MohdZulkifli.Com

Motivasi Kewangan & Simpanan Emas

Besarkan Anak-Anak: Ikat Hati Dia, Bukan Jasad Dia

December 29, 2025

Anak yang dibesarkan dengan marah-marah... 
dia mungkin nampak baik di depan kita. Tapi di belakang kita, dia akan jadi diri dia yang sebenar. 

Ini yang saya perhatikan dalam membesarkan 8 orang anak; 5 anak dah usia remaja, 3 masih kanak-kanak. 

Lagi-lagi bila anak-anak mula masuk fasa remaja — fasa di mana mereka mula fikir sendiri... mula rasa besar... mula nak tentukan hidup sendiri... 

Walaupun anak-anak ni satu rezeki yang menceriakan hidup kita. Tapi dalam masa sama, mereka juga adalah ujian besar dalam hidup kita. 

Ujian anak kecil vs remaja

Masa mereka kecil, ujiannya senang nampak...

Tak cukup tidur... Bangun buat susu tengah malam... Anak menangis tak tahu sebab apa... Tilam basah setiap hari... 

Badan kita penat... Esok pagi pula nak pergi kerja.
Itu ujian masa anak kecil.

Tapi bila dah besar, ujiannya lain...

Kita mula risau dia kawan dengan siapa.
Kita takut dia terpengaruh dengan benda tak baik.
Kita takut dia balik lambat...  atau tak balik.

Badan tak letih macam dulu, tapi otak dan emosi kita pulak letih.

Masa dia kecil, kita boleh kawal segalanya. Tapi bila remaja... itulah masa kita sedar - kita tak boleh kawal dia 100% lagi.

Yang boleh kawal dia hanyalah ikatan hati dia dengan kita.

Anak remaja buat pilihan sendiri

Anak-anak ni, kita boleh larang, kita boleh ugut, kita boleh marah... Tapi sebenarnya kita cuma boleh kawal jasad dia, bukan hati dia...

Kalau selama ni dia patuh sebab takut kita, bukan sebab dia sendiri nak... 

Nanti bila masuk remaja, barulah kita nampak wajah sebenar dia. Dia akan pilih jalan hidup dia sendiri.

Dan masa itulah kita mula sedar... 

Marah-marah kita selama ni tak pernah berjaya mengubah hati dia. Ia cuma menekan — tapi tak pernah membentuk peribadi dia jadi lebih baik!

Jadi apa yang patut kita buat sebelum terlambat?

Belajar pegang hati anak-anak

Saya nampak cuma satu, iaitu PEGANG HATI DIA... 

👉🏻 Bagi dia nasihat yang baik. 
👉🏻 Bagi dia rasa disayangi. 
👉🏻 Bagi dia rasa dihormati. 
👉🏻 Bagi dia rasa suara dia didengari.

Kalau kita masih layan dia macam budak — boleh dibentak, boleh dipaksa, boleh dimarahi bila-bila... 

Jangan terkejut kalau satu hari nanti dia pilih dengar cakap kawan-kawan dia lebih daripada kita!

Sebab kawan-kawan lebih cool... lebih sporting... lebih memahami... 

Kalau itu berlaku, anak kita dalam bahaya. Yang membentuk hidup dia bukan lagi kita, tapi kawan-kawan dia.

Kalau dia dapat kawan baik — alhamdulillah. Tapi kalau dia dapat kawan yang tak baik... dia dalam bahaya! 

Selamatkan dia sebelum terlambat

Jalan selamatnya, kita kena jadi kawan yang dia paling percaya. 

Kita kena cepat-cepat jadi orang yang dia rasa paling selamat untuk bercerita. Jadi tempat yang dia datang dulu bila dia takut, malu atau tersilap. 

Sampai dia boleh cerita: 

“Papa, Mama... saya suka seseorang... ” 

“Papa, Mama... saya takut saya dah buat silap... ” 

“Papa, Mama... saya nak dapatkan nasihat dan pandangan...”

