Suatu masa dulu...
Bila anak buat hal, lepas saya dan pesan berkali-kali tapi tak dengar juga... saya sebat saja dia dengan rotan. Sampai berbirat badan anak.
Dengan harapan, lepas ni mereka akan dengar cakap.
Tapi bila anak tidur, tengok balik kesan berbirat rotan tu, datang rasa menyesal...
"Ya Allah... Kenapa aku rotan anak sampai berbirat macam ni?"
"Betul ke ini cara mendidik anak, ataupun sekadar lepaskan geram pada anak-anak?"
Hati rasa puas.. tapi apakah benar ini cara berkesan untuk mendidik anak jadi baik?
More...
Dilema merotan anak-anak
Setiap kali rotan anak, datang rasa menyesal. Bahkan rasa sayu tengok kesan tu bila anak tu dah tidur...
Walaupun ada hadis anjuran supaya rotan anak bila sampai usia 10 tahun (kalau dia tak solat), tapi setakat pencarian saya, saya tak pernah jumpa mana-mana hadis yang menunjukkan Nabi s.a.w. pernah kenakan kekerasan fizikal dalam membentuk anak kecil mahupun remaja.
Dalam pencarian tu, saya masih sediakan rotan di rumah. Tapi saya cuma rotan kalau anak-anak masih buat hal - lepas dah warning berkali-kali.
“Papa tak nak rotan... Tapi kalau buat lagi sekali, Papa akan rotan!”
Bila dia buat lagi, memang saya rotan. Tapi rotan pada tapak kaki yang tak tinggalkan bekas. Pun kadang terlebih juga bila tengah marah...
Lama-lama saya fikir, anak-anak makin lama makin besar... Sampai bila anak-anak ni patut ditakutkan dengan rotan?
Saya yakin, Nabi s.a.w. lah contoh ikutan terbaik dalam mendidik.
Tapi kenapa saya tak jumpa walaupun satu hadis yang menunjuukkan Nabi kenakan hukuman fizikal dalam mendidik anak-anak?
Cuba fahami sunnah Nabi s.a.w.
Anas bin Malik r.a. yang membesar selama 10 tahun di rumah Nabi s.a.w. sejak kecil sendiri sahkan, bagaimana sikap Nabi s.a.w. dalam mendidik.
Termasuk beberapa hadis yang saya jumpa, antaranya;
Anas bin Malik r.a. (yang berkhidmat kepada Nabi selama 10 tahun) berkata:
“Aku berkhidmat kepada Rasulullah ﷺ selama sepuluh tahun. Baginda tidak pernah berkata ‘ah’ kepadaku, dan tidak pernah berkata: ‘Kenapa kamu buat begini?’ atau ‘Kenapa kamu tak buat begitu?’”
- (HR Bukhari no. 6038, Muslim no. 2309)
Ini testimoni langsung orang yang paling dekat dengan Baginda.
Daripada Umar bin Abi Salamah r.a., beliau berkata:
“Aku masih kecil ketika dijaga oleh Rasulullah ﷺ.
Ketika makan, tanganku bebas mencapai ke sana sini dalam hidangan.
Lalu Baginda menegur dengan lembut:
‘Wahai anak kecil... mulakan dengan menyebut nama Allah, makan dengan tangan kanan, dan ambillah yang dekat denganmu.’
Sejak itu, aku tidak pernah tinggalkan adab tersebut.”
Daripada Anas bin Malik r.a., beliau berkata:
“Nabi ﷺ adalah insan yang paling indah akhlaknya.
Aku ada seorang adik kecil, Abu ‘Umair, yang masih kecil dan baru lepas menyusu. Setiap kali dia datang, Nabi ﷺ akan menyapanya dengan penuh kasih:
‘Wahai Abu ‘Umair... apa cerita burung kecilmu hari ini?’
Baginda bergurau, bertanya tentang perkara kecil yang sangat bermakna bagi seorang kanak-kanak.
Dan apabila tiba waktu solat, Baginda tetap menjaga adab — membersihkan tempat, lalu mengimami kami dengan penuh tertib.”
