Azabnya Cinta Tanpa Percaya

by on October 10, 2009

“Bang, ingat Ayang (selalu) yer Bang…”

Pesan isteri sebelum saya melangkah keluar rumah sebab ada urusan di hujung minggu. Supaya sentiasa ‘ingatkan’ dia di rumah bersama anak-anak. Bukan tak percaya, tetapi sekadar “Tazkirah Cinta”.

Saya tersenyum dan membalas; “Bukan macam tu Yang, pesan la Abang supaya ingatkan Tuhan. Kalau Abang ingat pada Tuhan, insyaAllah Abang ingat pada Ayang dan anak-anak.”

Ingatkan Dia Akan Tuhan

Saya ingatkan dia balik supaya ingatkan suaminya akan Tuhan. InsyaAllah, dia akan ingatkan keluarganya. Pentingnya peringatan begini, kerana kehidupan rumahtangga hari ni penuh dengan cabaran. Bukan sahaja rumahtangga artis yang selalu sinonim dengan kes bercerai berai, tapi rumah tangga ‘ustaz’ juga tak terlepas…

Saya fikir, isteri boleh sebenarnya cek tahap kasih sayang suami pada dia. Berdasarkan simtom-simtom depan mata, selalunya ia jadi petanda penting tahap kasih sayang seorang suami.

Kalau kita jumpa doktor, doktor akan cek beberapa bahagian. Antaranya dada, suhu badan, tekanan darah dan denyutan nadi. Dari situlah doktor boleh baca tahap kesihatan kita.

Periksa Nadi Kasih Sayang

Dan begitulah juga isteri. Kalian boleh periksa tahap kasih sayang suami. Cuba cek denyutan ‘nadi’ kasih-sayang dia pada kalian seperti berikut.
  1. Nadi Solat suami macam mana. Adakah dia benar-benar jaga solat ataupun tidak. Solat cukup 5 waktu, solat awal waktu, berjemaah di masjid dan surau? Solat adalah lafaz-lafaz cinta dia kepada Tuhan. Ia melambangkan cinta dia pada Tuhan. Kalau dia benar-benar cinta pada Tuhan, insyaAllah dia akan juga cinta sesama manusia. Apatah lagi pada manusia yang sepatutnya dia cinta.

  2. Nadi Al-Quran macam mana. Rajin baca ke tidak. Adakah kita komited untuk membaca lembaran surat-surat cinta dari Tuhan – Quran – setiap hari? Quran adalah surat cinta yang sentiasa me-recharge cinta dia kepada Tuhan dan sesama manusia.

  3. Nadi Majlis ilmu dan zikrullah. Adakah dia komited ataupun tidak. Nadi majlis ilmu dan majlis zikrullah sentiasa ingatkan dia tentang tanggungjawabnya pada Tuhan dan sesama manusia. Dan di majlis-majlis begitu jugalah tempat dia bersahabat dan bergaul dengan orang yang soleh.

  4. Nadi Persahabatannya. Bersahabat dengan orang yang soleh dan sentiasa menziarahi para alim ulama yang wara’ bukan kecil impaknya. Bahkan nadi persahabatan inilah yang dapat mengalakkan ‘kesihatan’ ketiga-tiga nadi di atas. Bersahabat dan bergaul dengan orang yang soleh ni membuatkan kita sentiasa terdorong untuk jadi baik. Bahkan kalau kita hampir lalai, mereka semualah yang biasanya sudi ingatkan kita.
Semua nadi-nadi di atas, akan menunjukkan tahap iman dan kasih sayang seorang suami.

Dan jangan lupa, iman dan kasih sayang adalah berkadaran terus. Lebih kuat iman dia, lebih sayanglah dia pada isteri, anak-anak dan seluruh ahli keluarganya.

Iman dan Kasih Sayang Berkadar Terus


Suami yang ingatkan Tuhan, dia ingatkan isteri di rumah. Ayah yang ingat Tuhan, dia ingatkan anak-anak. Anak yang ingatkan Tuhan, dia ingat pada ibu dan ayah dia di kampung. Iman itulah kuncinya.

