MohdZulkifli.Com

Motivasi Kewangan & Simpanan Emas

Dalam Kesunyian Penjara, Allah Hadiahkan Saya Al-Quran

January 2, 2026

Kalau orang tanya saya, 
apa nikmat paling besar yang saya dapat sepanjang 2 tahun dalam penjara?

Jawapan jujur saya sangat ringkas.

👉🏻 Dapat berteman dengan Al-Quran.

Itulah nikmat terbesar yang Allah hadiahkan kepada saya sepanjang 24 bulan tu.

Dalam penjara, masa jadi sangat panjang...
Sunyi dan sepi...

Dan itulah ruang yang Allah buka untuk saya kembali berteman dengan Al-Quran.

Hari demi hari, saya baca 1 juzuk sehari, selama 733 hari... 

More...

Hadiah paling mahal

Dalam tempoh tu,

  • Saya khatam bacaan Al-Quran lebih 24 kali
  • Saya khatam terjemahan Al-Quran lebih 12 kali

Alhamdulillah... Baru saya sedar, selama ni bukan tak ada masa... cuma kita tak pernah betul-betul beri masa kepada Al-Quran.

Bila ada ruang... bila tak dikejar dunia... bila tak sibuk kejar urusan dunia yang tak habis-habis... ayat-ayat Al-Quran tu lain rasanya.

Masuk perlahan-lahan... menyentuh satu demi satu di sudut hati.

Saya bukan sekadar baca.
Saya cuba faham.
Saya selak terjemahan.
Saya baca hadis-hadis berkaitan.
Saya cuba fahami kenapa ayat ini diturunkan

Dan nikmat paling besar Allah bagi saya... 

Saya dapat bertalaqqi Al-Quran sampai khatam 30 juzuk...

Berdepan dengan seorang guru bertauliah dan juga seorang hafiz Al-Quran — Ustaz Junaidi Omar Al-Hafiz.

Beliau bukan sekadar hafiz. Beliau bekas Mudir Maahad Tahfiz.

Bagi saya, inilah hadiah paling mahal Allah beri sepanjang saya dipenjarakan. 

Niat yang dah terbuku lama

Sejujurnya, dah lama saya simpan niat nak belajar Al-Quran dengan guru yang betul-betul bertauliah...

Orang sekeliling kata bacaan saya “ok”. Tapi dalam hati saya tahu... ada sesuatu yang tak cukup.

Selama ni, bacaan saya tak pernah disemak oleh guru Al-Quran.

Kali terakhir saya mengaji depan guru ialah waktu kecil - dengan Mama dan Abah sendiri.

Sebab tu, bila sampai giliran nak ajar anak-anak mengaji, saya rasa ragu dengan diri sendiri.

Kalau master copy pun tak pernah disemak, macam mana pula nak hasilkan duplicate copy yang betul?

Masuk penjara... itulah pertama kali saya duduk betul-betul depan guru Al-Quran.

Berpeluh juga masa mula-mula...

Baca seorang diri, rasa macam sedap. Rasa macam bacaan dah cantik.

Tapi bila baca depan guru... Allah... rupanya banyak yang perlu diperbetulkan.

Di situlah saya belajar erti rendah diri.
Di situlah saya sedar, apa pun ilmu tak boleh dipelajari dengan rasa “aku dah pandai”.

Sampai hari ini pun, saya masih rujuk Ustaz Junaidi. Beliau bukan sekadar guru masa dalam penjara — beliau guru penting yang berikan kesan besar dalam hidup saya.

Hikmah di sebalik musibah

Owh ya... Ustaz Junaidi bukanlah guru yang bekerja dengan pihak penjara. Tapi Ustaz Junaidi juga sebenarnya senasib dengan saya!

Kami berdua dipenjarakan kerana bersedekah.

Kami berdua buat dengan niat baik.

Tapi kami berdua naif tentang undang-undang.

Saya dipenjarakan 2 tahun.
Ustaz Junaidi 3 tahun 4 bulan.

Bila dah terangkap di situ, barulah kami sedar... tak semua manusia hargai niat baik kita. 

Ibaratnya kita tengok orang jatuh motorsikal tepi jalan...

Atas dasar simpati, kita pun parkir kenderaan kita tepi jalan hanya semata-mata nak tolong orang tu... 

Sebaik sahaja orang tu dapat bangun dan berlalu pergi, tiba-tiba baru sampai penguatkuasa nak saman kita atas kesalahan parkir di tempat bukan sepatutnya! 

Walaupun jelas menunjukkan baru saja ada kesan kemalangan di situ, tapi dia tak peduli... KPI dia hari ni ialah nak selesaikan tugas dia keluarkan saman! 

