saya nampak betul-betul beza sistem kita dengan negara jiran.

Di Indonesia, raja bawah orang politik. Tapi di Malaysia, orang politik kena tunduk kepada raja. Maknanya, raja ada kuasa pemutus.

Dan sebab itulah kita sebenarnya beruntung sangat sebab masih ada raja. 

More...

Raja bukan sekadar simbol 

Ramai orang tak perasan — antara nikmat besar Allah bagi pada rakyat Malaysia ni, ialah kita masih ada Raja dan Sultan yang jadi payung negara.

Ya, Raja pun manusia biasa. Tak sempurna. Ada silap, ada kurang. Tapi hikmah besar di sebalik kewujudan Raja itulah yang buat negara ni aman, stabil dan makmur.

Cuba tengok negara yang tak ada Raja — bila politik bergolak, rakyat pun ikut bergaduh. 

🔥 Bila parti bertukar, bangunan terbakar. 

🔥 Bila pemimpin jatuh, nyawa pun melayang. 

Tapi kita kat Malaysia ni, alhamdulillah, walau politik gaduh macam mana pun, masih ada sempadan yang orang tak berani langgar — iaitu Raja dan Sultan. 

Raja ni penimbang tara, bukan ahli politik

Dalam sistem kita, Raja duduk atas politik.

Bila orang politik bergaduh, Raja yang tenangkan. Bila kerajaan bertukar, Raja yang jaga kestabilan. Bila rakyat berselisih, Raja tempat kita berlindung.

Pendek kata, selagi rakyat hormat Raja, negara ni akan kekal aman. 

Sebab Raja tu lambang perpaduan, lambang sejarah, dan lambang Islam di negeri masing-masing. 

Aib Raja bukan bahan lawak

Yang jadi masalah sekarang — bila ada pihak yang cuba buka aib Raja kat media sosial.

Kadang-kadang bukan cerita betul pun. Hanya potongan video, gosip separuh jalan, atau khabar angin yang disebar untuk nampak “berani”.

Kena ingat... Kita semua ada aib. Kalau Allah buka aib masing-masing, mungkin kita sendiri tak sanggup nak keluar rumah.

Aib mak ayah pun kita tak jaja, apatah lagi aib Raja — ketua negeri yang jadi payung rakyat.

Bila aib Raja disebar, bukan saja imej baginda yang tercalar, tapi maruah institusi Raja pun rosak.

Dan bila rakyat hilang hormat pada Raja, hilanglah benteng terakhir kestabilan negara. 

Kalau hilang hormat, rakyat yang rugi

Bila rakyat dah tak hormat Raja: 

🔥 Politik jadi tunggang-langgang,
🔥 Rakyat mula kurang ajar dengan pemerintah,
🔥 Keamanan boleh hilang bila-bila masa,
🔥 Pelabur luar lari sebab takut tak stabil,
🔥 Akhirnya, yang rugi bukan Raja... tapi kita, rakyat sendiri. 

Raja bukan maksum, tapi sistem Raja itulah yang jaga keseimbangan.

Selagi Raja dihormati, negara ni akan terus aman, ekonomi jalan, kerja ada, dan kadar jenayah pun rendah. 

Undang-undang pun tegas

Nabi s.a.w suruh kita tutup aib orang.

Undang-undang Malaysia pun sama — tegas lindungi institusi Raja.

Dah banyak kes kita tengok — orang yang hina atau burukkan Raja, kena penjara. Bukan yang post je, yang share, like, atau komen menyokong pun boleh kena siasat.

Jadi kalau nampak posting yang mengaibkan Raja — jangan sentuh, jangan kongsi, jangan tambah dosa. 

Raja pun manusia biasa

Raja ni simbol perpaduan, keamanan, dan kestabilan.

Selagi rakyat hormat Raja, insya-Allah Allah pelihara negara ni daripada huru-hara.

Tapi kalau kita terikut-ikut dengan golongan yang cuba hilangkan rasa hormat tu, masa depan anak cucu kitalah yang bakal tanggung akibatnya. 

Kalau nampak orang buka aib Raja — diam lebih baik daripada ikut menyebarkan.

Sebab Nabi s.a.w. pesan, siapa tutup aib orang lain, Allah akan tutup aib dia di dunia dan di akhirat.

Dan kalau tak boleh bayang macam mana azab neraka, cukuplah penjara dunia jadi peringatan. 

Saya pernah rasa sendiri — 4 kali beraya dalam penjara tanpa anak dan isteri di sisi.

Ancama penjara - neraka dunia!

Percayalah... itu dah cukup buat saya faham, macam mana rasa “neraka dunia” sebelum neraka yang sebenar. Moga Allah lindungi kita semua.

Saya bukan orang politik dan bukan juga orang istana.

Saya cuma rakyat biasa yang sayang negara. Bila saya faham bagaimana fungsi raja pada kesejahteraan rakyat, saya bersyukur sebab kita rakyat Malaysia masih ada Raja.

Alhamdulillah...

P/s - foto majlis makan malam di perhimpunan raja-raja seluruh Indonesia. Saya dijemput sebagai tetamu.

#MalaysiaSejahtera
#TabahHadapiMusibah

Zulkifli
Cyberjaya
4 November 2025
13 Jamadil Awwal 1447H

Tentang Penulis

Mohd Zulkifli Shafie

Penulis buku bestseller; Wang Emas, dan Misi Bebas Hutang.

Menulis tentang kewangan sejak 2008. Berpengalaman membimbing lebih 9,000 penyimpan emas secara peribadi di Malaysia, Indonesia, Singapore dan Brunei sejak 2010.

Merupakan pengasas G100 Network; network terbesar dealer Public Gold (syarikat pengeluar emas terbesar di Malaysia), yang memberikan servis kepada lebih 800,000 penyimpan emas di seluruh Asia Tenggara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}