MohdZulkifli.Com

Motivasi Kewangan & Simpanan Emas

Benarlah, Orang Bijak Yang Paling Banyak Mengingati Mati

December 17, 2023

Coretan Tuan Richard Ker ni menyentuh hati saya. Renungan yang baik sebagai muhasabah diri untuk memaknai kehidupan hari ini; 

100 tahun dari hari ini, kita semua akan berada dalam kubur. Jasad kita kembali menjadi tanah, ataupun debu yang sudahpun berterbangan.

Dari tak ada, Tuhan hidupkan kita. Kemudian Dia kembali matikan kita untuk kembali dibangkitkan di Akhirat kelak.

Terpisahlah kita dari kehidupan dan ahli keluarga yang kita sayangi hari ni. 

More...

Harta-harta yang kita tinggalkan

Rumah yang kita miliki hari ni dah jadi milik orang lain. Samada jadi milik ahli keluarga kita ataupun dijual kepada orang lain. Mungkin juga dah jadi rumah usang, terbiar dan tak ada siapa yang nak duduk.

Bahkan mungkin diruntuhkan dan dibuat binaan baru (di atasnya).

Barang-barang yang kita sayangi hari ni berakhir di tapak pelupusan sampah. Kereta-kereta yang pernah kita banggakan ni tersadai jadi besi buruk.

Generasi-generasi selepas kita mungkin dah tak kenal kita lagi. Mungkin cuma nama kita, atau sedikit sebanyak cerita kita kalau kita tinggalkan legasi untuk mereka. 

Nama kita makin dilupakan

Akaun media sosial kita dah dilupakan, atau mungkin platform yang kita gunakan sekarang dah tak wujud. 

Sebagaimana kita tak berapa kenal dan ingat atuk nenek kita, macam tu jugalah generasi selepas kita tak kenal lagi tentang kita.

Makin lama orang makin tak kenal kita, macam lilin yang akhirnya sampai ke penghujungnya. 

Jadi berhentilah sekejap untuk merenung dan berfikir; apakah yang benar-benar penting dalam hidup kita? 

Harta, pangkat, ahli keluarga dan sahabat handai semua akan kita tinggalkan. Yang akan tetap bersama kita hanyalah kebaikan-kebaikan yang pernah kita buat sepanjang hidup kita.

Cuma itu sahajalah yang akan sentiasa bersama kita, dan akan membantu kita (di alam sana). 

Hanya kebaikan yang akan berkekalan

Kebaikan yang pernah kita sebarkan itu jugalah membuatkan orang akan ingat dan terus hargai setelah pemergiaan kita.

Maka manfaatkanlah saki baki kehidupan ni untuk buat kebaikan sebanyak-banyaknya. Berlumba-lumbalah berbuat amalan, dan kurangkanlah sandiwara.

Jagalah kesihatan, supaya nafas kita lebih panjang untuk berbuat kebaikan.

Banyak memaafkan, dan sebarkanlah kasih sayang. Lebihkan pelukan orang yang kita sayangi, dan ruangkanlah waktu lebih banyak untuk bergelak ketawa bersama mereka.

Bila kita dah tak ada nanti, apa yang mereka akan ingat tentang kita hanyalah;

  • Kebaikan-kebaikan yang pernah kita berikan untuk mereka.
  • Masa yang kita luangkan bersama mereka.
  • Pengalaman, sikap kita, dan macam mana kita melayan mereka.

Jangan termasuk golongan yang rugi

Jadi jangan sesekali sia-siakan hari-hari kita dengan buat perkara yang tak baik, melayan ego, dan sikap tamak. 

Hargailah setiap masa yang masih berbaki di dunia ini, dan sentiasa cari sesuatu untuk bersyukur. 

Supaya kita tak termasuk dalam golongan yang rugi... 

Allahu a'lam.

"Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar." (Surah Al-Asr 103 : 1 - 3)

Zulkifli
Cyberjaya
17 December 2023
4 Jamadil Akhir 1445H

Hadis yang diriwayatkan daripada Abu Ya'la Shaddad bin Aws bahawa Rasulullah (ﷺ) bersabda:

Orang yang bijak ialah mereka yang mempersiapkan dirinya sendiri dan berbuat amalan untuk kehidupan selepas kematiannya. Sedangkan orang yang bodoh ialah mereka yang mengikut hawa nafsu sendiri dan kemudiannya terlalu berangan-angan tentang Allah (tanpa berbuat amalan sepatutnya).” 

[Ibnu Majah (4260), At-Tirmizi (2459)]

Tentang Penulis

Mohd Zulkifli Shafie

Penulis buku bestseller; Wang Emas, dan Misi Bebas Hutang.

Menulis tentang kewangan sejak 2008. Berpengalaman membimbing lebih 7,000 penyimpan emas secara peribadi di Malaysia, Indonesia, Singapore dan Brunei sejak 2010.

Merupakan pengasas G100 Network; network terbesar dealer Public Gold (syarikat pengeluar emas terbesar di Malaysia), yang memberikan servis kepada lebih 500,000 penyimpan emas di seluruh Asia Tenggara.

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}
>