MohdZulkifli.Com

Motivasi Kewangan & Simpanan Emas

Bila Kaya, Show-Off Manfaat Buat Orang Lain, Bukan Kemewahan!

August 31, 2025

Ramai orang bila dah capai kejayaan atau kekayaan, mudah terjebak dengan satu benda — nak show-off (pamer)

Nak tunjuk rumah besar.
Nak tunjuk kereta mewah.
Nak tunjuk bercuti ke luar negara. 

Walaupun tak semestinya salah, tapi kena berpada-pada... 

Saya turut bersedih apa yang sedang terjadi di Indonesia sekarang.

Saya tengok konten-konten tentang rusuhan, sebahagian tempat yang musnah dan terbakar di Jakarta tu antara tempat yang saya pernah morning walk setiap kali sampaikan seminar di Jakarta. 

Saya doakan yang terbaik buat Indonesia dan seluruh rakyat Indonesia...  

Cuma apa yang boleh saya belajar dari apa yang terjadi di Indonesia sekarang ni; 

Sebahagian orang kaya dari kalangan ahli politik (termasuk selebriti) jadi mangsa kebencian rakyat hanya kerana satu sebab: mereka show-off harta dan kemewahan. 

Inspirasi bertukar jadi iri hati

Rumah mewah yang dulu jadi tontonan hiburan di YouTube dan Instagram (sebagai inspirasi), tiba-tiba jadi sasaran jarahan - dipecah masuk, dirampas dan dicuri! 

Apa yang dulu orang kagum, sekarang jadi simbol kebencian! 

Kenapa jadi macam tu?

Apa yang saya faham, puncanya jurang hidup rakyat biasa dengan orang kaya terlalu besar. 

Bila perut orang lain kosong, setiap kali nampak orang kaya show-off kemewahan, mereka rasa terhina.

Ada beberapa perkara yang saya belajar daripada apa yang terjadi di Indonesia sekarang: 

1. Jangan show-off harta dan kemewahan

Kaya itu rezeki. Tapi bila suka show-off kemewahan, ia boleh menimbulkan iri hati, kebencian, malah ancaman keselamatan. 

Niat kita mungkin sebagai inspirasi - supaya orang lain berjaya.

Tapi orang yang tengah struggle nak bayar sewa rumah kecil, konten rumah dengan swimming pool bukan jadi inspirasi, sebaliknya jadi luka di hati. 

Itulah persepsi yang timbul walaupun kita tak berniat nak sakitkan hati.

2. Peka dengan realiti semasa masyarakat  

Makin kita berjaya, makin besarlah perhatian orang lain kepada kita.

Maka makin penting untuk faham realiti orang kebanyakan - yang sedang memerhatikan kita.  

Bila mereka tengah sesak dengan kos hidup, jangan pula kita post konten yang nampak tak sensitif - meremehkan kesusahan mereka. 

Nanti nampak macam “bersuka ria di atas penderitaan orang lain”. 

Sebaliknya, tunjukkanlah empati kita pada mereka. 

3. Elakkan konten mengundang fitnah

Sekarang ni satu video atau gambar boleh dipotong, ditokok tambah, jadi bahan fitnah. 

Bila orang dah marah, penjelasan kita pun orang dah tak percaya. 

Jadi elakkanlah buat konten ataupun keluarkan kenyataan yang mudah dimanipulasi. 

Sebab akan ada pihak yang akan menangguk di air yang keruh - mudah viral dan dapat keuntungan sebarkan perkara yang timbul kontroversi. 

4. Jaga privasi dan keselamatan

Lagi banyak kita tunjuk kekayaan dan kemewahan, lagi tinggi risiko. 

Bukan sekadar risiko kebencian, tapi juga risiko jenayah.

Rumah, kereta, koleksi hobi bahkan ahli keluarga kita — bila terlalu terbuka, ia boleh mengundang bahaya. 

Itulah salah satu sebab kenapa saya kurang expose tentang ahli keluarga saya kepada umum. 

Saya nak jaga privasi anak-anak saya, dan dia tak ada apa-apa tekanan atas apa sahaja pencapaian ataupun kekurangan diri saya. 

5. Tunjuk manfaat, bukan kemewahan 

Inilah kunci paling penting.

Bila kita kaya dan berjaya, kita nampak LEBIH dari orang lain.

Bila nampak LEBIH, kita baik macam mana sekalipun, tetap akan ada yang iri hati dan sakit hati. 

Itu memang sifat semula jadi manusia. 

Show-off manfaat buat masyarakat

Kaya tu bukan masalah. Tapi apa makna kekayaan kita buat orang lain?

Apa manfaat orang lain dapat daripada kekayaan kita? 

Kalau nak tunjuk sesuatu, tunjuklah projek dan misi kita nak jadikan hidup orang lain lebih baik. Lagi besar bisnes kita, lagi besarlah manfaat yang masyarakat dapat daripada kita.

Tujukkan bagaimana customer kita hidupnya lebih baik dengan produk dan servis kita. 

Tunjuklah peluang "ubah hidup" yang kita cipta.

Tunjuklah berapa 'periuk nasi' (keluarga) di bawah tanggungjawab kita. 

Tunjuklah berapa ramai keluarga dapat kita bantu keluar dari kesusahan.

Bila orang tengok tu, mereka rasa ada harapan. Mudah-mudahan mereka berdoa untuk kita, bukan benci pada kita. 

Kekayaan datang bersama tanggungjawab

Hakikat yang kita perlu sedar, kekayaan datang bersama "amanah".

Dalam harta kita, ada hak orang lain - antaranya melalui zakat, sedekah ataupun hadiah. 

Kalau kita salah guna, ia jadi sebab orang benci kita.

Tapi kalau kita salurkan untuk kebaikan orang lain, ia boleh jadi sebab orang mendoakan buat kita. InsyaAllah. 

Daripada peristiwa sedih ni, saya belajar sesuatu yang mahal; 

Bila dah berjaya, tunjuklah kita orang kaya yang beri manfaat buat masyarakat. Kita jadi orang kaya yang jadi rahmat (buat masyarakat), bukan yang menambah jurang - asbab show-off kemewahan. 

Itulah cara kurangkan rasa iri hati, malah kekal dihormati, disayangi, dan dikenang dengan baik. InsyaAllah... 

Diriwayatkan daripada Sahl bin Sa‘d As-Sa‘idi RA, beliau berkata: 

"Seorang lelaki datang kepada Nabi ﷺ lalu berkata: 

"Wahai Rasulullah, tunjukkan kepadaku satu amalan yang jika aku lakukan, Allah akan mencintaiku dan manusia pun akan mencintaiku.

Rasulullah ﷺ bersabda:

"Zuhudlah engkau terhadap dunia, nescaya Allah akan mencintaimu. Dan jangan tamak terhadap apa yang ada di tangan manusia, nescaya manusia akan mencintaimu.""

(Hadis Riwayat Ibnu Majah, no. 4102 – dinilai hasan oleh al-Albani)

Zulkifli
Cyberjaya 
31 Ogos 2025
7 Rabiul Awwal 1447H

Tentang Penulis

Mohd Zulkifli Shafie

Penulis buku bestseller; Wang Emas, dan Misi Bebas Hutang.

Menulis tentang kewangan sejak 2008. Berpengalaman membimbing lebih 9,000 penyimpan emas secara peribadi di Malaysia, Indonesia, Singapore dan Brunei sejak 2010.

Merupakan pengasas G100 Network; network terbesar dealer Public Gold (syarikat pengeluar emas terbesar di Malaysia), yang memberikan servis kepada lebih 800,000 penyimpan emas di seluruh Asia Tenggara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}