Bila tu berlaku, itu tanda dia selamat. Sebab dia pilih kita — bukan orang luar — untuk dia percaya...

3 perubahan besar saya dengan anak-anak

Untuk selamatkan anak-anak saya, ini perubahan yang saya buat pada diri saya.

1️⃣ Lazimkan peluk anak-anak — walaupun dah remaja

Kami suami isteri peluk anak-anak hampir setiap hari.

Saya perasan bila selalu peluk:

✅ hubungan jadi rapat
✅ hati jadi lembut
✅ tegang jadi reda

Bila hati dah dekat, cakap perlahan-lahan pun mereka mudah dengar. Tak perlu jerit-jerit.

2️⃣ Layan mereka macam orang dewasa

Anak remaja bukan tempat lepaskan marah. Dia pun manusia macam kita — nak dihormati, nak didengar, nak disayangi.

Kalau kita hormat orang dewasa lain, kita kena belajar hormat anak sendiri.

Kalau nak marah, tahan dulu...
Sabar dulu...
Bincang dulu... 

Kadang kita kena buang ego kita sendiri sebagai ayah ataupun ibu. Jangan cepat nak hukum “anak derhaka” kalau mereka tak dengar cakap kita...

3️⃣ Jaga tingkah laku kita 

Ini yang paling besar kesannya. 

Saya perasan:
👉🏻 anak-anak mungkin tak dengar cakap kita, tapi dia tak pernah gagal tiru PERANGAI kita!

Kalau kita kasar, dia belajar kasar.
Kalau kita lembut, dia belajar lembut.
Kalau kita sabar, dia belajar sabar.

Kita adalah master copy yang dia akan tiru tanpa gagal!

Jadi sentiasalah perbaiki tingkahlaku kita... Ia akan jadi contoh ikutan bagi anak-anak tanpa kita sedar...

Semakin besar, semakin hilang kawalan 

Hakikat yang kita kena sedar, semakin anak membesar, semakin hilang kuasa kita untuk kawal hidup mereka.

Yang tinggal hanyalah hati mereka yang terikat pada kita.

Kalau hati tu terikat dengan kasih sayang, dia akan selamat.

Tapi kalau hati tu terikat dengan orang lain, dia boleh hanyut bila-bila masa.

Akhirnya kita akan sedar yang kita tak mampu kawal anak-anak kita. Kita perlukan super power untuk jaga mereka... Kita perlukan Tuhan... 

Kudrat kita terlalu kecil. Kita tak mampu jaga anak setiap masa. 

Sebagai ibubapa, jangan putus berdoa buat anak-anak. Sebagaimana doa yang Allah sendiri rakamkan dalam Al-Quran;

“Wahai Tuhan kami, kurniakanlah kepada kami pasangan dan zuriat sebagai penyejuk mata, dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang bertaqwa.”

— (Surah Al-Furqan, 25 : 74

“Wahai Tuhanku, jadikanlah aku orang yang mendirikan solat, dan demikian juga anak cucuku. Ya Tuhan kami, perkenankanlah doaku.

Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan” 

— (Surah Ibrahim, 14 : 40

#TipIbubapa

Zulkifli 

Cyberjaya 

13 November 2025 

22 Jamadil Awal 1447H

Tentang Penulis

Mohd Zulkifli Shafie

Penulis buku bestseller; Wang Emas, dan Misi Bebas Hutang.

Menulis tentang kewangan sejak 2008. Berpengalaman membimbing lebih 9,000 penyimpan emas secara peribadi di Malaysia, Indonesia, Singapore dan Brunei sejak 2010.

Merupakan pengasas G100 Network; network terbesar dealer Public Gold (syarikat pengeluar emas terbesar di Malaysia), yang memberikan servis kepada lebih 800,000 penyimpan emas di seluruh Asia Tenggara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}