Begitulah yang saya fikir nasib menimpa kami...

Tapi kami yakin, Allah Maha Faham....

Kami percaya, takdir ni bukan sekadar hukuman untuk Allah hapuskan dosa-dosa kami... tapi cara Allah mendidik dan menyusun semula hidup kami... Dan mengangkat darjat kami... 

Jutawan dunia akhirat

Selepas lebih 7 bulan saya belajar Al-Quran dengan Ustaz sampai khatam, kami buka pula satu halaqah lain — Halaqah Jutawan.

Saya ajar Ustaz dan beberapa murid beliau tentang kewangan. Tentang bagaimana membina harta RM1 juta pertama selepas bebas. 

Saya tunjukkan roadmap bina kekayaan RM1 juta pertama dalam masa 5 tahun lepas dibebaskan. 

MasyaAllah... Sungguh indah bila difikirkan...

Seorang guru Al-Quran mengajar saya ayat-ayat Allah. Dan saya pula mengajar beliau urusan dunia.

Kami sama-sama bercita-cita jadi orang kaya yang bertaqwa. Orang kaya yang benar-benar menjadi rahmat buat masyarakat... InsyaAllah...

Saya ada impian
— 1 juta rakyat Malaysia celik kewangan.

Ustaz ada impian
— 1 juta rakyat Malaysia celik Al-Quran.

Bukan sekadar pandai baca, tapi melahirkan ramai guru Al-Quran yang betul-betul bertauliah - macam Ustaz.

Bermula kecil, tapi ikhlas

Ustaz bebas 35 hari lebih awal daripada saya.
25 September 2020.

Sebaik sahaja bebas, Ustaz terus sambung balik kerjaya beliau, iaitu mengajar Al-Quran secara bertalaqqi — walaupun hanya melalui telefon.

Kecil... Simple... Tapi ikhlas.

Bila saya pula bebas, saya tak tunggu lama.

Saya terus tempah slot untuk anak-anak saya.
Sebelum kelas penuh.
Sebelum peluang terlepas.

Hari ni, 5 orang anak-anak saya belajar mengaji dengan Ustaz dari rumah.

Setiap minggu, 2 sesi. 30 minit setiap sesi.

Yuran?
RM100 sebulan seorang.

Bagi saya... itu bukan mahal. Itu rezeki besar.

Peluang belajar one-to-one.
Hanya dari rumah (online)...
Dengan guru bertauliah...
Dengan hafiz Al-Quran... 

Mana nak cari lagi peluang macam ni? 

Bermula Dengan Usaha Kecil

Ustaz pesan pada saya, buat masa ni beliau hanya mampu terima beberapa orang pelajar sahaja lagi.

Beliau ajar seorang demi seorang.
Bukan kelas ramai-ramai.

Dan saya nak tinggalkan satu pesanan penting...

Sebelum kita hantar anak mengaji, kita dulu yang duduk mengaji.

Anak-anak tak ikut apa yang kita cakap. Tapi anak-anak ikut apa yang kita buat (yang mereka nampak).

Bila kita sendiri dekat dengan Al-Quran, insyaAllah anak-anak akan ikut perlahan-lahan.

Moga Allah pilih kita dan ahli keluarga kita jadi sebahagian daripada kejayaan #Misi1jutaCelikAlQuran. Amiin...

Owh ya, selain mengajar mengaji, Ustaz Junaidi dan isterinya Dr Atikah Zaaba adalah dealer Public Gold di bawah #PGG100Network. Alhamdulillah...

#TabahHadapiMusibah

Zulkifli 

Cyberjaya 

19 December 2020

4 Jamadi Awwal 1442H

Naskhah Al-Quran kecil ni penuh dengan catatan tulisan tangan saya hasil tadabbur. Betapa akrabnya dengan Al-Quran waktu tu, sampai kalau saya dengar orang baca Al-Quran, saya boleh belek dan cari terus ayat tu dalam Al-Quran. Alhamdulillah... 

Tentang Penulis

Mohd Zulkifli Shafie

Penulis buku bestseller; Wang Emas, dan Misi Bebas Hutang.

Menulis tentang kewangan sejak 2008. Berpengalaman membimbing lebih 9,000 penyimpan emas secara peribadi di Malaysia, Indonesia, Singapore dan Brunei sejak 2010.

Merupakan pengasas G100 Network; network terbesar dealer Public Gold (syarikat pengeluar emas terbesar di Malaysia), yang memberikan servis kepada lebih 800,000 penyimpan emas di seluruh Asia Tenggara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}