“Bila bisnes semakin bagus, mulalah berlaku konflik. Dulu sibuk berbisnes, sekarang sibuk berpolitik (dalam bisnes).”
Jujurnya, saya memang tak suka berpolitik.
Tapi hakikatnya, dalam dunia bisnes pun ada politiknya — suka atau tidak.
Dalam dunia bisnes, khususnya network marketing, satu perkara yang hampir pasti akan berlaku bila team makin membesar ialah:
Konflik antara mentor dan mentee.
Konflik antara leader lama dan leader baru yang sedang naik.
Konflik ni bukan tanda bisnes rosak. Sebaliknya, ia adalah proses kematangan organisasi.
More...
Persoalan paling penting, macam mana konflik tu diuruskan.
Kalau tak diurus dengan baik, hubungan akan retak... organisasi akan berpecah-belah... fokus akan terganggu... malah prestasi bisnes boleh jatuh!...
Menariknya, pergaduhan jarang berlaku masa bisnes tengah suram.
Ia selalunya berlaku masa bisnes tengah naik!
Konflik mengganggu fokus
Dah hampir 20 tahun saya berada dalam dunia bisnes network marketing. Daripada zaman Amway, sehinggalah Public Gold.
Saya dah tengok banyak organisasi berpecah-belah. Dan ada beberapa organisasi berkembang dengan harmoni merentasi benua!
Walaupun begitu saya boleh katakan; konflik ni agak susah dielakkan. Sebab ia bermain dengan emosi, ego dan perasaan.
Bezanya cuma, macam mana nak urus konflik tanpa rosakkan hubungan, tanpa gadaikan prinsip, amanah dan ketegasan...
Sebenarnya, konflik ni biasanya berlaku dalam dua bentuk.
Murid yang mudah lupa diri
Bila naik cepat, ego mendahului adab.
Yang ini, insyaAllah saya bincangkan dalam artikel lain.
Guru yang rasa tercabar
Ini fokus artikel kali ni.
Iaitu bila murid mula:
- Buat sales lebih besar dan konsisten
- Ada idea yang lebih segar
- Pandai bina sistem sendiri
- Lebih dipercayai oleh team
Walaupun tak ada niat tak baik, berlaku situasi yang mencabar ego guru tanpa sedar.
Di sinilah konflik bermula...
Masa tu, “prinsip” mula bercampur dengan perasaan. Malah, teguran dan cadangan dirasakan sebagai ancaman!
Kalau tak ditangani dengan baik, hubungan guru–murid akan rosak, dan organisasi mula berpecah-belahh dan menjadi lemah.
Ibarat konflik dengan ibubapa
Konflik dengan guru kita, ibarat konflik dengan ibu bapa kita sendiri.
Kurang macam mana pun ibu bapa kita, dia tetap ibubapa kita. Tindakan kita jangan sampai mereka tak mengaku kita sebagai anak.
Begitu juga dalam bisnes.
Dalam network marketing, kita boleh ada beribu-ribu downline.
Kita boleh tambah downline lagi dan lagi.
Kita boleh “buang” sesiapa sahaja yang kita tak suka.
Tapi hakikatnya, kita cuma ada SATU sahaja jalur upline yang akan jadi 'tali hayat' bisnes kita. Dan jalur itu akan kekal sampai mati.
Sebab tu; kita boleh bertegas pada prinsip... kita boleh berbeza pandangan... Dan kita boleh memilih haluan sendiri...
Tapi adab dengan guru mesti dijaga.
Jangan sampai kerana emosi dan ego, kita putuskan 'talian hayat' kita. Ia hubungan yang tak boleh diganti dengan apa-apa sekali pun.
Berbeza, tapi kekalkan hubungan baik
Sebagai murid yang perform, kita berada dalam dilema...
Kita nampak kekurangan yang menghalang growth... Kita ada idea dan strategi yang lebih baik...
