MohdZulkifli.Com

Motivasi Kewangan & Pelaburan Emas

Hancurnya Cita-cita untuk Dunia

August 2, 2008

Kejar Dunia

Dan sesungguhnya kamu benar-benar datang sendirian kepada Kami sebagaimana Kami ciptakan kamu pada mulanya, dan kamu tinggalkan di belakangmu (di dunia) apa yang telah Kami kurniakan kepadamu. [Al-An’aam 6: 94]

Mencari Bekalan Dengan Ziarahi Si Mati

Menziarahi kematian, melihat jenazah disembahyangkan, diusung ke tanah perkuburan, fikiran saya sedikit ‘terganggu’. Terganggu bila memikirkan cita-cita saya. Cita-cita menjadi kaya perlu disemak semula. Sekaya mana pun, saya tetap akan kembali kepada Tuhan sehelai sepinggang. Tak ada apa yang dibawa. Duit, kereta, rumah, pakaian berharga semuanya luput sekelip mata.

Oh! Alangkah ruginya hidup ini kalau hanya untuk mendapatkan dunia. Memang benarlah dunia ini sementara. Tak ada apa yang hebat-hebat yang dibawa atau dipakai si mati untuk ke kubur kecuali sehelai sepinggang kain putih. Kereta Mercedes yang hebat (kalaupun ada) itu ditinggalkan, yang dinaiki cumalah van jenazah. Seatnya cumalah keranda yang ukurannya tak sebesar mana.

Tiada Apa Yang Dibangga Pada Fizikal dan Material

Memang benarlah pesan Ayat Mat (Muhammad Hamidin), guru saya katanya:

“Tak ada mulianya pada jasad. Kalau ianya benar-benar mulia, kenapa cuma tiga hari saja (dalam kubur) habis di makan ulat?”

Ayah Mat mengingatkan kami (anak buahnya) supaya benar-benar ambil berat persoalan rohani. Tak ada apa yang perlu dibangga pada rupa paras yang cantik, fizikal dan material kerana semuanya akan hilang sekelip mata. Ia tak kekal. Yang kekal ialah hidup di alam sana (Akhirat). Hidup di sana ialah hidup yang selama-lamanya. Tak ada apapun nilai dunia kalau dibandingkan nilai Akhirat.

Masih Inginkan Kekayaan

Masih mahukan kaya? Ya, saya masih tetap mahukan kaya. Tetapi kaya yang macam mana? Dan untuk apa? Itulah yang mesti benar-benar difikirkan.

Oleh kerana dunia bukan tempat tinggal yang kekal, kaya yang saya cari mestilah yang boleh menjadikan saya kaya di Akhirat. Ramai yang fikir, nak kaya Akhirat, kenalah sedekahkan harta banyak-banyak. Ya, ia memang benar tetapi pada saya ia belum cukup membuatkan kita kaya di Akhirat kerana siapa boleh jamin kaya itu akan sampai ke tangan kita?

Tiada siapa yang boleh beri jaminan. Jadi, bukan hanya ketika mendapat kaya barulah buat kerja Akhirat, tetapi dalam proses mencari kaya itu sendiri mestilah menambah saham untuk ke Akhirat. Maksudnya, kerja mencari kaya itu mesti kena mengena dengan Tuhan dan Hari Akhirat.

Bagaimana caranya?

Beribadah 24 Jam Sehari

Caranya ialah menjadikan seluruh aktiviti harian sebagai ibadah. Supaya hidup ini sentiasa dalam ibadah. Ibadah secara full-time, dan 24 jam sehari. Konsep Hidup Ibadah ini telahpun saya pelajari dalam Kursus Mukmin Professional tahun lalu bersama Fitrah Perkasa, tetapi masih bertungkus lumus untuk menjadikan teori itu sebagai realiti. (Juga akan saya kongsikan suatu masa nanti, insyaAllah)

Moga Allah memberi kekuatan untuk kita menjadi benar-benar hambaNya yang tunduk dan patuh kepadaNya. Belum ada lagi manusia yang Tuhan iktiraf sebagai hamba kecuali Nabi Muhammad S.A.W [Al-Isra’ 17: 1]. Bahagianya hidup di alam sana bagi sesiapa yang Tuhan iktiraf sebagai hambaNya.

“Wahai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredhai-Nya. Maka masuklah ke dalam jemaah hamba-hambaKu, dan masuklah ke dalam syurgaKu” [Al-Fajr 89: 27 – 30]

“Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada suatu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah Kami berkahi sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami” [Al-Isra’ 17: 1]

Zulkifli
Damansara Heights
25 Julai 2008

22 Rejab 1429

 

Bingkisan muhasabah diri ini tercetus ketika menziarahi kematian Allahyarham Mohd Radzi, Kuala Selangor yang kembali ke rahmatullah pada 21 Julai 2008. Allahuyarham adalah ayah kepada sahabat saya, Muhammad Zahid b. Mohd Radzi.

Solat sempena pemergiaannya diimamkan sendiri oleh anak beliau (Zahid) membuatkan hati saya hiba bercampur gembira. Moga doa anak-anak solehnya terus membantunya di alam sana. Sama-samalah sedekahkanlah bacaan Al-Fatihah untuk Allahuyarham.

(Artikel ini mungkin juga relevan untuk diskusi usrah peringkat Pengenalan di bawah tajuk “Konsep Ibadah Dalam Islam”)

Tentang Penulis

Mohd Zulkifli Shafie

Penulis buku Wang Emas, dan Misi Bebas Hutang.

Menulis tentang kewangan sejak 2008. Berpengalaman membimbing lebih 6,500 penyimpan emas secara peribadi di Malaysia, Indonesia, Singapore dan Brunei sejak 2010.

Merupakan pengasas G100 Network; network terbesar dealer Public Gold (syarikat pengeluar emas terbesar di Malaysia).

  • {"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}
    >