Sebabnya, orang beriman sentiasa berhati-hati dengan Tuhan. Dia tahu Tuhan ada di mana-mana. Walaupun dibelakang isteri, Tuhan sentiasa bersama dia. Isteri tak perlu risau atau gundah gulana walaupun ke mana sahaja suaminya pergi. Tuhan sentiasa menjaganya.


Secara terus-terang, saya sebenarnya rasa kesian tengok pasangan bercinta tanpa rasa percaya. Walaupun kami tak pernah bercinta (sebelum kahwin), tapi saya dapat bayangkan ‘kepedihan’ pasangan yang bercinta tanpa saling mempercayai.

Azabnya Cinta Tanpa Percaya


Sebelum kahwin dah tak percaya dan selalu ‘bergaduh’, apa akan jadi selepas kahwin?

Si boyfriend takut girlfried curang dan yang paling banyak berlaku, girlfriend takut si boyfriendnya curang – pasang dua tiga perempuan dalam satu masa. Setiap masa nak kena cek ke mana boyfriendnya keluar. Dengan siapa dia keluar. Kenapa dah beberapa hari tak hantar sms cinta. Kenapa itu dan kenapa itu.

Ish… susahnya jaga boyfriend. Sebabnya, boyfriend tak boleh 24 jam di depan mata!

Saya fikir, kita takut pasangan kita curang sebab kita sendiri yang curang dengan Tuhan!

Apabila Curang Dengan Tuhan


Kita keluar berdua-duaan dengan girlfriend/ boyfriend tanpa berteman walaupun sorang muhram adalah curang! Kita bergaul lebih batasan antara lelaki perempuan adalah curang! Dan pastinya pasangan yang pernah ‘ringan-ringan’ mahupun ‘berat-berat’ akan terasa lebih azab ‘saling tak percaya’ terhadap pasangan masing-masing.

Itulah azab dunia sebelum akhirat!

Kalau masa bercinta dah tak percaya, apakah mungkin akan ada saling mempercayai selepas kahwin. Oh, tentunya jauh sekali…

Orang kata, cinta manis sebelum kahwin (walaupun saya tak setuju ‘statement’ tu). Bila habis manis, apa lagi tinggal lepas kahwin? Pastinya sisa-sisa sepah saja yang tinggal. Dan ‘kebarangkalian’ dia akan lebih curang selepas kahwin…

Masakan tidak, kepada Tuhan pun boleh curang. So, curang pada manusia apalah sangat?

Kuncinya Pada Iman Dan Taqwa


Berbalik pada isteri saya tadi, saya selalu ingatkan dia, jagalah ‘suami’ supaya dia taat pada Tuhan. Sentiasa cek nadi-nadi kasih sayang dia sepertimana yang saya sebutkan tadi. InsyaAllah, dia akan ingat pada isteri dan anak-anak kalau semua nadi-nadi itu dalam keadaan baik.

Sekalipun jika dia mempunyai ramai isteri, setiap isterinya masih dapat kasih sayang secukupnya dari seorang suami kalau suaminya ingat akan Tuhan.

Wallahu a’lam.

Zulkifli

Damansara Heights
6 Oktober 2009

Artikel Berkaitan: “Kalau Sayangkan Si Dia

{ 2 comments… read them below or add one }

1 Anonymous May 14, 2013 at 6:50 am

subhanallah.. sesungguhnya isteri saudara isteri yang bertuah memiliki cinta saudara sbgai suami… krn x sume bertuah bgtu juga saya.. tp, sy muhasabah diri, ini tanda Allah syg pd sy dn mengingatkan cinta Nya yg lbh agung pd sy.. sy cb menjadi terbaik.. namun Allah blm izinkan bahagia itu milik sy.. tp sy pasti bl kita jg hbgn dgn Allah, Allah akan jg hbgn kita dgn hamba Nya.. Salam dr sy isteri akhir zaman..

Reply

2 Mohd Zulkifli Shafie May 14, 2013 at 1:42 pm

Alhamdulillah… Puji-pujian bagi Allah… Moga Allah kurniakan kebahagiaan kepada puan sekeluarga hingga ke Syurga… Amin ya Allah…

Reply

Leave a Comment

{ 1 trackback }

Previous post:

Next post: