Tadi masa naik kereta, anak perempuan saya yang drive. Isteri duduk sebelah.
Saya duduk seat belakang dengan anak lelaki. Dalam perjalanan, anak lelaki duduk senyap - tak join perbualan kami dalam kereta...
Rupanya dia sedang pakai headphone, layan lagu.
More...
Saya tak larang. Tapi saya ambil kesempatan untuk pesan sesuatu...
“Lagu boleh dengar, tak ada masalah. Tapi lazimkan dengar lagu-lagu yang mendidik jiwa. Lagu yang bawa kita rasa dekat dengan Tuhan…”
Saya cakap macam tu sebab saya pernah melalui titik paling rendah dalam hidup.
Ketika tu, lagu-lagu yang saya selalu dengar masa zaman remaja, sangat-sangat membantu saya...
Saat semua terputus…
Iaitu ketika dikurung dalam satu sel lokap tahanan khas (SOSMA)...
Seorang diri. Selama 23 hari - dalam tempoh siasatan.
Tak ada jam. Tak tahu bila siang, bila malam.... Lampu tak pernah ditutup. Sel tu kedap bunyi. Tak dengar azan.
Tak tahu langsung keadaan di luar, kecuali bunyi hujan lebat.
Tak ada sejadah. Tak ada bahan bacaan. Tak boleh buat apa-apa.
Kesunyian yang tak mampu digambarkan dengan kata-kata.
Waktu tu... saya benar-benar rasa keseorangan. Sampai nampak seekor labah-labah dalam sel pun saya rasa happy. Rasa macam ada teman...
Terasa masa berjalan sungguh perlahan... Satu jam rasa macam satu hari...
Tiada siapa yang boleh saya berbual-bual. Hanya diri sendiri... dan suara dalam kepala.
Sepanjang hari, saya cuba tidur - walaupun tak mengantuk - untuk lupakan kesedihan.
Dan supaya hari-hari tu terasa pendek...
Di saat itulah, saya “dihiburkan”…
Dalam kesunyian dan rasa bosan yang panjang tu, ada suara yang sentiasa bermain-main dalam kepala saya — lagu-lagu nasyid yang saya biasa dengar.
Nasyid-nasyid yang mendidik jiwa. Yang saya ulang dengar semasa zaman remaja dulu.
“Apa yang ada, jarang disyukuri… Apa yang tiada, sering dirisaukan…”
“Alangkah indahnya hidup ini, andai dapat ku tatap wajahmu (Rasullullah)”
“Tuhanku… ampunkanlah segala dosaku...”
Antara bait-bait yang terngiang-ngiang dalam kepala. Saya ulang perlahan-lahan dalam hati.
Bait-bait itu menghiburkan saya.
Seolah-olah lagu-lagu itu adalah nyanyian dari Syurga yang Allah kirimkan untuk tenangkan jiwa saya yang sedang bersendiri.
Dan bukan setakat lagu...
Ayat-ayat Al-Quran yang saya pernah hafal pun muncul satu-persatu. Saya ulang-ulang bacaan dalam hati. Walaupun tak ada mushaf, ayat itu “datang” sendiri, dengan izin Allah.
Waktu itulah saya rasa betapa luasnya rahmat Allah.
Rasa menyesal…
Di sebalik hiburan itu, ada juga rasa kesal...
“Kalaulah aku hafal lebih banyak ayat-ayat Quran…”
“Kalaulah aku banyak dengar nasyid yang mendidik jiwa…”
Waktu tu saya rasa menyesal...
Sebab tak cukup hafalan. Tak cukup lagu-lagu yang bawa jiwa dekat dengan Tuhan.
Dan waktu itulah saya benar-benar faham...
Kenapa hati ini rasa jauh dengan Tuhan bila terlalu lama tak dengar nasyid mendidik jiwa.
Rupanya... dalam nasyid tu ada nasihat-nasihat halus yang sentiasa mengingatkan saya pada Tuhan.
Dalam alunan itu, ada doa. Ada zikir. Ada motivasi buat diri.
Sejak kekesalan itu, sepanjang 2 tahun dalam penjara, selain baca Al-Quran sampai khatam berkali-kali, saya mula hafal petikan-petikan ayat Al-Quran.
Bukan sekadar hafal, tapi saya pilih ayat-ayat yang saya hayati maksudnya sekali. Supaya setiap kali baca, ia berbekas pada hati.
Langit tak selamanya cerah…
Hari ni kita mungkin hidup senang. Sentiasa dikelilingi orang yang kita sayang. Hidup pun penuh warna-warni.
Tapi satu hari nanti, hari sunyi itu akan datang juga...
Mungkin ketika terlantar sakit yang panjang. Mungkin koma dan berada dalam dunia kita bersendirian.
Mungkin saat hilang kawan, hilang kerja, atau di ambang kematian.
Saat itu... Tak ada siapa pun yang boleh temankan dan menghiburkan kita. Kecuali jiwa kita sendiri.
Ketika tu, suara yang kita biasakan dengar — itulah yang akan datang menemani.
Kalau suara itu suara lalai dan kosong, maka kosonglah yang akan datang.
Tapi kalau kita biasa dengar ‘nyanyian dari Syurga’, nasyid dan zikir yang mendidik jiwa — maka itulah yang akan datang menenangkan kita.
Didik telinga, didik jiwa
Lagu bukan sekadar hiburan. Tapi ia ‘makanan’ bagi hati.
Nak dengar lagu, pilihlah lagu yang bila didengar, hati jadi lembut. Yang bawa kita rasa lebih dekat dengan Tuhan.
Supaya bila semua orang dah tak mampu temankan kita —lagu-lagu itulah yang jadi penghibur.
Dan kalam Tuhan (ayat-ayat Quran) itulah yang akan menemani kita.
"(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati."
Zulkifli
Cyberjaya
31 Julai 2025
5 Muharram 1447H
Abu Umamah berkata, beliau mendengar Rasulullah ﷺ bersabda:
“Bacalah al-Quran, kerana pada hari kiamat ia akan datang memberi syafaat kepada pembacanya.
Bacalah dua surah yang bercahaya, iaitu Surah al-Baqarah dan Surah Ali ‘Imran, kerana pada hari kiamat, kedua-duanya akan datang seperti dua awan atau dua naungan atau dua kumpulan burung yang berbaris, memohon syafaat untuk orang yang membacanya.
Bacalah Surah al-Baqarah, kerana berpegang dengannya adalah berkat, meninggalkannya adalah kerugian, dan sihir tidak mampu menanganinya.”
Artikel berkaitan:
- Hiburkan Diri Dengan "Nyanyian Dari Syurga"
- Perkataan Yang Dilazimi, Itulah Perkataan Akhir Saat Kita Mati
- Bersabarlah, Tuhan Pasti Gantikan Apa Yang Lebih Baik
- Think on Paper : Cara Legakan Masalah Yang Membelengu Fikiran
- Universiti Muzakkir Ramadhan
- Seronok Bertalaqqi Al-Quran
- Momen Paling Indah Saya Bersama Isteri