MohdZulkifli.Com

Motivasi Kewangan & Simpanan Emas

Unfollow Berita Negatif, Hidup Akan Lebih Tenang dan Lebih Fokus

April 29, 2025

“Di sebalik kemiskinan, seorang pelajar cemerlang SPM melanjutkan pelajaran ke Oxford University” 

vs

Seorang pelajar cemerlang SPM ditangkap khalwat bersama gurunya!”

Berita mana agaknya dapat banyak engagement?

More...

Negatif lebih tinggi engagement 

Semua pun setuju, tentunya berita kedua. 

Berita kedua lebih banyak engagement; klik, views, komen, share dan sebagainya.

Sebab info negatif lebih ramai yang berminat.

Itulah sebab kenapa kebanyakan media (berkepentingan) lebih banyak siarkan info negatif.

Daripada engagement tinggi itulah mereka buat keuntungan - samada daripada iklan ataupun followers yang baru! 

Kita yang follow sampai rasa sedih, rasa takut, rasa marah ataupun rasa geram ni dapat apa?

Kesan buruk input negatif

Habis masa, emosi dan tenaga (energy) kita. 

Dan hilang mood positif samada bersama keluarga ataupun untuk kerjaya kita. 

Ada orang sampai bergaduh dengan orang yang tak ada kena mengena pun dengan hidup dia!

Bahkan ada yang sampai masuk penjara gara-gara letak komen melampau pada berita yang mengheret emosi dia!

Itu belum lagi kesan dosa pahala.

Kesan dosa komen yang tak baik, share berita yang belum tentu betul, sebarkan sangkaan buruk ataupun fitnah, itu lebih berat di sisi Tuhan!...

Dosa berantai yang ‘makan tak habis’ dan membuatkan muflis di akhirat kelak! 

Jadi alat keuntungan orang lain

Hakikatnya, berita-berita negatif banyak berikan kesan negatif dalam hidup kita. 

Walhal dalam tak sedar, kita sebenarnya diperalatkan untuk keuntungan orang lain... 

Samada peniaga yang ‘kapitalis’ (buat keuntungan tanpa kira dosa pahala), ataupun orang politik yang berkepentingan demi survival politik mereka...

Supaya kita tak jadi alat orang lain yang merosakkan hidup kita, unfollow sahaja sumber-sumber negatif itu. 

Dan tentunya akan lebih berjaya dan bahagia. InsyaAllah...

Daripada Abu Hurairah r.a., beliau meriwayatkan bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: 

"Sesungguhnya antara tanda baiknya keislaman seseorang itu ialah dia meninggalkan perkara yang tidak berkaitan dengannya.

(Hadis Riwayat Tirmizi no. 2317)

#MembangunDiri

Zulkifli
Cyberjaya
29 April 2025
1 Zulkaedah 1446H

Hadis - Orang yang muflis diakhirat

Daripada Abu Hurairah r.a, beliau melaporkan bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

"Tahukah kamu siapakah orang yang muflis?"

Para sahabat menjawab:

"Orang yang muflis di kalangan kami ialah orang yang tidak mempunyai dirham dan tidak mempunyai harta."

Lalu Baginda bersabda:

"Sesungguhnya orang yang muflis daripada kalangan umatku ialah seseorang yang datang pada Hari Kiamat dengan membawa pahala solat, puasa dan zakat, tetapi dia juga telah mencaci orang lain, menuduh orang lain, memakan harta orang lain secara batil, menumpahkan darah orang lain dan memukul orang lain.

Maka pahala-pahalanya akan diberikan kepada orang-orang yang telah dizaliminya itu.

Dan jika pahala yang dimilikinya tidak mencukupi untuk membayar semua kezaliman tersebut, maka dosa-dosa orang yang dizalimi itu akan dipindahkan ke atasnya, lalu dia akan dicampakkan ke dalam api neraka.”

(Hadis Riwayat Muslim no. 2581)

Hadis - Dosa berantai

Al-Mundhir bin Jarir meriwayatkan daripada ayahnya, katanya:

"Ketika kami berada bersama Rasulullah ﷺ pada waktu pagi, datang sekumpulan orang dalam keadaan tidak berkasut, tidak berpakaian sempurna, hanya mengenakan pakaian bulu bergaris atau kain selimut, dan mereka menggantungkan pedang pada leher mereka. Kebanyakan mereka — bahkan semuanya — berasal dari kabilah Mudar."