Tapi dalam masa sama, bermain konflik dalam kepala:
“Kalau aku tegur, nanti mentor terasa…”
“Kalau aku buat cara sendiri, nanti nampak melawan…”
“Kalau aku ikut walaupun tak setuju, hati aku tak tenang…”
Lebih-lebih lagi bila isu melibatkan prinsip, amanah dan tanggungjawab.
Biasanya, kita ada tiga pilihan:
Diam dan telan
Perbetulkan dengan diplomasi
Berundur dengan adab dan prinsip
Pilihan pertama dan kedua nampak lebih mudah. Tapi kalau guru kita egonya tinggi, ia akan makan dalam dan akan menyeksa kita dalam jangka panjang.
Bahkan mungkin growth kita akan terbantut!
Pilihan ketiga paling susah, tapi paling selamat untuk jangka panjang.
Kekal, berbincang atau berundur
Kalau masih ada ruang perbincangan, pilih masa yang sesuai... bincanglah secara tertutup... dan gunakanlah bahasa yang baik...
Tak perlulah sindir secara umum, buka aib sesiapa, atau membanding-bandingkan secara terbuka.
Kita boleh bertegas dengan prinsip. Tapi cara mesti beradab.
Tapi kalau ruang diskusi tertutup rapat... setiap cadangan dianggap ancaman... ego mengatasi amanah... Maka tiada pilihan lain selain berundur dengan hormat dan beradab.
Kadang-kadang, jalan terbaik selesaikan konflik bukan dengan berdebat, tapi bawa haluan sendiri dengan matang dan beradab.
Tak perlu umum konflik.
Tak perlu cerita siapa salah.
Fokus bina sistem sendiri. Dan kekal hormat guru lama.
Berpisah secara baik, lebih banyak kesan positif daripada bertelagah kerana ego.
Peringatan buat guru dan founder
Sebagai guru dan founder kepada network besar dealer Public Gold, ini yang saya sentiasa ingatkan diri sendiri:
PERTAMA, jangan takut murid lebih hebat.
Saya memang nak murid-murid saya lebih hebat daripada saya.
Kalau saya seorang sahaja yang paling hebat, semuanya saya kena pikul seorang diri... beban jadi makin berat...
Sebaliknya bila ramai orang hebat bersama kita, bahu kita jadi lebih ringan... organisasi jadi lebih kuat...
KEDUA Jangan guna “status guru” (atau upline) untuk tutup perbincangan.
Jangan mudah guna “kuasa veto” dalam buat keputusan.
Sebaliknya, sentiasalah buka ruang diskusi... galakkan perbincangan dalam buat sesuatu keputusan... dan jemput sekali murid yang perform untuk beri pandangan...
Sebab keputusan paling hampir pada yang tepat lahir daripada musyawarah (perbincangan). Ia hasil daripada banyak otak yang sama-sama berfikir...
Kembali kepada musyawarah
Akhirnya, kita semua kena ingat; kita berniaga untuk cari rezeki, bukan untuk beradu ego atau berpolitik.
Tak guna hubungan tegang yang akhirnya mengganggu fokus dan pertumbuhan kita dalam bisnes.
Bila nampak konflik bakal berlaku, ketepikan ego masing-masing... berbincang dalam ruang tertutup... dan bersikap terbuka dan beradab...
Walaupun Nabi s.a.w. diberikan wahyu, baginda sendiri ajar kita bahawa keputusan terbaik lahir daripada perbincangan, bukan paksaan.
Tapi kalau ruang tu dah tertutup, lebih baik bawa haluan masing-masing dengan cara yang paling tenang.
Mudah-mudahan kita mampu jadi murid yang beradab... Guru yang humble dan terbuka... Dan pemimpin yang menjaga amanah, bukan ego. Amin...
Allahu a'lam.
“...dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat antara mereka...”
- (Surah Ash-Shura, 42 : 38)
“...dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan itu...”
- (Surah Ali ‘Imran, 3 : 159)