Daripada Abu Hurairah r.a., beliau berkata:
Rasulullah ﷺ mencium (cucunya) Hasan bin Ali, sedangkan ketika itu Al-Aqra' bin Habis sedang duduk di sisi Baginda.
Al-Aqra’ berkata: ‘Aku mempunyai sepuluh orang anak, tetapi aku tidak pernah mencium seorang pun daripada mereka.’
Maka Rasulullah ﷺ memandang kepadanya lalu bersabda:
‘Sesiapa yang tidak menyayangi, dia tidak akan disayangi.’”
Daripada Abdullah bin Shaddad, daripada ayahnya, beliau berkata:
“Rasulullah ﷺ keluar menemui kami untuk menunaikan salah satu solat malam, sambil Baginda mendukung Hasan bin Ali atau Husain bin Ali.
Baginda maju ke hadapan, meletakkan anak itu, lalu bertakbir dan memulakan solat.
Ketika sujud, Baginda memanjangkan sujudnya.”
Ayahku berkata:
“Aku mengangkat kepalaku, lalu aku melihat seorang kanak-kanak berada di atas belakang Rasulullah ﷺ ketika Baginda sujud.
Maka aku kembali sujud.”
Apabila Rasulullah ﷺ selesai solat, para sahabat berkata:
‘Wahai Rasulullah, tadi engkau sujud begitu lama sehingga kami menyangka berlaku sesuatu atau wahyu sedang diturunkan.’
Baginda bersabda:
‘Tidak ada apa-apa yang berlaku. Tetapi anakku ini sedang menunggang di belakangku, dan aku tidak suka mengganggunya sehingga dia puas.’”
— (Hadis riwayat An-Nasa’i, no. 1141, dinilai sahih)
Daripada Anas bin Malik r.a.:
“Beliau pernah melewati sekumpulan kanak-kanak lalu memberi salam kepada mereka,
dan berkata:
‘Nabi ﷺ dahulu juga melakukan perkara yang sama.’”
Daripada Sahl bin Sa’d r.a., beliau berkata:
“Pernah dibawakan kepada Rasulullah ﷺ satu bekas minuman (susu atau air). Baginda pun minum daripadanya.
Di sebelah kanan Baginda duduk seorang budak kecil, yang paling muda antara yang hadir, dan di sebelah kiri Baginda pula orang-orang tua.
Maka Nabi ﷺ bersabda:
‘Wahai anak kecil, adakah kamu izinkan aku memberikan minuman ini kepada orang-orang tua terlebih dahulu?’
Budak itu menjawab:
‘Aku tidak akan mendahulukan sesiapa pun daripada bahagianku daripadamu, wahai Rasulullah!’
Maka Baginda pun memberikan minuman itu kepadanya.”
Aisyah r.a. berkata:
“Rasulullah ﷺ tidak pernah memukul sesuatu dengan tangannya, sama ada wanita atau pembantu, kecuali ketika berjihad di jalan Allah.”
Nabi tak pernah lepaskan marah dengan pukul orang yang lemah.
MasyaAllah... Nabi tunjukkan kepada kita betapa tingginya akhlak baginda dengan anak kecil...
Tak ada kekerasan macam apa yang kita fikir - tentang kaedah berkesan mendidik anak.
Salah faham hadis "pukul anak"
Bila saya kaji secara terperinci pasal hadis “dibenarkan pukul anak” tu, rupa-rupanya selama ni saya salah faham.
Kita ingat “pukul” tu mungkin macam mana kita pernah dipukul oleh ibu ayah masa kita kecil dulu.
Kita anggap apa yang pernah kita lalui, itulah perkara yang betul.
Tapi setakat pencarian saya, Nabi s.a.w. sendiri tak pernah rotan kanak-kanak untuk didik mereka jadi baik.
Ini hadisnya;
Daripada Abdullah bin Amr bin al-As r.a., beliau berkata, Rasulullah ﷺ bersabda:
“Perintahkanlah anak-anak kamu supaya mendirikan solat apabila mereka mencapai umur 7 tahun, dan pukullah mereka (jika meninggalkan solat) apabila mereka mencapai umur 10 tahun, serta pisahkan tempat tidur mereka.”
Kefahaman sebenar dari hadis
Di sebalik hadis ni, dijelaskan 3 perkara yang kita kena faham;
1. Umur 10 tahun bukan “anak kecil”
Dia dah pra-remaja... dah faham arahan... dan dah mula faham pasal tanggungjawab.
Dan dah nak baligh...
2. Pukulan tu bukan untuk sakitkan atau cederakan
Ia pukulan ringan... Tak tinggalkan kesan... Apatah lagi mencederakan! Dan bukan di muka...
Ia lebih kepada ketegasan dan disiplin, bukan kekerasan...
3. Pukulan itu bukan untuk semua benda
Ia khusus untuk latihan ibadah solat, bukan hukuman sebab kesalahan kecil macam; tumpah air, bergaduh dengan adik, atau nakal macam budak biasa.
Kata Aisyah r.a. (isteri Nabi);
“Rasulullah s.a.w. tidak pernah memukul dengan tangan Baginda, sama ada wanita, kanak-kanak atau hamba...”
Kalau Nabi sendiri tak pernah pukul anak kecil, siapa kita nak jadikan rotan sebagai tool utama dalam parenting?
Adakah cara kita lebih berkesan berbanding Nabi s.a.w.?
Peristiwa anak mencuri
Daripada pencarian saya, saya dapati Nabi tak didik dengan kekerasan.
Sebaliknya, Nabi didik dengan kasih sayang, sentuhan, kata-kata lembut, nasihat yang baik, dan jadi role model terbaik.
Saya ingat balik... Ada satu peristiwa yang mengubah perspektif saya tentang mendidik dengan baik lebih berkesan dan lebih kekal.
Satu masa dulu, anak kecil saya selalu curi duit saya... Duit yang letak dalam bilik selalu hilang...
Bila kantoi, saya hukum dia... Memang siaplah saya rotan dia...
Yang peliknya, rotan tu tak ubah dia untuk jujur. Diam-diam dia buat balik...
Akhir sekali, kantoi lagi sekali... Dapat bukti yang memang dia ambil duit...
Lebih berkesan tanpa kekerasan
Saya dan isteri panggil anak tu, peluk dia... Bagi nasihat yang baik, dan saya tak hukum dia macam sebelum-sebelum ni!
Saya maafkan dia dan berikan nasihat yang baik, penuh dengan kasih sayang...
Syukur alhamdulillah... Sejak peristiwa tu, tak pernah dah ada kes dia ambil duit kami diam-diam lagi.
Nasihat yang baik, dan tak gunakan kekerasan (walaupun anak buat salah), permanetly dapat ubah perangai dia! InsyaAllah...
Dari situ saya belajar sesuatu... Kalau gunakan kekerasan, anak tu cuma takut pada kita. Tapi hakikatnya dia tak berubah...
Dia cuma baik selagi mana kita ada. Tapi di belakang kita, dia kembali jadi diri dia yang sebenar!
Didik cara rotan dan pukul anak-anak (yang kita fikir berkesan tu) tak mengubah mereka, tapi sekadar melepaskan geram kita saja.
Kita rasa puas hati, tapi anak tu tak ‘menjadi’ manusia sebagaimana yang kita nak.
- Haram merotan anak sampai cedera - Pejabat Mufti Wilayah
Biar anak PILIH jadi baik
Dari situ, saya fikir... kena kembali kepada cara Nabi.
Walaupun nampak macam ambil masa, tapi kalau kita sabar, perubahan tu lebih kekal dan bermakna...
Anak-anak bukan sahaja baik depan kita. Tapi di belakang kita pun dia tetap jadi orang yang baik.
Dia jadi baik bukan sebab kita, tapi dia PILIH untuk jadi baik.
Itu PILIHAN dia... Bukan dipaksa-paksa...
Itulah sedikit sebanyak pengalaman saya yang masih lagi belajar dan berusaha jadi bapa paling baik untuk 8 orang anak saya.
Saya masih belajar cara nak mendidik anak-anak ikut cara Nabi s.a.w.
Allah kurniakan anak-anak bukan saja sebagai hadiah kegembiraan, tapi juga sebagai ujian untuk didik kita jadi hamba yang bersyukur dan sabar...
Allahu a'lam.