Melihat keadaan mereka yang amat miskin, berubah wajah Rasulullah ﷺ kerana sedih melihat mereka.

Baginda pun masuk ke rumahnya, kemudian keluar dan memerintahkan Bilal supaya mengumandangkan azan. Bilal pun melaungkan azan dan iqamah, lalu Rasulullah ﷺ menunaikan solat bersama para sahabat.

Kemudian, Baginda menyampaikan khutbah dengan membacakan ayat al-Qur’an:

"Wahai sekalian manusia! Bertakwalah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dari diri yang satu..." (Surah an-Nisa', ayat 1)

Dan juga:

"Bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap jiwa melihat apa yang telah ia sediakan untuk hari esok..." (Surah al-Hashr, ayat 18)

Lalu, orang ramai mula berlumba-lumba memberikan sedekah. Ada yang menyumbangkan dinar, ada yang dirham, ada yang membawa pakaian, ada yang membawa gantang gandum, ada yang membawa gantang tamar, hingga Rasulullah ﷺ bersabda:

"Berilah, walaupun hanya separuh biji tamar (kurma)."

Kemudian datang seorang lelaki dari kalangan Ansar, membawa satu beg wang yang hampir-hampir tidak dapat diangkat dengan tangannya.

Setelah itu, orang ramai terus menyusul membawa sedekah, hingga aku melihat dua longgokan besar makanan dan pakaian, dan aku melihat wajah Rasulullah ﷺ bersinar-sinar seperti emas kerana gembira.

Lalu Rasulullah ﷺ bersabda:

"Barang siapa yang memulakan dalam Islam satu sunnah (amalan) yang baik, maka dia mendapat pahala atasnya dan pahala orang yang mengikutinya tanpa dikurangkan sedikit pun daripada pahala mereka. Dan barang siapa yang memulakan dalam Islam satu sunnah (amalan) yang buruk, maka dia menanggung dosanya dan dosa orang yang mengikutinya, tanpa dikurangkan sedikit pun daripada dosa mereka."

(Hadis Riwayat Muslim, no. 1017)

Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

"Sesiapa yang menyeru manusia kepada petunjuk (kebaikan), maka dia akan memperoleh pahala seperti pahala orang-orang yang mengikutinya, tanpa dikurangkan sedikit pun daripada pahala mereka.

Dan sesiapa yang menyeru manusia kepada kesesatan (kejahatan), maka dia akan menanggung dosa seperti dosa orang-orang yang mengikutinya, tanpa dikurangkan sedikit pun daripada dosa mereka."

(Hadis Riwayat Muslim, no. 2674)

Fikiran kita macam tanah yang lapang. Kalau tak ditaman tanaman bermanfaat, yang tumbuh hanyalah lalang dan semak samun; yang jadi tempat pembiakan nyamuk, ular mahupun biawak. Jagalah fikiran dengan sentiasa masukkan input dan konten yang positif setiap hari. - FB Mohd Zulkifli Shafie, 29 April 2025

Konten negatif membuatkan orang mudah ketagih. Tanpa sedar, ia membazirkan emosi dan energy daripada fokus apa yang penting untuk hidup kita. Unfollow konten bersifat perbalahan dan permusuhan, fikiran kita akan lebih tenang dan lebih fokus. - FB Mohd Zulkifli Shafie, 29 April 2025

Tentang Penulis

Mohd Zulkifli Shafie

Penulis buku bestseller; Wang Emas, dan Misi Bebas Hutang.

Menulis tentang kewangan sejak 2008. Berpengalaman membimbing lebih 7,000 penyimpan emas secara peribadi di Malaysia, Indonesia, Singapore dan Brunei sejak 2010.

Merupakan pengasas G100 Network; network terbesar dealer Public Gold (syarikat pengeluar emas terbesar di Malaysia), yang memberikan servis kepada lebih 500,000 penyimpan emas di seluruh Asia Tenggara.

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}
>