MohdZulkifli.Com

Motivasi Kewangan & Simpanan Emas

Kekayaan Bukan Jumlah Gaji, Tapi Berapa Lama Mampu Bertahan Bila Tiada Lagi Gaji

July 24, 2025

“Kekayaan bukan tentang berapa besar gaji. Tapi berapa lama kita mampu bertahan bila tidak ada lagi gaji” 

Kata-kata ni saya sentiasa ulang dalam seminar-seminar "Membina Satu Juta Pertama" - yang saya sampaikan. 

Supaya melekat dalam kepala peserta yang datang seminar. 

Supaya mereka jelas kekayaan sebenar tu macam mana.

More...

Gaji besar bukan segalanya 

Banyak yang fikir, makin besar gaji, dia semakin kaya - secara automatik! 

Walhal dia tak sedar, dia masih berlari di tempat yang sama. 

Gaji makin besar, jumlah simpanan tak bertambah. 

Gaji dah naik berkali-kali, jumlah harta (yang menjana cashflow) tak bertambah. Sebaliknya yang bertambah hanyalah hutang! 

Makin lama bekerja, makin besar hutang yang dia kumpul. 

Tapi dia masih fikir, dia semakin kaya... 

Betul, secara zahirnya nampak makin kaya; kereta makin mewah, rumah makin besar, hidup makin bergaya! 

Hakikatnya, di sebalik kemewahan tu, yang bertambah hanyalah hutang. 

Banyak orang fikir gaji besar adalah segalanya... Dia ukur kekayaan seseorang berdasarkan slip gaji dia.

Penentu hidup bertahan tanpa gaji 

Tapi realitinya, kekayaan sebenar bukan terletak pada jumlah gaji, tapi pada berapa lama kita boleh terus bertahan ketika dah tak ada lagi gaji. 

Ianya tentang;

✅ Berapa jumlah TABUNGAN yang kita ada.
✅ Berapa banyak HARTA yang kita miliki.
✅ Berapa besar PASSIVE INCOME yang kita dapat (daripada harta yang kita miliki)
✅ Berapa banyak HUTANG yang masih kita tanggung!

Saya masih ingat satu kisah yang mengubah cara saya pandang tentang “kaya”.

Saya kenal seorang bekas eksekutif kanan di sebuah anak syarikat GLC (Government-linked Company).

Gajinya lima angka tentunya. Pergi kerja naik kereta mewah hasil insentif company untuk big-big boss.

Hidupnya nampak sangat selesa.

Musibah datang tanpa diduga 

Tapi tiba-tiba dia jatuh sakit. Company buat keputusan untuk tak sambung kontrak dia.

Maka semuanya berubah sekelip mata! 

Daripada jawatan antara orang paling besar dalam sebuah anak syarikat GLC, akhirnya terpaksa kerja jadi driver bas sekolah - yang income barunya jauh lebih rendah dengan gaji dia sebelumnya! 

Kes begini bukanlah kes terpencil.

Banyak orang bila diberhentikan kerja, dia akan hilang segala-galanya.

Walaupun dah bekerja berbelas tahun, bila apa-apa terjadi, semuanya back to zero (kosong)!

Beberapa bulan tak ada gaji, duit simpanan terus kering.

Kereta mula kena tarik, rumah kena lelong.

Masa zaman COVID-19 dulu, ramai daripada kita mula sedar, gaji besar tak menjamin apa-apa.

Gaji besar tak menjamin apa-apa 

Masa tu barulah kita terima hakikat, kekayaan bukan tentang berapa besar gaji. Tapi berapa lama kita mampu bertahan (survive) ketika tidak ada lagi gaji.

Sebaliknya, ada kenalan saya dulu yang kerjanya biasa-biasa sahaja. Pangkatnya cuma Assistant Manager yang bergaji sederhana.

Tapi masa umur dia dah masuk 40-an, dia stress dengan tekanan kerja, dia buat keputusan untuk resign (berhenti kerja).

Saya tanya dia, lepas ni nak buat (kerja) apa?

Dia jawab, dia nak rehat dulu... Dia dah ada passive income daripada rumah-rumah yang dia beli sebelum ni. 

Dia cakap, setiap kali company bagi bonus (lebih 3 bulan gaji setiap tahun), dia akan beli sebuah rumah untuk disewakan. 

Masa zaman tu, nak beli banyak buah rumah lebih mudah. BNM masih benarkan buat loan rumah sampai pembiayaan 90% tanpa limit.

Tak ada limit hanya sampai rumah kedua sahaja macam sekarang. 

Bina harta sebagai mesin duit  

Jadi setiap kali dapat durian runtuh, dia beli sebuah rumah (dan disewakan).

Masa dia resign tu, dia dah ada ada 11 buah rumah sewa!

Katanya, income daripada rumah-rumah sewa yang dia ada tu dah cukup untuk cover kehidupan dia sekeluarga. 

Dengan kata lain, dia tak bekerja pun dia ada duit. 

Hidup dia tak ada masalah walaupun tak ada lagi gaji... Dia dah capai status kewangan "financial freedom"...

Inilah yang saya maksudkan: kekayaan sebenar adalah berapa lama kita boleh bertahan bila tidak ada lagi gaji.

Cuba duduk dan fikir... Muhasabah diri sendiri... 

Kalau hari ni tiba-tiba tak dapat gaji selama 6 bulan, boleh tak kita maintain hidup macam biasa?

Masih boleh tak bayar komitmen bulanan? Dapur masih lagi berasap?

Masih boleh tidur lena dan bangun setiap pagi dengan senyuman?

Bukan tentang gaji, tapi survivability 

Kalau tak, itu tandanya kita belum cukup kaya — walaupun bergaji besar. 

Kekayaan bukan sekadar tentang gaji, tapi tentang survivability.

Itulah sebab kenapa saya tak berhenti educate masyarakat supaya menabung, menabung dan menabung.

Sebab gaji besar tak akan membuatkan kita bertambah kaya kalau tak menabung. 

Bila ada duit lebihan daripada tabungan 12 bulan gaji, gunakan duit tu untuk tambah harta. Beli aset yang boleh buatkan duit masuk ke poket kita (tanpa perlu bekerja). 

Elakkan buat hutang-hutang yang tak perlu. Berpada-padalah dalam berhutang. 

Jangan sekali-kali gunakan kelebihan gaji besar untuk buat hutang yang besar. Sebaliknya gunakan kelebihan tu untuk persiapkan ‘kubu’ kewangan dulu.

Supaya satu hari nanti, kalau tak ada gaji, kita tak mati sebelum mati.

Allahu a’lam.

Zulkifli
Cyberjaya
24 Julai 2025
28 Muharram 1447H

Tentang Penulis

Mohd Zulkifli Shafie

Penulis buku bestseller; Wang Emas, dan Misi Bebas Hutang.

Menulis tentang kewangan sejak 2008. Berpengalaman membimbing lebih 9,000 penyimpan emas secara peribadi di Malaysia, Indonesia, Singapore dan Brunei sejak 2010.

Merupakan pengasas G100 Network; network terbesar dealer Public Gold (syarikat pengeluar emas terbesar di Malaysia), yang memberikan servis kepada lebih 800,000 penyimpan emas di seluruh Asia Tenggara.

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}
>